Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

25) PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR BELIA DAN SUKAN

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan pembangunan infrastruktur belia dan sukan yang telah dilaksanakan sejak 2020 mengikut DUN?

    Kerajaan Negeri amat menitikberatkan aspek pembangunan sukan dan sangat prihatin terhadap keperluan kemudahan sukan di Negeri Selangor.

    Keperluan projek pembaikan ini adalah bagi memastikan kemudahan sukan yang telah rosak dapat dinaiktaraf untuk digunakan oleh masyarakat setempat sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti kesukanan dan riadah. Projek-projek pembangunan Infrastuktur Sukan ini juga akan diutamakan kepada kemudahan-kemudahan sukan yang kritikal dan perlu dinaiktaraf segera.

    Menyedari bahawa aktiviti bersukan merupakan wadah perpaduan yang bukan sahaja memupuk minat rakyat untuk menjalani gaya hidup yang sihat, tetapi aktiviti sukan juga dapat memupuk semangat untuk meraikan perbezaan di kalangan rakyat, Kerajaan Negeri telah bersetuju menambah peruntukan bagi pembaikan infra sukan ini daripada peruntukan RM2,240,000.00 bagi tahun 2021 kepada RM4,000,000.00 bagi tahun 2022. Dengan pertambahan peruntukan ini, adalah diharapkan akan lebih banyak kemudahan sukan yang mengalami kerosakan dapat diselenggara.

    Semenjak 2020, Kerajaan Negeri telah menyelenggara sebanyak 79 kemudahan sukan di seluruh negeri Selangor dengan jumlah peruntukan yang dibelanjakan adalah sebanyak RM3,897,087.15. Daripada jumlah

    tersebut, sebanyak RM2,008,969.46 telah dibelanjakan pada tahun 2020 bagi menyelenggara 42 kemudahan sukan. Manakala bagi 2021 pula sebanyak 29 kemudahan telah diselenggara dengan perbelanjaan sebanyak RM1,512,852.69. Bagi tahun 2022 pula, sehingga Jun sebanyak 8 kemudahan sukan telah diselenggara dengan perbelanjaan sebanyak RM375,265.00. Di samping itu, terdapat permohonan yang masih dalam proses penilaian oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS). Perincian kemudahan yang telah diselenggara dari 2020 sehingga 2022 mengikut DUN adalah seperti di Lampiran.

  2. Adakah perancangan pembinaan dataran belia di Dun Sementa di tempat yang strategik?

    Majlis Perbandaran Klang merancang untuk menyediakan kemudahan rekreasi dan sukan untuk semua peringkat komuniti di setiap DUN terutama di kawasan Klang Utara didalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang.

    Justeru itu terdapat cadangan untuk menyediakan kemudahan taman awam, rekreasi dan sukan di Taman Bandar Bukit Raja dan Kemudahan sukan dan rekreasi di Jalan Korporat, Meru. Sehubungan dengan itu, cadangan membina dataran kompleks belia di DUN Sementa adalah relevan dan boleh dilaksanakan di beberapa lokasi strategik iaitu kawasan lapang yang telah direzabkan seperti Kompleks Belia Sementa, kawasan lapang Klang Perdana dan Kawasan lapang Sungai Kapar Indah.