Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

16) PEMBANGUNAN KAMPUNG

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah peruntukan tahunan yang diberikan kepada setiap Ketua Kampung di Selangor?

    Setiap tahun Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan kepada setiap JPKK Kampung Tradisi di Selangor khusus bagi pelaksanaan program/ aktiviti kemasyarakatan di peringkat kampung. Peruntukan tahunan yang diberikan adalah sebanyak RM20,000.00 bagi setiap JPKK.

  2. Berapakah jumlah perlindungan insurans/ takaful tahunan yang melindungi Ketua Kampung lantikan negeri?

    Bagi manfaat perubatan, Kerajaan Negeri akan memastikan Ketua Kampung/ Pengerusi JPKK Kampung Tradisi Negeri Selangor dilindungi di bawah Program Iltizam Selangor Sihat Penjawat Awam, antara manfaat-manfaat yang akan diterima adalah:

    i) Perlindungan Perubatan Komprehensif – Merangkumi rawatan pesakit luar, kemasukan ke hospital, serta pembedahan di hospital kerajaan dan swasta terpilih;

    ii) Manfaat Kemalangan dan Kecacatan Kekal – Pampasan bagi kecederaan akibat kemalangan semasa menjalankan tugas rasmi;

    iii) Bantuan Kematian – Pampasan kepada waris sekiranya berlaku kematian Ketua Kampung akibat kemalangan atau penyakit kritikal; dan

    iv) Pampasan Hilang Upaya – Bantuan kewangan bagi Ketua Kampung yang tidak dapat menjalankan tugas akibat kecederaan serius atau penyakit terminal.

  3. Apakah imbuhan lain yang diterima oleh Ketua Kampung lantikan negeri bagi tahun 2023 dan 2024?

    Kerajaan Negeri memperuntukkan elaun bulanan sebanyak RM1,500.00 dan elaun menghadiri mesyuarat/ majlis rasmi sebanyak RM400.00 tertakluk kepada kadar RM40.00 bagi setiap mesyuarat/ majlis kepada Ketua Kampung/ Pengerusi JPKK Kampung Tradisi di negeri Selangor. Ketua Kampung/ Pengerusi JPKK Kampung Tradisi juga tidak dikecualikan daripada Bantuan Khas Kewangan (BKK) yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor. Pada tahun 2023, setiap Pengerusi JPKK Kampung Tradisi telah menerima BKK sebanyak dua setengah (2.5) bulan manakala pada tahun 2024 sebanyak dua (2) bulan. Selain itu, bermula tahun 2025, setiap Ketua Kampung/ Pengerusi JPKK Kampung Tradisi juga turut dibekalkan dengan sebuah komputer riba dan dilengkapi dengan langganan internet bagi tujuan menambah baik pengurusan dan urusan JPKK di setiap kampung. Penyerahan komputer riba kepada setiap Ketua Kampung/ Pengerusi JPKK Kampung Tradisi telah dibuat dalam Majlis Amanat YAB Dato’ Menteri Besar bersama JPKK Negeri Selangor yang berlangsung pada 2 Februari 2025 lalu.

Lampiran

Tiada Lampiran.