Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
297) PEMBANGUNAN JALAN KAMPUNG
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapa peruntukan kos membaiki jalan-jalan kampung Sabak Bernam untuk tahun 2023?
Pada tahun 2023, terdapat dua (2) jenis peruntukan yang telah diluluskan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam bagi membaik pulih jalan-jalan kampung di Daerah Sabak Bernam yang dikategorikan sebagai Jalan Perhubungan Luar Bandar (PLB). Peruntukan pertama yang telah diluluskan merupakan peruntukan di bawah Projek Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS). Peruntukan yang diluluskan kepada Daerah Sabak Bernam bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM6,050,000.00.
Manakala, peruntukan lain bagi kerja-kerja membaik pulih jalan kampung terdiri daripada peruntukan Projek Selangor Penyayang (PSP) tahun 2023 sebanyak RM898,293.00 yang merangkumi lapan belas (18) projek keseluruhannya. Peruntukan untuk DUN Sekinchan sebanyak RM199,900.00 merangkumi empat (4) projek, DUN Sungai Panjang sebanyak RM448,820.00 merangkumi sembilan (9) projek dan DUN Sungai Air Tawar / BNO sebanyak RM249,573.00 merangkumi lima (5) projek.
Bagi jalan-jalan kampung yang dikategorikan sebagai Jalan Perhubungan Desa (JPD), jalan ini terletak di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di mana KKDW bertanggungjawab sepenuhnya ke atas peruntukan penyelenggaraan dan baik pulih jalan. Selain itu, bagi jalan-jalan kampung yang dikategorikan sebagai Jalan Ladang adalah terletak di bawah tanggunjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta IADA untuk penyelenggaraan jalan-jalan tersebut.
Di bawah peruntukan Perbelanjaan Pembangunan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Negeri Selangor, jumlah peruntukan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM1,700,000.00. Manakala, terdapat dua (2) jenis peruntukan yang diluluskan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu peruntukan Projek Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) sebanyak RM650,000.00 dan peruntukan Jalan Ladang sebanyak RM400,000.00
Jumlah keseluruhan peruntukan bagi kerja-kerja membaik pulih jalan-jalan kampung di Daerah Sabak Bernam untuk tahun 2023 adalah sebanyak RM9,698,293.00.
-
Apakah kekangan kerajaan sehingga masih gagal untuk memasang lampu jalan di kawasan penting?
Kerajaan Negeri Selangor akan sentiasa memastikan kawasan luar bandar di Selangor tidak ketinggalan dalam menerima pembangunan. Bagi kemudahan lampu awam, Kerajaan Negeri Selangor pada masa kini telah menggariskan beberapa kriteria dan keperluan bagi mencapai hasrat dan objektif tersebut. Kriteria pemasangan lampu jalan awam adalah seperti berikut:
- Kawasan hotspot iaitu kawasan yang mempunyai rekod jenayah tinggi / kemalangan seperti disahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM);
- Jalan masuk utama ke kawasan kampung, pondok bas, bonggol jalan, dewan, Masjid, surau, rumah ibadat, sekolah dan lain-lain tempat tumpuan awam;
- Jalan-jalan yang didapati bahaya melibatkan kemalangan seperti selekoh dan
Permohonan pemasangan lampu jalan awam di kampung tradisi adalah berdasarkan permohonan yang telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) melalui Pejabat Daerah dan Tanah sama ada daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan aduan penduduk dan permohonan tersebut dirujuk kepada Ahli Dewan Negeri di kawasan berkaitan. Pemilihan projek-projek tersebut adalah berdasarkan kepada keperluan dan kriteria yang telah ditetapkan dan tahap kekritikalan permohonan tersebut.
Pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga telah melaksanakan projek pemasangan dan penyelenggaraan lampu-lampu jalan kampung (LJK) di luar bandar dan memperuntukkan sebanyak 40 unit lampu bagi setiap kampung termasuk dengan bilangan lampu jalan sedia ada yang telah dipasang dan bil utiliti, kos operasi dan penyelenggaraan ditanggung oleh pihak Kementerian.
Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan antara kekangan Kerajaan sehingga tidak dapat memasang lampu jalan di kawasan penting adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah disebabkan kos pemasangan yang tinggi di kawasan pedalaman menyukarkan pemasangan lampu jalan dibuat di kampung-kampung. Sambungan bekalan daripada ‘fidder pillar’ ke tiang lampu baru yang melebihi 16 batang tiang sedia ada akan melibatkan kos yang tinggi. Jika ada permohonan ‘fidder pillar’ melebihi 200 meter daripada pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), tiada penyambungan bekalan elektrik akan diberikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu membina pencawang baru dengan kos anggaran sebanyak RM300,000.00.
Cadangan penyelesaian kepada isu ini adalah dengan membuat permohonan pemasangan lampu LED berkuasa solar sebagai alternatif kepada lampu jalan konvensional di samping dapat mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan seperti bayaran bil bulanan untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penduduk kampung.