Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
181) PEMBANGUNAN LEMBAH KLANG RAYA
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan status perancangan pembangunan Lembah Klang Raya.
Status perancangan pembangunan Lembah Klang Raya adalah seperti berikut:
- Penggubalan Enakmen
Pejabat Urus Setia Sementara SGKV telah melantik perunding pada 26 Disember 2024 untuk penyediaan rangka perundangan bagi penubuhan, pengurusan, dan pelaksanaan dasar pembangunan wilayah SGKV di Negeri Selangor dan dijangka siap pada Julai 2025.
- Penyediaan Blueprint SGKV 2035
Pejabat Urus Setia Sementara SGKV telah melantik juru perunding untuk melaksanakan kajian bagi membangunkan rangka kerja strategik SGKV yang akan menjadi panduan pembangunan dari tahun 2026 sehingga tahun 2035. Pelaksanaan kajian ini mengambil masa selama sembilan (9) bulan dan dijangka akan siap pada akhir tahun 2025.
- Pembaharuan Semula Bandar
Pejabat Urus Setia Sementara SGKV telah mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk pembangunan semula di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK). Pembangunan semula bandar ini adalah ke arah pembangunan mampan, memberikan nilai tambah kepada ekonomi negeri, penyediaan kemudahan infrastruktur yang kondusif dan kemudahan utiliti yang ditambah baik.
- Penyelarasan dan Penyeragaman Amalan Terbaik PBT
Menyelaras dan menyeragamkan semua prosedur bagi mengurangkan karenah birokrasi serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang adil dan konsisten di Negeri Selangor.
-
Apakah persediaan yang telah dimulakan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)?
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi kepada Pejabat Urus Setia Sementara SGKV. PBT juga telah menyediakan dan mengemukakan maklumat yang diperlukan bagi pelaksanaan kajian-kajian sebagaimana yang dirancang. Selain itu, PBT terlibat secara aktif dalam memberikan input dan maklumat dalam setiap perbincangan serta sesi libat urus yang dianjurkan oleh Pejabat SGKV.