Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

359) PEMBANGUNAN KEMUDAHAN KLINIK KESIHATAN DAN HOSPITAL DI HULU SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membangunkan dan menyediakan kemudahan Klinik Kesihatan dan Hospital di kawasan Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa daerah Hulu Selangor bagi memberikan kemudahan perkhidmatan Kesihatan yang baik?

    Pada masa  ini, kemudahan fasiliti kesihatan yang ada adalah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Bukit Sentosa yang menyediakan perkhidmatan dan rawatan kesihatan ibu mengandung, ibu selepas bersalin dan bayi sehingga umur 6 tahun. Selain itu, terdapat        Klinik Komuniti (KKOM) Bukit Beruntung dan KKOM Bukit Sentosa yang memberikan perkhidmatan dan rawatan pesakit luar (kes ringan). Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor telah mengemukakan cadangan dalam RMK-12 (Rolling Plan Kelima) untuk pembinaan Kompleks Kesihatan di Bukit Sentosa di atas tanah berkeluasan 6.8 ekar yang terdiri dari Pejabat Kesihatan Hulu Selangor, Pejabat Kesihatan Pergigian dan Klinik Kesihatan Bukit Sentosa Jenis 2 yang akan memberi perkhidmatan Pesakit Luar, Kesihatan Ibu dan Anak dan Klinik Pergigian.

  2. Adakah Kerajaan Negeri akan mengkaji dan menyediakan kemudahan Klinik Kesihatan dan hospital di kawasan tersebut?

    Penduduk di daerah Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa Daerah Hulu Selangor menerima manfaat kemudahan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh Hospital Kuala Kubu Bharu. Sejajar dengan peningkatan jumlah penduduk serta keperluan perkhidmatan kepakaran, cadangan naik taraf HKKB kepada Hospital Pakar Minor dengan Pembinaan Blok Baharu di Hospital Kuala Kubu Bharu telah dirancang dan disenarai pendek di bawah permohonan projek Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) Rolling Plan Kelima (RP5) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

    Buat masa ini, tiada cadangan untuk menyediakan hospital baharu di daerah Hulu Selangor berikutan perancangan Jabatan ini untuk menaik taraf HKKB sebagai Hospital Pakar Minor yang dianggarkan dapat memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk. Selain itu, penyampaian perkhidmatan kesihatan di HKKB turut diperkukuhkan dengan inisiatif Hospital Kluster di bawah Kluster Klang Valley 1 (KV1).

  3. Berapakah jumlah klinik kesihatan dan hospital Kerajaan yang ada di Selangor mengikut Daerah?

    Sehingga kini, terdapat sebanyak 220 buah fasiliti kesihatan primer yang terdiri daripada Klinik Kesihatan (KK), Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA), Klinik Desa (KD) dan Klinik Komuniti (KKOM) bagi menyediakan perkhidmatan di 9 buah daerah di negeri Selangor. Sehingga 31 Disember 2023, berikut merupakan taburan fasiliti kesihatan primer tersebut mengikut daerah:

     

    Daerah Klinik Kesihatan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Klinik Desa Klinik Komuniti Jumlah
    Gombak 10 4 2 16
    Hulu Langat 14 1 11 2 28
    Hulu Selangor 8 2 9 4 23
    Klang 12 14 2 28
    Kuala Langat 10 18 2 30
    Kuala Selangor 7 20 2 29
    Petaling 11 2 7 20
    Sabak Bernam 8 20 1 29
    Sepang 6 8 3 17
    JUMLAH 86 3 106 25 220

     

    Berikut merupakan bilangan hospital kerajaan mengikut daerah di negeri Selangor:

     

    Daerah Bil. Hospital
    Petaling 1 Hospital Shah Alam
    Hulu Langat 2 Hospital Ampang
    3 Hospital Kajang
    Klang 4 HTAR, Klang
    Gombak 5 Hospital Selayang
    6 Hospital Sungai Buloh
    7 Hospital Orang Asli Gombak
    Hulu Selangor 8 Hospital Kuala Kubu Bharu
    Kuala Langat 9 Hospital Banting
    Kuala Selangor 10 Hospital Tanjong Karang
    Sepang 11 Hospital Sultan Idris Shah
    12 Hospital Cyberjaya
    Sabak Bernam 13 Hospital Tengku Ampuan Jemaah

Lampiran

Tiada Lampiran.