Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013
28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013
103) PEMBANGUNAN PERTANIAN
Tahun: 2013
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah strategi Kerajaan Negeri dalam memajukan tanah pertanian secara bersepadu?
Selangor akan terus memberi tumpuan kepada pengeluaran makanan terutamanya bagi tanaman padi di kawasan Barat Laut Selangor yang terletak di Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Bagi tanaman buah-buahan, sayursayuran dan kelapa, Program Taman Agroteknologi/ Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) telah dibangunkan di atas tanah kerajaan negeri dimana ianya melaksanakan projek pertanian secara bersepadu yang turut berintegrasi dengan projek-projek perikanan dan penternakan. Terdapat 12 TKPM di Negeri Selangor.
-
Apakah program-program yang telah dijalankan bagi menggandakan pendapatan petani, penternak dan nelayan?
Antara Program Yang dijalankan untuk menambah pendapatan petani adalah Pembangunan Komuniti Berasaskan Aset menjadi fokus utama Kerajaan Negeri pada tahun ini.. Konsep ini penting dalam usaha pembangunan lestari di mana penghakupayaan dapat berlaku dengan penglibatan aktif pemimpin dan penduduk menggunakan aset setempat secara optimum.
Program ini memberi pengiktirafan khusus kepada pemimpin tempatan yang memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan individu dan komuniti di kawasannya. Ia juga merupakan salah satu strategi ke arah peningkatan hasil padi. Oleh kerana itu beberapa siri latihan telah diberikan kepada ahli-ahli jawatankuasa komuniti di kawasan tumpuan dengan penekanan kepada kemahiran kepimpinan, kemahiran berfikir dan juga pendedahan kepada konsep Pembangunan Komuniti Berasaskan Aset (Asset-Based Community Development (ABCD).
Melalui program ini, seramai 429 petani telah menanam padi menggunakan kaedah ini dan melibatkan keluasan 647 hektar. Penggunaan kaedah ini dapat mengurangkan kos pesawah sehingga 40% berbanding kos menggunakan kaedah penanaman secara konvensional dan pesawah terlibat berjaya meningkatkan pengeluaran hasil dari 6.9 metrik tan sehektar pada Musim 1/2011 kepada 7.5 metrik tan sehektar pada Musim 1/2012. Pengurangan kos dan peningkatan hasil membantu meningkatkan pendapatan pesawah yang terlibat
Namun selain pengurangan kos dan pengamalan pertanian yang mesra alam, program ini mampu menjana purata pendapatan tambahan sebanyak RM 2000 sebulan untuk petani dan pesawah yang terlibat dimana sehingga 2012, dianggarkan sebanyak RM337,590.00 pendapatan dijana hasil penjualan produk-produk Natural Farming yang dinamakan Sri Anak, Sri Bunga, Sri Buah.
Sehingga tahun 2013, sebanyak 6 Pusat Komuniti Pertanian Lestari ( Natural Farming ) yang telah ditubuhkan di kawasan barat laut iaitu:
- Sri D’9. Parit 9, Sg. Leman, Sabak Bernam
- Sri D’1, Pt 1 Banat, Sabak Bernam
- Sri D’Dorani, Pt2,Sg. Haji Dorani, Sabak Bernam
- Sri D’Lima, Sg. Nipah, Sabak Bernam
- Sri D’Nipah, Sg. Nipah 2, Sabak Bernam
- Sri Kencana, Sg. Burung,Kuala Selangor
Berdasarkan kejayaan Program ABCD di daerah barat laut, program ini telah diperluaskan ke daerah-daerah lain di Negeri Selangor dan pada tahun 2013, lima (5) lagi pusat komuniti telah ditubuhkan.
Pengenalan kepada sistem tanaman berbilang dikawasan kelapa dimana penanam kelapa digalakkan untuk menanam tanaman selingan seperti koko, nanas dan kopi bagi menggantikan tanaman selingan pisang yang telah dilanda wabak moko. Dengan ini dapat memaksimumkan penggunaan tanah serta memberi pendapatan sampingan kepada petani tersebut.
Selain itu, petani-petani juga digalakkan untuk menghasilkan produk hiliran yang berasaskan hasil petanian. Melalui Program Industri Asas Tani (IAT) . Produkproduk makanan hasil dari ladang akan diberi nilai tambah melalui gredding, pembungkusan dan pemrosesan minima, manakala produk IAT akan diberi penjenamaan dan pembungkusan yang lebih menarik supaya dapat menawan pengguna kelas menengah dan tinggi.
-
Apakah strategi bagi memodenkan industri-industri pertanian, penternakan dan perikanan?
Strategi bagi memodenkan industri pertanian adalah dengan memberi tumpuan kepada teknologi terkini yang membolehkan penghasilan produk komersil bernilai tinggi walaupun dengan keluasan tanah yang terhad. Antara teknologi yang diberi tumpuan adalah teknologi penanaman secara fertigasi secara autopot atau pun secara terbuka.
Penggunaan mekanisasi di kawasan sawah iaitu menggalakkan penanaman padi secara transplanter serta mempromosi amalan pertanian baik melalui penanaman secara ‘Natural farming’ selari dengan gaya hidup pengguna masakini yang mementingkan makanan yang kurang sisa baki racun. Pada masa yang sama alam dapat dilestarikan dalam jangka masa panjang serta mengurangkan kos pengurusan ladang bagi petani.