Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
7) PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimana Kerajaan Negeri memastikan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk graduan dan tenaga kerja berkemahiran di negeri ini?
Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu graduan baru mencari pekerjaan selepas tamat pengajian. Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah:
- Program Selangor Mega Job Fair memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan di dalam bidang kemahiran termasuk kemahiran TVET selain bidang-bidang lain antaranya bidang perhotelan, makanan dan minuman (F&B), automotif dan sebagainya. Melalui program ini, setiap pemain industri dapat melaksanakan sesi penetapan temujanji temuduga atau temuduga on-site bagi pengisian kekosongan jawatan di syarikat masing-masing;
- Program Kemahiran Profesional di STDC Kampus Shah Alam pula telah mengadakan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Inc, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes dan sebagainya; Program ini menjurus kepada permindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri. Melalui program ini, pihak industri akan berkongsi modul program terkini mengikut keperluan pasaran yang tinggi yang boleh diguna pakai di industri utama dalam dan luar negara yang juga memberi peluang pekerjaan di syarikat-syarikat tersebut sekiranya layak dan memberi bantuan penempatan pekerjaan di bidang industri berkaitan setelah tamat pengajian;
- Pembangunan modul program bersama Technical University of Munich (TUM) dan beberapa universiti awam dan swasta di Malaysia; Kerjasama ini dijalinkan untuk menampung keperluan pengajaran dan pembelajaran kursus-kursus TVET di STDC dengan bertumpu kepada pengkongsian strategik tenaga pakar professional, liputan kepada pelajar dan mewujudkan program-program akademik yang relevan dengan keperluan industri bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan berkelayakan;
- Program kerjasama pembangunan modul bersama konsultan dan industri TVET di Negeri Selangor antaranya GE Engineering bagi program aeroangkasa, The Welding Institute (TWI Malaysia) bagi program kimpalan dan Carsome Institute bagi program automotif. Program-program ini membantu pelajar mempelajari secara spesifik keperluan di setiap industri tersebut seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk diserap bekerja dalam syarikat berkenaan sebaik tamatnya latihan yang diikuti; dan
- Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha untuk menambah baik inisiatif sedia ada dengan memantapkan jaringan kerjasama antara penyedia latihan dan pihak industri seperti memastikan peluang penempatan kerjaya graduan selepas mereka tamat pengajian. Melalui kerjasama dan program-program ini juga diharap memudahkan graduan mengenalpasti dapat mengisi kekosongan jawatan di mana-mana sektor awam dan swasta yang diminati dan bersesuaian dengan kemahiran yang diperoleh.
-
Apakah inisiatif yang diambil untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia di Selangor?
Kerajaan Negeri komited dalam membantu mengawal dan mengurangkan kadar pengangguran di kalangan rakyat negeri Selangor terutamanya golongan belia. Pelbagai inisiatif telah dilaksana dan terus dirancang di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia. Antara program utama adalah seperti berikut:
- Program Selangor Mega Job Fair
Program Selangor Mega Job Fair merupakan program tahunan berkonsepkan pameran kerjaya yang sangat efektif bagi membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam membantu belia yang memerlukan pekerjaan. Program yang pada awalnya di bawah Jawatankuasa Tetap Modal Insan ini telah mendapat sambutan yang sangat baik pada tahun 2022 dan 2023 dengan melibatkan di antara 100 hingga 150 syarikat atau majikan dalam pelbagai sektor pada setiap kali penganjuran.
Pelaksanaan pada tahun 2024 akan diteruskan oleh Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia dengan beberapa cadangan penambahbaikan bagi memastikan program kekal berimpak tinggi. Penganjuran program ini pada tahun 2022 dan 2023 telah menawarkan sebanyak 54,494 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai sektor dan jawatan bagi tempoh dua (2) tahun penganjuran.
- Program Jelajah Jobcare
Program Jelajah Jobcare adalah salah satu program utama anjuran Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia dengan usahasama bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) khusus untuk membantu rakyat negeri Selangor yang sedang mencari atau kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan pekerjaan. Program tahunan berkonsepkan pameran kerjaya ini dilaksanakan secara berperingkat di sembilan (9) daerah dalam negeri Selangor dan memfokuskan masyarakat tempatan sebagai kumpulan sasaran utama.
Program jelajah Jobcare 2023 telah berjaya memberi peluang pekerjaan kepada 228 pengunjung melalui temuduga kali pertama di tapak program manakala 1,170 pengunjung telah ditawarkan temuduga kali kedua. Maklumat berkenaan jumlah keseluruhan pengunjung bagi pelaksanaan Program Jelajah Jobcare tahun 2023 adalah seperti berikut :
BIL. PERKARA JUMLAH 1. Pendaftaran pengunjung 3,592 2. Kehadiran 1,603 3. Berjaya mendapat pekerjaan 228 4. Temuduga kali kedua 1,170 5. Gagal temuduga 613 Untuk makluman ahli Yang Berhormat, Program Jelajah Jobcare ini dilihat amat berkesan dalam membantu mengurangkan kadar pengangguran dan akan ditambahbaik lagi pada tahun 2024 agar lebih ramai pencari kerja mendapat manfaat. Antara cadangan penambaikan adalah menyediakan khidmat bimbingan secara percuma kepada pengunjung program jelajah untuk mempelajari asas penyediaan resume mengikut piawaian semasa dan kemahiran menghadiri temuduga yang berkesan. Selain itu, hebahan juga akan dipergiat dengan mempelbagaikan saluran promosi agar mencapai liputan yang lebih luas.
