Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

39) PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik (termasuk berapa harian menginap dan perbelanjaan) pelancong asing yang melancong di Negeri Selangor.

    Bagi tahun 2023, jumlah kedatangan pelancong antarabangsa ke Negeri Selangor adalah seramai 2.86 juta orang, di mana ianya mencatatkan peningkatan sebanyak 75.3% berbanding tahun 2022. Di samping itu, jumlah kedatangan pelancong antarabangsa tersebut menyumbang sebanyak 32% daripada jumlah keseluruhan pelancong ke Negeri Selangor pada tahun 2023.

     

    Selain itu, jumlah perbelanjaan pelancongan (Tourism Receipt) pasaran pelancong antarabangsa bagi tahun 2023 adalah dianggarkan sebanyak RM7.1 billion. Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan daripada laporan Tourism Malaysia, anggaran purata penginapan pelancong antarabangsa di Malaysia adalah sebanyak 7 hari.

  2. Nyatakan stategi untuk menarik pelancong asing ke Selangor.

    Di antara strategi yang telah dilaksanakan oleh Tourism Selangor dalam meningkatkan kedatangan pelancong dari luar negara adalah seperti berikut:

     

    • Meneruskan kempen “Splendid Selangor, Take Me Anywhere” dengan memberi fokus kepada segmen pelancongan yang terdapat di Negeri Selangor berdasarkan permintaan bagi setiap segmen pasaran yang diketengahkan. Sebagai contoh, bagi pasaran Timur Tengah, tumpuan akan diberikan kepada segmen Pelancongan Taman Tema, Pelancongan Kesihatan dan Pelancongan Eko. Manakala bagi pasaran Asia, tumpuan akan diberikan kepada segmen Pelancongan Eko, Pelancongan Agro dan Pelancongan Warisan;

     

    • Menjalinkan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan yang terdiri daripada persatuan pelancongan, pengusaha produk pelancongan dalam mengadakan MOC (Memorandum of Collaboration) untuk memperkenalkan Selangor sebagai destinasi pelancongan melalui penyediaan pakej-pakej pelancongan bagi pelancong asing. Wakil agensi pelancongan akan dilantik sebagai agen dan mediator kepada pelancong-pelancong luar untuk memperkenalkan Selangor sebagai destinasi pilihan secara konsisten; dan

     

    • Menyertai siri promosi luar negara yang dianjurkan oleh pihak MOTAC dan Tourism Malaysia selain mengendalikan sendiri siri program Sales Mission dengan mempromosikan produk pelancongan yang terdapat di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.