Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
356) PEMBANGUNAN PENGANGKUTAN AWAM LRT DI BANDAR PUNCAK ALAM
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Selari dengan pembinaan LRT di Shah Alam, adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk memanjangkan kemudahan pengangkutan tersebut ke bandar berkepadatan tinggi yang bersebelahan seperti Bandar Puncak Alam dan Setia Alam?
Perancangan dan keputusan bagi memanjangkan kemudahan LRT adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Perancangan tersebut perlu diteliti dan dibuat kajian terlebih dahulu oleh Kerajaan Persekutuan memandangkan ia akan melibatkan kos pembinaan, pengoperasian dan penyelenggaraan yang tinggi.
Selain daripada LRT, bagi menampung keperluan penduduk di kawasan sekitar Bandar Puncak Alam dan Setia Alam, terdapat pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang dilaksanakan untuk kemudahan pengangkutan di Selangor di mana stesen ECRL akan dibina di beberapa lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti iaitu Gombak, Serendah Baru, Puncak Alam, Kapar dan Jalan Kastam.
Kerajaan Negeri juga telah mengenalpasti 12 koridor laluan pengangkutan awam yang paling optimum untuk dilaksanakan di Negeri Selangor melalui Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS) dan telah dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi Rancangan Malaysia Ke-12. Terdapat dua (2) koridor yang dicadangkan meliputi kawasan Bandar Puncak Alam dan Setia Alam iaitu: KTM Freight Line North (Serendah – Klang) dengan liputan kawasan utara Negeri Selangor; dan LRT Circle Line 2 North (Rawang – Shah Alam) untuk memberi perkhidmatan kepada sekurang-kurangnya 10 bandar baru yang terletak di kawasan Puncak Alam, Selangor Vision City, Bukit Subang, Bukit Jelutong dan Shah Alam.
Walau bagaimanapun, untuk makluman Yang Berhormat, di antara cadangan 12 koridor tersebut, hanya satu cadangan koridor yang telah dipertimbangkan untuk dilaksanakan iaitu projek Mass Rapid Transit (MRT) Circle Line atau MRT3 oleh pihak MRT Corp, manakala 11 koridor lagi tidak dipertimbangkan pada masa ini.
Kerajaan Negeri juga adalah dalam proses untuk mengenalpasti cadangan jajaran Utara Selangor (Sabak Bernam – Klang) dan Selatan Selangor (Sepang – Shah Alam/ Klang) untuk menambahbaik jaringan pengangkutan awam di Selangor dan akan dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan selepas kajian dilaksanakan untuk pertimbangan di peringkat Kerajaan Persekutuan.