Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016
125) PEMBANGUNAN LEBUH RAYA PANTAI BARAT
Tahun: 2016
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Dr. Haji Yaakob Bin Sapari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah jajaran pembinaan Lebuh Raya ini telah dimuktamadkan
Pada Mesyuarat MMKN Ke-10/2016 pada 16 Mac 2016, Kerajaan Negeri Selangor telah memutuskan supaya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi diminta memberikan perhatian dan menyediakan Kajian Impak Sosial (SIA) bagi menilai impak sosial kesan dari pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat ini, selain dari Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Impak Trafik (TIA) dalam hal pelaksanaan WCE bagi laluan Assam Jawa
– Tanjung Karang. Dengan adanya ketiga-tiga kajian ini akan memudahkan Kerajaan Negeri meneliti jajaran-jajaran yang paling sesuai (jajaran asal dan jajaran alternatif) dan memberikan pertimbangan bagi memenuhi keperluan, kemakmuran dan pembangunan kawasan sekitar. SIA yang disediakan perlu mengambil kira isu-isu tempatan yang berkaitan dengan impak ke atas kehidupan dan mata pencarian penduduk kampung, status Pekan Tanjong Karang, kebimbangan penduduk kampung terhadap jajaran asal yang membelah kampung tradisi, keselamatan pengguna jalanraya dan lain-lain isu sosial yang berkemungkinan berlaku kesan dari pembinaan lebuhraya tersebut. Kerajaan Negeri turut meminta supaya LLM membentangkan hasil kajian untuk diteliti sebelum jajaran di kawasan berkenaan dimuktamadkan. Status pembangunan bagi projek lebuhraya WCE sehingga 25 September 2016 ialah 24% berbanding peratus yang dijadualkan iaitu 32%.
-
Jajaran yang mana telah ditetapkan bagi Daerah Kuala Selangor, Tanjung Karang Dan Sabak Bernam
Jajaran lebuhraya ini melibatkan dua negeri iaitu Negeri Perak dan Negeri Selangor. Di Selangor, lebuhraya ini bermula daripada Jalan Banting – KLIA (B18) dan berakhir di Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sebelum
memasuki Negeri Perak. Di Perak pula bermula di Jalan Persekutuan (FR5) berdekatan dengan Jambatan Sungai Bernam di Hutan Melintang dan berakhir di sekitar Plaza Tol Changkat Jering Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Lebuhraya Pantai Barat bagi Negeri Selangor dibahagikan kepada 7 seksyen yang mana seksyen yang melibatkan Daerah Kuala Selangor, Tanjung Karang dan Sabak Bernam adalah seksyen 7 yang akan merangkumi Persimpangan Bertingkat Assam Jawa hingga Persimpangan Bertingkat Tanjung Karang.
-
Adakah mana-mana anak syarikat Kerajaan Negeri mempunyai kepentingan dalam pembinaan Lebuh Raya ini
Pembinaan WCE ini tidak melibatkan kepentingan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri.