Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

13) PEMBANGUNAN KEBUDAYAAN PELBAGAI KAUM DI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan kerajaan untuk membangunkan atau mempromosikan kebudayaan pelbagai kaum di Selangor terutamanya budaya kaum Cina dan India?

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program mempromosikan kebudayaan etnik cina dan india di Negeri Selangor dengan tujuan utama bagi memastikan kebudayaan etnik-etnik ini terus mendapat perhatian serta dihargai oleh generasi muda.

    Antara program utama yang dilaksanakan adalah program Rentak Selangor yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2015 di mana setiap tahun sekurang-kurangnya satu kumpulan kebudayaan daripada etnik cina atau india telah ditampilkan untuk dirakamkan serta didokumentasikan oleh pengamal-pengamal media sama ada cetak atau elektronik untuk menjadi tatapan, bacaan dan tontonan orang ramai dari dalam dan luar negara. Antara kumpulan atau kesenian yang telah ditampilkan untuk promosi adalah seni Urumee Melam, Tarian Kollatam, Seni Beladiri Silambam, Orkestra Cina, Seni Beladiri Wushu dan Gendang 24 Musim.

    Kerajaan Negeri juga melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, telah melaksanakan strategi pembangunan dan promosi kebudayaan pelbagai kaum melalui persembahan-persembahan kebudayaan oleh Kumpulan Kesenian PADAT di dalam majlis-majlis rasmi juga jemputan. Persembahan kebudayaan pelbagai kaum juga merupakan tema yang sering digunakan terutamanya ketika program-program anjuran Kerajaan Negeri. Selain itu, kebudayaan dan warisan daripada pelbagai kaum di Selangor juga merupakan antara pameran yang akan dipamerkan di Balai Kebudayaan, Muzium Sultan Alam Shah yang sedang dalam proses naik taraf.

    Dari aspek pembangunan, Kerajaan Negeri sedang membangunkan Kampung Budaya Selangor atau Selangor Cultural Village (SCV) iaitu salah satu komponen di dalam projek Selangor Maritime Gateway (SMG), di tepi Sungai Klang yang terletak di tengah-tengah Bandar Klang. SCV ini kelak akan menjadi pusat rujukan kepada sejarah, kebudayaan dan tradisi serta menjadi hab aktiviti kebudayaan yang mempamerkan aspek kepelbagaian dan pelbagai budaya warisan budaya etnik-etnik yang terdapat di Selangor melalui anak syarikat Kerajaan Negeri, Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) sebagai pelaksana di sepanjang Sungai Klang.

Lampiran

Tiada Lampiran.