Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
240) PEMBANGUNAN INDUSTRI SEMIKONDUKTOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menggalakkan pembangunan industri semikonduktor di Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor telah merancang dan melaksanakan beberapa inisiatif untuk menggalakkan pembangunan industri semikonduktor di negeri ini. Antara langkah utama yang diambil termasuk:
- Penubuhan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC Design Park): Kerajaan Negeri telah membangunkan sebuah hab reka bentuk litar bersepadu di Puchong, yang merupakan pusat sektor semikonduktor terbesar di Asia Tenggara. Pusat ini telah mula beroperasi pada Jun 2024 dan bakal membuka hampir 500 peluang kerjaya profesional, termasuk dalam bidang kejuruteraan dengan gaji bulanan antara RM5,000 hingga RM7,000;
- Pembangunan Taman Semikonduktor Kedua: Susulan permintaan tinggi daripada pemain industri, Kerajaan Negeri merancang untuk membangunkan taman reka bentuk IC kedua. Perbincangan sedang dijalankan untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor yang semakin berkembang.
- Program Latihan dan Pembangunan Bakat: Kerajaan Negeri melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) serta Akademi Semikonduktor Malaysia (ASEM) bekerjasama dengan industri untuk melaksanakan program latihan yang bertujuan melahirkan tenaga pakar dalam bidang semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI). Langkah ini diambil bagi memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor tersebut.
-
Berapakah jumlah pekerjaan yang dijangka akan diwujudkan?
Kerajaan Negeri Selangor menjangka pembangunan industri semikonduktor akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi bagi rakyat tempatan. Sebagai contoh, Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC Design Park) di Puchong dijangka menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan profesional dalam tempoh setahun beroperasi, dengan gaji bulanan antara RM5,000 hingga RM7,000.
Selain itu, pelan strategik semikonduktor kebangsaan menyasarkan untuk menjana nilai tahunan RM100 bilion dalam sektor semikonduktor dan eksport elektrik dan elektronik (E&E), dengan Selangor bersedia menyumbang sehingga 30 peratus daripada sasaran tersebut.
-
Bagaimana Kerajaan Negeri bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi untuk membangunkan bakat dalam bidang teknologi semikonduktor dan penyelidikan yang berkaitan?
Kerajaan Negeri Selangor melalui pelaksanaan inisiatif SIDEC Sdn Bhd di dalam penyediaan latihan berkaitan bidang teknologi semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) yang telah dilaksanakan oleh pihak AI Nusantara yang kini dikenali sebagai Akademi Semikonduktor Malaysia (ASEM) telah melatih seramai 600 orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai institut pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam memberikan latihan kemahiran berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi menambah potensi pelajar dalam memenuhi keperluan di bidang pekerjaan masa kini.
Pihak AI Nusantara juga telah melaksanakan kursus latihan Train-The-Trainer (TTT) kepada 30 orang pensyarah yang terdiri daripada 20 institut pengajian tinggi tempatan seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Sains Malaysia (USM), Multimedia University (MMU) Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kursus latihan yang dijalankan selama sebulan ini merangkumi menghadiri latihan secara fizikal di Academia Sinica, Taiwan, sesi mentor secara atas talian dan pembentangan projek dimana hasilnya para tenaga pengajar ini dapat mengadaptasi keperluan pengetahuan teknologi masa kini dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pengajar dari luar negara.
Sumber : Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC)