Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

269) PEMBANGUNAN KAMPUNG TRADISI

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah sasaran infrastruktur dan kemudahan awam yang mahu disediakan oleh kerajaan untuk setiap kampung?

    1. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha keras untuk memastikan infrastruktur yang dinikmati oleh masyarakat pinggiran bandar adalah setanding dengan infrastruktur yang dinikmati oleh masyarakat di bandar. Bagi memastikan kelengkapan dan kesempurnaan infrastruktur ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan jumlah kewangan yang besar khas untuk menampung kos pembaikan dan pengwujudan infrastruktur baru di kawasan kampung. Pada tahun 2015, jumlah peruntukan yang diberikan untuk penyelenggaraan jalan kampung adalah sebanyak RM12 juta berbanding RM4 juta pada tahun 2014, manakala bagi menaiktaraf kemudahan asas desa peruntukan yang diberikan adalah sebanyak RM4 juta. Peningkatan peruntukan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri komited dalam menaiktaraf kemudahan awam dan infrastruktur di negeri Selangor khasnya di kawasan

     

    Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.84 juta untuk pembinaan mercu tanda bagi 268 buah kampung tradisi di Negeri Selangor. Pembinaan mercu tanda ini akan diseragamkan untuk memberikan identiti yang tersendiri bagi kampung tradisi.

     

    Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pembinaan dataran niaga bagi membangunkan ekonomi kampung-kampung tradisi di Negeri Selangor. Dataran niaga ini akan dijadikan medan untuk memasarkan produk-produk kampung dan sebagai tempat untuk penduduk kampung berkongsi idea dan maklumat tentang perniagaan. Pembinaan sebuah dataran niaga ini melibatkan kos sebanyak RM150,000.00 dan dirancang untuk diadakan di 56 buah kampung di dalam kawasan DUN secara berperingkat. Untuk tahun 2015, peruntukan sebanyak RM1.35 juta telah diluluskan menggunakan peruntukan Tabung Amanah Pembangunan Desa.

  2. Sila kemukakan pelan pembangunan kampung yang boleh dimanfaatkan oleh JKKK dan dimudahcarakan oleh wakil rakyat.

    1. Buat masa ini, Kerajaan Negeri tidak mempunyai pelan pembangunan kampung yang dijadikan dasar untuk pembangunan kampung tradisi di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, perancangan Kerajaan Negeri bagi tahun 2015 adalah berfokus kepada projek baik pulih dan menaiktaraf infrastruktur dan kemudahan awam di kampung.

Lampiran

Tiada Lampiran.