Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

200) PEMBANGUNAN INDUSTRI KREATIF SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah kerajaan untuk membangunkan industri kreatif melalui penganjuran program seperti TUKANG Design & Craft Festival?

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor sememangnya bergiat aktif untuk mempromosikan produk pelancongan yang berkonsepkan kesenian, kebudayaan, warisan serta industri kreatif secara khususnya. Antara inisiatif yang telah dan sedang dijalankan adalah seperti berikut:-

    1. Melalui penganjuran acara pelancongan yang mengetegahkan kesenian, dan kebudayaan di Negeri Selangor seperti Selangor Indigenous Arts & Festival, TUKANG Design & Craft Festival, Festival Sate, Festival Nasi Ambeng dan PJ International Folklore Festival.
    2. Pihak Tourism Selangor juga bekerjasama dengan beberapa produksi kreatif seperti Animonsta Studios bagi mempromosikan produk pelancongan Negeri Selangor melalui siri animasi Boboboy.
    3. Pihak Tourism Selangor akan memperbanyakkan lagi Kerjasama dengan penggiat Industri kreatif dan sudah menyediakan beberapa kawasan berpotensi untuk dijadikan kawasan penggambaran filem dan program TV seperti di Pulau Ketam, Kuala Kubu Bharu, Sekinchan, Tanjung Sepat dan Kuala Selangor.
    4. Kempen promosi pelancongan mempromosikan warisan dan nilai sejarah seperti Royal Klang Heritage Walk, Kajang Once Upon a Time, dan Jejak Warisan Kuala Kubu Bharu.
    5. Slot persembahan kebudayaan dan demonstrasi kraftangan Negeri Selangor yang menjadi pengisian serta konten utama dalam program promosi dalam negara seperti MATTA Fair, Jelajah Pusing Selangor Dulu serta program promosi luar negara seperti ITB Berlin, WTM London, dan ATM Dubai.
    6. Penyediaan cenderahati korporat pelancongan untuk program-program promosi yang dianjurkan dan disertai oleh pihak Tourism Selangor membawa produk kraftangan dan IKS daripada negeri Selangor.
    7. Bekerjasama dengan pihak MOTAC dan JKKN untuk memperbanyakkan program kebudayaan di Negeri Selangor
  2. Apakah peruntukan bagi pembangunan industri seni, budaya dan kreatif di Selangor?

    Bagi tahun 2024, Jawatankuasa Tetap (JKT) Kebudayaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk melaksanakan program-program seni budaya di peringkat negeri yang merangkumi aktiviti seni pentas dan layar, aktiviti seni awam dan progran kebudayaan rakyat dengan kerjasana melibatkan agensi-agensi kerajaan seperti PADAT, Pihak Berkuasa Tempatan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

  3. Apakah insentif bagi pengamal industri kreatif dan usaha supaya mereka terlibat dengan komuniti?

    JKT Kebudayaan Negeri Selangor sentiasa mengalu-alukan penglibatan penggiat-pengiat seni budaya untuk turut sama dalam menjayakan program-program di peringkat negeri. Ini boleh dilihat dengan keterlibatan penggiat-penggiat seni dalam aktiviti-aktiviti kebudayaan dan townhall yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri. Melalui kerjasama dalam program-program tersebut secara tidak langsung telah memperkasa jaringan di kalangan pengiat seni dan menyemarakkan lagi industri kreatif di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.