Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

31) PEMBANGUNAN PELANCONGAN DI SEKINCHAN

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Edward Lee Poh Lin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pernahkah kawasan Sekinchan dikenal pasti dan diberi pertimbangan sebagai satu kawasan bagi tujuan pembangunan pelancongan?

    Pentadbiran Majlis tidak pernah menerima cadangan atau permohonan dari
    mana-mana agensi kerajaan, persatuan atau kumpulan untuk menjadikan
    kawasan tanaman padi Sekinchan sebagai sebuah kawasan tarikan
    pelancongan di daerah ini. Setakat ini, kawasan Sekinchan bukanlah merupakan
    kawasan utama bagi pelancongan. Namun begitu, telah terdapat usaha-usaha
    untuk memajukan kawasan berkenaan sebagai satu destinasi tarikan pelancong.
    Salah satunya ialah melalui kewujudan Homestay iaitu di Kampung Parit 7,
    Sungai Leman atau lebih dikenali dengan nama Homestay Papitusulem. Ini
    merupakan salah satu langkah Kerajaan Negeri melalui kerjasama bersama
    Tourism Selangor Sdn Bhd dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Selangor
    untuk memastikan pertambahan produk-produk pelancongan sedia ada
    khususnya bagi program Homestay.
    Baru-baru ini, pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor ( PKNS ) telah
    meninjau satu lagi kawasan yang berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu
    daya tarikan pelancong di kawasan Sekinchan iaitu di sekitar pantai berhampiran
    Bagan Sekinchan. Tinjauan ini bagi melihat dan mengkaji potensi-potensi dan
    keperluan semasa yang boleh dibangunkan di kawasan berkenaan. Namun,
    sehingga kini, belum terdapat sebarang keputusan berhubung pembangunan
    selanjutnya di kawasan yang berkenaan. Namun, kertas cadangan
    pembangunan sedang disediakan oleh pihak PKNS yang antara lain meliputi
    pembinaan hotel dan resort di kawasan tersebut.

  2. Kalau ya, apakah pelan tindakan untuk membuat sedemikian?

    Tidak ada sebarang pelan tindakan khusus bagi pembangunan kawasan
    berkenaan sebagai destinasi pelancongan di Negeri Selangor. Namun, ia masih
    berpandukan kepada Rancangan Struktur Negeri Selangor ( RSN ) 2020 yang
    antara lain turut menyenaraikan zon-zon pembangunan pelancongan di semua
    daerah di Negeri Selangor termasuk kawasan Sekinchan. Tidak ketinggalan
    juga di bawah Rancangan Tempatan Daerah Sabak Bernam itu sendiri. RSN
    dan Rancangan Tempatan Daerah adalah sebagai garis panduan kepada
    perancangan pembangunan yang akan dilaksanakan termasuklah bagi sektor
    pelancongan.

    Selain itu, di bawah jaringan kerjasama antara Kerajaan Negeri, Tourism
    Selangor Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Tempatan serta Pejabat Daerah, setiap
    kawasan / produk pelancongan yang berpotensi akan terus diberikan perhatian
    supaya ia mampu menjadi alternatif kepada produk pelancongan sedia ada.
    Kerajaan Negeri sentiasa membuka peluang kepada jabatan / agensi yang
    berkeupayaan untuk membangunkan semua kawasan / produk yang berpotensi
    tetapi ia perlulah mengambil kira dan mengkaji semua aspek perancangan
    pembangunan sedia ada. Ini terutamanya berkaitan dengan isu-isu sensitiviti
    alam sekitar dan masyarakat setempat. Pembangunan dalam bentuk apa jua
    sekalipun perlu menekankan konsep tadbir urus yang baik.

  3. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai dana untuk pembangunan sebegini di kawasan yang baru dan kalau ya, berapa banyak yang telah dibekalkan?

    Kerajaan Negeri tidak mempunyai dana yang khusus terhadap pembangunan
    kawasan sebegini. Namun pada masa yang sama, Kerajaan Negeri tidak pula
    meminggirkan dan menolak pembangunan. Ia perlulah sejajar dengan dasar
    dan polisi kerajaan semasa. Bagi pembangunan kawasan-kawasan / produk
    pelancongan, kerjasama sentiasa ditingkatkan bersama pihak seperti Tourism
    Selangor Sdn Bhd ( TSSB ), Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan dan
    Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Selangor. Jika terdapat potensi / keperluan
    sesebuah kawasan pelancongan itu dibangunkan, permohonan peruntukan akan
    dibuat secara terus kepada jabatan / agensi yang berkaitan. Selain itu, melalui
    Unit Perancang Ekonomi Negeri, peruntukan bagi penyelenggaraan dan menaik
    taraf produk pelancongan sentiasa diberikan setiap tahun. Namun, ia
    bergantung kepada keutamaan berdasarkan keperluan sesuatu kawasan /
    produk itu sendiri.

Lampiran

Tiada Lampiran.