Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
285) PEMBANGUNAN INDUSTRI TVET DI SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah bentuk kerjasama Kerajaan Negeri dengan pemain-pemain industri TVET di Selangor?
Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi menarik minat graduan lepasan SPM untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang teknikal dan vokasional (TVET) di institusi Pendidikan di bawah Kerajaan Negeri Selangor dan beberapa pusat latihan berkaitan. Kerjasama dan jaringan industri ini bukan hanya di peringkat negeri malah di peringkat antarabangsa termasuklah kerjasama dengan institusi pengajian dan agensi Kerajaan dan swasta. Antara bentuk kerjasama yang dilaksanakan bersama pemain industri tempatan dan antarabangsa adalah:
- Program TVET IKTISASS di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Kampus Kuala Selangor dengan kerjasama syarikat-syarikat seperti Perodua, volkswagen, Wrightbus Malaysia dan Aerodyne bagi program automotif, Daikin bagi program pemasangan dan penyelenggaraan penghawa dingin serta Yamaha bagi penyelenggaraan motorsikal. Syarikat-syarikat ini juga akan menawarkan peluang pekerjaan bagi pelajar lepasan STDC dan sentiasa bekerjasama dalam memberikan pandangan terhadap keperluan tenaga kerja dalam industri terkini;
- Program Kemahiran Profesional di STDC Kampus Shah Alam pula telah mengadakan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Inc, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes dan sebagainya. Program ini menjurus kepada permindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri. Melalui program ini, pihak industri akan berkongsi modul program terkini mengikut keperluan pasaran yang tinggi yang boleh diguna pakai di industri utama dalam dan luar negara yang juga memberi peluang pekerjaan di syarikat-syarikat tersebut sekiranya layak. Program ini dapat menggalakkan anak muda untuk mempelopori bidang baru di peringkat pengajian tinggi dan membantu penyediaan tenaga kerja dalam bidang yang berkaitan.
- Pembangunan modul program bersama Technical University of Munich (TUM) dan beberapa universiti awam dan swasta di Malaysia. Kerjasama ini dijalinkan untuk menampung keperluan pengajaran dan pembelajaran kursus-kursus TVET di STDC dengan bertumpu kepada pengkongsian strategik tenaga pakar professional, liputan kepada pelajar dan mewujudkan program-program akademik yang relevan dengan keperluan industri bagi melahirkan tenaga kerja mahir; dan
- Program kerjasama pembangunan modul bersama konsultan dan industri TVET di Negeri Selangor antaranya GE Engineering bagi program aeroangkasa, The Welding Institute (TWI Malaysia) bagi program kimpalan dan Carsome Institute bagi program automotif. Program-program ini membantu pelajar mempelajari secara spesifik keperluan di setiap industri tersebut seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk diserap bekerja dalam syarikat berkenaan sebaik tamatnya latihan yang diikuti.
-
Berapakah jumlah penerapan graduan TVET dalam syarikat-syarikat GLC Negeri Selangor?
Sejak tahun 2018, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Negeri Selangor di bawah program IKTISASS telah melahirkan lebih 4,000 graduan dari pelbagai institusi yang bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor antaranya STDC, SHRDC, TWI Malaysia, GMI, Carsome Institute dan sebagainya. Graduan yang lahir daripada institusi TVET ini sentiasa mendapat tempat di pelbagai syarikat dan industri berkaitan setelah tamat pengajian setanding dengan ilmu kemahiran yang lengkap yang diperolehi sepanjang pengajian. Walau bagaimanapun, tiada data rasmi jumlah penerapan graduan TVET dalam syarikat-syarikat GLC Negeri Selangor setakat ini.