- Program BikeCare – 1000
Selain pameran kerjaya, Program BikeCare – 1000 yang diperkenalkan pada tahun 2022 telah membantu 100 orang pekerja untuk terlibat dalam perkhidmatan penghantaran dan pembungkusan sekaligus menjana pendapatan dalam ekonomi Gig. Bagi tahun 2023, seramai hampir 200 pekerja ekonomi Gig yang berkelayakan disasarkan menerima manfaat penyaluran bantuan deposit atau wang pendahuluan berjumlah RM1,000 bagi membeli sebuah motosikal bersesuaian.
- Lain-lain program
Pelbagai lagi program anjuran Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia telah memberi manfaat dan menggalakkan penglibatan dalam sektor pekerjaan terutamanya di kalangan belia negeri Selangor. Antaranya, Program Gigcare – 1000 (pembiayaan caruman perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial), Program Jaminan Kerja Selangor (pameran kerjaya usahasama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia(PERDASAMA)) dan program Latihan dan penempatan pekerja (usahasama dengan Institusi Pengajian Tinggi).
-
Apakah program sokongan yang disediakan untuk usahawan muda di Selangor dalam membangunkan perniagaan mereka?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai program Latihan Keusahawanan untuk membangunkan kemahiran usahawan di negeri ini termasuk usahawan belia. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Keusahawanan, UPEN dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti Menteri Besar Incorporated (MBI), SIDEC, Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS, Yayasan Hijrah Selangor, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Selangor Youth Community (SAY). Berikut merupakan program latihan yang ditawarkan kepada usahawan yang menjalankan perniagaan:
- Program U-PLATS
Program Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) merupakan program latihan yang ditawarkan di setiap kawasan mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mempersiapkan peniaga ke arah digitalisasi. Program U-PLATS menawarkan beberapa fasa dan modul khas seperti berikut:
- Fasa 1 memfokuskan kepada adaptasi digitalisasi dan penjanaan gandaan pendapatan. Di dalam fasa 1 juga, usahawan dididik untuk memastikan kewujudan perniagaan di dalam platform digital dan pembinaan kandungan kreatif seperti di tiktok untuk mengiklankan perniagaan mereka.
- Fasa 2 pula memfokuskan kepada perkemasan perniagaan sehingga mendapat pensijilan halal.
- Fasa 3 memfokuskan kepada “expand dan export” untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan membuka peluang pekerjaan.
- Klinik Usahawan Selangor
Penubuhan Klinik Usahawan Selangor yang dilaksanakan dengan kerjasama BPU PKNS sebagai agensi pelaksana adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek tadbir urus, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan kepada usahawan Negeri Selangor termasuk usahawan belia. Ia juga bertujuan untuk memberi bimbingan dalam perniagaan secara “one to one” dan menyeluruh bagi menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan.
Program BPU PKNS juga turut menjalankan program-program keusahawanan bermodul untuk pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah bagi membudayakan keusahawanan dalam kalangan peserta-peserta program. Program Perintis Usahawan (PPU) telah dilaksanakan sejak 2007 yang melibatkan pelajar dari sekolah rendah terpilih. Manakala Program Tunas Niaga (PROTUNe) telah dilaksanakan sejak 1998 yang melibatkan pelajar dari sekolah menengah terpilih.
- Program Selangor 1000 Digital
Objektif penganjuran Program ini dengan kerjasama SIDEC adalah untuk mendigitalisasikan usahawan di Selangor secara tuntas melalui satu kempen utama bermula bulan Mei 2024 – September 2024 di lima (5) daerah iaitu di Shah Alam, Sabak Bernam, Kota Warisan, Bandar Baru Bangi dan Taman Melawati. Program ini mensasarkan sebanyak 1000 peserta secara keseluruhan. Setakat ini, program yang diadakan di Shah Alam telah mencapai 350 peserta, dengan 17 pempamer yang terlibat dan 10 topik yang dibincangkan.
Kempen utama ini memfokuskan kepada dua elemen utama digitalisasi iaitu:
- Memperkasakan 500 usahawan e-dagang dengan teknologi dan penyelesaian digital yang membuka potensi tumbesaran usahawan.
- Melahirkan 500 hos penstriman langsung (live seller) yang boleh menjana pendapatan melalui platform digital.
Selain itu, SIDEC turut menjalankan program pemecut Selangor Accelerator Programme, pendidikan, bengkel, dan kursus latihan untuk membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan profesional dalam industri kreatif digital.