Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
323) PEMBANGUNAN MASYARAKAT ORANG ASLI
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat
Jabatan Kemajuan Orang Asli telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup Masyarakat Orang Asli di Selangor yang merangkumi pelbagai bantuan dan Program seperti Jadual berikut :
-
Bagaimana hak tanah adat Orang Asli dilindungi dalam pembangunan negeri?
Hak tanah adat Orang Asli di Malaysia, termasuk di negeri Selangor, dilindungi melalui undang-undang Akta 134 Akta Orang Asli 1954. Perlindungan hak tanah adat ini perlu di rezabkan agar tanah mereka ini terjamin.
-
Adakah terdapat inisiatif untuk memelihara budaya dan tradisi masyarakat Orang Asli di Selangor?
Jabatan Kemajuan Orang Asli juga telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk memelihara budaya dan tradisi masyarakat Orang Asli. Antaranya adalah usaha-usaha oleh kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO), serta komuniti Orang Asli itu sendiri. Berikut adalah beberapa inisiatif yang dapat dilihat:
- Program Sambutan Hari Orang Asli
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), setiap tahun akan menganjurkan festival dan acara yang diadakan untuk meraikan budaya dan tradisi masyarakat Orang Asli. Salah satunya adalah Hari Orang Asli yang biasanya melibatkan pameran, pertandingan seni, dan persembahan budaya yang memberi peluang kepada masyarakat umum untuk mengenali dan menghargai warisan budaya Orang Asli.
- Sambutan Hari Moyang (Kaum Mahmeri)
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), setiap tahun akan menyokong pelaksanaan Sambutan Hari Moyang (Kaum Mahmeri) khusus di Negeri Selangor bagi memulihara serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat Orang Asli. Program ini turut memberi penekanan kepada pemeliharaan tradisi budaya mereka, seperti kesenian, bahasa, dan upacara tradisional. Beberapa NGO juga terlibat serta memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak-hak dan pemeliharaan budaya masyarakat Orang Asli.
- Kursus Kemahiran Seni Tarian Orang Asli
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengadakan Kursus Seni Tarian Orang Asli bagi meningkatkan lagi kemahiran kepada Masyarakat Orang Asli dalam seni tarian mereka. Aktiviti kebudayaan seperti pertunjukan tarian, muzik, dan seni tangan menjadi salah satu cara untuk memastikan tradisi mereka diteruskan kepada generasi muda.
- Menaiktaraf Pusat Kraf Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey.
Inisiatif ini adalah memastikan Pusat Kraf akan terus dapat dijadikan pusat kepada Masyarakat Orang Asli untuk memperkenalkan budaya Orang Asli kepada orang luar turut dilaksanakan dengan beberapa komuniti Orang Asli membuka peluang pelancongan berasaskan budaya. Pelancong dapat mengunjungi kampung-kampung Orang Asli dan menyertai aktiviti tradisional seperti berburu, memancing, atau pembuatan barang-barang kraf, yang membantu menggalakkan pemeliharaan warisan budaya mereka.
Inisiatif-inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan bahawa budaya, bahasa, dan tradisi masyarakat Orang Asli tidak dilupakan atau terancam dalam arus modenisasi.