Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

167) PEMBANGUNAN PELANCONGAN SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah keberkesanan kempen pelancongan "Pusing Selangor Dulu" sejak Jun tahun 2020 hingga tahun 2023?

    Keberkesanan kempen pelancongan Domestik “Pusing Selangor Dulu” sejak Tahun 2020 dilancarkan adalah seperti berikut:-

    • Melalui pencarian tanda pagar atau ‘hashtag’ #PusingSelangorDulu di platform media sosial menunjukkan banyak konten-konten promosi pelancongan yang mempromosikan tanda pagar ini.
    • Sebanyak lebih 30,000 konten atau posting mempromosikan pelancongan Negeri Selangor dengan menggunakan tanda pagar #PusingSelangorDulu, di platform media sosial utama seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan X.
    • Lebih 5 juta tontonan untuk video promosi kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ termasuk, video promosi rasmi, video vlog dan video kolaborasi bersama Youtuber dan Vlogger.
    • Lebih 25 juta capaian keseluruhan di platform digital serta sosial media mempromosikan kempen Pusing Selangor Dulu.
    • Kempen Pusing Selangor Dulu merupakan kempen promosi pelancongan domestik pertama yang telah dianjurkan dan dilancarkan oleh Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor. Impak keberkesanan kempen ini juga boleh dilihat melalui peningkatan pelancongan domestik, dimana Negeri Selangor mencatatkan kemasukan 27.6 juta pengunjung domestik pada tahun 2023. Seperti yang diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor mengatasi semua negeri lain di Malaysia, diikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 22.2 juta pengunjung dan Sarawak sebanyak 17.9 juta pengunjung. Ini menandakan tahun ketiga berturut-turut Selangor menerajui dalam pasaran pelancongan domestik. Pada tahun 2021, Selangor telah menerima 10 juta pengunjung domestik, yang meningkat kepada 22 juta pada tahun 2022.
  2. Bagaimanakah kempen tersebut bakal melipatgandakan kemasukan pelancong sempena dengan pelancaran Tahun Melawat Selangor 2025?

    Kempen ini dapat menggandakan jumlah pelancong kerana inisiatif promosi yang rancak dilakukan serta kosisten seperti program kempen promosi pengiklanan pelancongan, program promosi dalam negara seperi MATTA Fair, program promosi luar negara seperti ITB Berlin, ATM Dubai, Sales Mission China, dan program FAM Trip bersama agensi pelancongan dan media. Manakala, penganjuran kempen Tahun Melawat Selangor merupakan kempen promosi pelancongan yang dianjurkan pada skala dan sasaran yang lebih besar daripada kempen-kempen pelancongan yang sebelum ini. Ianya bukan sahaja mensasarkan kepada peningkatan berterusan untuk pelancongan domestik, tetapi juga kepada pasaran antarabangsa. Ianya termasuklah, pasaran China, India, Eropah, Timur Tengah dan pasaran negara-negara ASEAN yang merupakan pasaran yang menyumbangkan jumlah kedatangan pelancong tertinggi di Negeri Selangor. Untuk Tahun Melawat Selangor 2025, Kerajaan Negeri mensasarkan 8 juta kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara.

  3. Adakah terdapat perancangan untuk memperkenalkan lebih banyak pengangkutan awam yang mesra pelancong?

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor sememangnya memperkenalkan semua pengangkutan awam yang ada di Negeri Selangor sebagai salah satu kekuatan pelancongan atau ‘reason to travel’ untuk menerokai tempat-tempat menarik yang ada di Negeri Selangor. Sistem pengangkutan awam dan jalinan perhubungan jalan yang luas memberikan nilai tambah kepada produk pelancongan di Negeri Selangor kerana memudahkan para pelancong untuk datang ke kawasan dan produk pelancongan tersebut. Antara inisiatif yang dijalankan adalah seperti berikut:-

    1. Memperkenalkan perkhidamatan Bas HOHO Selangor di Daerah Sepang
    2. Perancangan untuk sistem pengangkutan untuk meluaskan jaringan serta laluan bas HOHO selangor yang kini beroperasi di sekitar daerah Sepang, ke daerah-daerah yang lain yang menjadi tumpuan pelancong. Sehingga kini, pihak Tourism Selangor masih mengkaji pelaksanaannya di daerah lain dan juga menambahbaik pengangkutan yang sedia ada yang baru sahaja beroperasi secara rasmi pada tahun 2023
    3. Mempromosikan kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ dengan menggunakan bas Smart Selangor beserta slot pengiklanan pelancongan di bas tersebut
    4. Perancangan untuk bekerjasama dengan beberapa pengangkutan awam utama seperti MRT, Rapid, KTM dan sebagainya untuk mempromosikan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 yang akan datang

Lampiran

Tiada Lampiran.