Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

167) PEMBANGUNAN LUAR BANDAR (KEMUDAHAN ASAS SEPERTI JALAN DAN LONGKANG LUAR BANDAR)

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Luar Bandar

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapa keadaan kemudahan asas di kawasan luar bandar tidak diselenggara dengan baik?

    Pada dasarnya, kemudahan asas di kawasan luar bandar telah diselenggara dengan baik. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa peka terhadap keperluan penyelenggaraan kemudahan asas luar bandar serta memastikan perkara ini tidak diabaikan selaras dengan objektif Kerajaan Negeri yang sentiasa memastikan Negeri Selangor menjadi negeri berdaya huni.

    Pada tahun 2022 Kerajaan Negeri menyediakan sejumlah peruntukan bagi tujuan membina atau menaik taraf serta baik pulih kemudahan asas di kawasan luar bandar bagi sembilan (9) Daerah di Negeri Selangor. Dalam hal ini, sejumlah RM2,000,000.00 yang merangkumi 24 projek bagi  kerja-kerja penyelenggaraan, baik pulih dan naik taraf jalan, longkang dan kemudahan dewan dan balairaya menggunakan peruntukan di bawah Vot P01 Luar Bandar. Kerajaan Negeri juga, amat prihatin dan sentiasa peka terhadap keperluan kemudahan asas luar bandar. Oleh yang demikian, satu program telah mula diperkenalkan pada tahun 2022 yang dikenali sebagai Projek Selangor Penyayang (PSP) yang mana Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM9,714,987.84 kepada sembilan (9) Pejabat Daerah dan Tanah yang merangkumi 265 projek bagi membaikpulih infrastruktur luar bandar pasca pandemik Covid-19. Selain itu juga, sejumlah RM27,638,324.63 telah diperuntukkan melalui peruntukan MARRIS yang merangkumi 345 projek bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan jalan-jalan, menaik taraf longkang dan saliran.

  2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap perkara ini?

    Setiap tahun Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM2 juta untuk tujuan membaikpulih dan menaiktaraf infrastruktur luar bandar. Selain itu, penyelenggaraan infra jalan dan longkang melalui peruntukan MARRIS pada tahun 2022 sejumlah RM30 juta siling diperuntukkan. Tahun 2023 Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan berjumlah RM56 juta bagi tujuan pelaksanaan Projek Selangor Penyayang (PSP) Fasa 2. Peruntukan ini khusus bagi memenuhi permohonan-permohonan daripada Ahli Dewan Negeri, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta rakyat turut diberi perhatian bagi memastikan keperluan kemudahan asas dapat disediakan serta diguna pakai oleh semua lapisan masyarakat. Dalam hal ini, peruntukan tersebut disalurkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai agensi pelaksana bagi pelaksanaan projek-projek yang dipohon sama ada daripada Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), aduan penduduk serta pemantauan yang dibuat sendiri oleh PDT atau PBT dan ianya perlu dirujuk kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) di kawasan berkaitan.

Lampiran

Tiada Lampiran.