Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

105) PEMBANGUNAN KAMPUNG

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai peruntukan khusus untuk pembangunan infrastruktur di kawasan kampung?

    Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan kualiti penyediaan infrastruktur luar bandar adalah setaraf dengan yang diterima oleh penduduk bandar. Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khusus pada setiap tahun untuk projek luar bandar kampung tradisi dan pada tahun 2024, peruntukan berjumlah RM2,000,000.00 bagi kerja-kerja baik pulih jalan luar bandar dan RM2,000,000.00 bagi kerja-kerja baik pulih kemudahan awam luar bandar disediakan bagi pelaksanaan projek pembangunan luar bandar yang menumpukan kepada kemudahan di bawah seliaan sembilan (9) Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor.

    Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri juga meneruskan pelaksanaan Projek Selangor Penyayang (PSP) melalui Pejabat Daerah dan Tanah berdasarkan permohonan yang diterima daripada Ahli Dewan Negeri atau Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri. Sejumlah RM14 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan baikpulih dan naiktaraf infrastruktur awam dan jalan luar bandar.

    Dalam pada masa yang sama, setiap Pejabat Daerah juga menerima peruntukan MARRIS yang diselia oleh Perbendaharaan Negeri Selangor bagi pelaksanaan projek baikpulih jalan luar bandar selain peruntukan luar bandar daripada Pejabat Kemajuan Desa dan Wilayah Negeri Selangor bagi tujuan sama.

     

  2. Apakah usaha kerajaan dalam menaik taraf parit dan saliran terutama di kampung-kampung tradisi yang sudah semakin tidak sesuai digunakan?

     Sistem perparitan dan saliran di kawasan kampung tradisi adalah di bawah tanggungjawab empat (4) pihak iaitu Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) berdasarkan kawasan seliaan masing-masing. Kerja-kerja menaiktaraf dilaksanakan secara berfasa oleh Agensi-agensi berkenaan berdasarkan senarai keutamaan di peringkat agensi serta peruntukan kewangan yang diterima. Peruntukan yang dinyatakan di Perenggan (a) juga boleh digunakan bagi tujuan membaikpulih atau menaiktaraf sistem saliran di kampung tradisi.

    Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada kerja-kerja menaiktaraf perparitan dan saliran di kawasan-kawasan berisiko banjir dalam kawasan kampung tradisi di seluruh negeri Selangor untuk mengurangkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa pada setiap tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.