Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

162) PEMBANGUNAN INDUSTRI KECIL SEDERHANA

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Perindustrian

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri sediakan tapak IKS di setiap DUN sejak tahun 2013?

    Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap peniaga-peniaga yang melibatkan diri dalam industri IKS. Di daerah-daerah di negeri Selangor kebanyakan peniaga terlibat dengan industri kecil iaitu ditakrifkan sebagai perniagaan yang mempunyai jualan kurang daripada RM300,000.00 setahun dan mempunyai pekerja tetap sebanyak 2 hingga 5 orang. Kebanyakan mereka menjadikan perniagaan ini sebagai sumber pendapatan keluarga.  Atas sebab itu Kerajaan Negeri menyediakan tapak-tapak perniagaan bagi meletakkan para usahawan supaya lebih teratur dan selamat.   Selain untuk membantu usahawan kecil-kecilan, ia juga dapat merancakkan ekonomi setempat.  Antara tapak/platform perniagaan yang disediakan kepada para usahawan adalah seperti premis perniagaan di Uptown Shah Alam, Pasar Seri Seksyen 13 dan 16. Caj sewa yang dikenakan amat berpatutan berbanding premis perniagaan lain.  Ini bagi memastikan peniaga mendapat margin keuntungan yang maksimum serta dapat menawarkan harga yang terendah kepada pelanggan.

  2. Sila kemukakan senarai lengkap lokasi tapak IKS di Selangor

    Pada masa kini antara platform sedia ada di bawah Kerajaan Negeri Selangor adalah di Uptown Seksyen 24 Shah Alam, Pasar Seri Seksyen 13 dan Pasar Seri Kuarters Seksyen 16 Shah Alam. Di Uptown 24 Shah Alam terdapat 455 usahawan yang berniaga setiap hari yang terdiri daripada pelbagai jenis barangan dan makanan. Manakala terdapat 24 peniaga yang berniaga di Pasar Seri Seksyen 13 dan kuarters Seksyen 16 Shah Alam.

  3. Apakah insentif atau kemudahan yang dibekalkan oleh Kerajaan Selangor untuk pembangunan IKS?

    Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan bajet sebanyak RM5 juta setiap tahun bagi menggiatkan pembangunan IKS. Peruntukan tersebut meliputi bantuan barangan dan peningkatan produk, kursus keusahawanan, pameran/ekspo dan karnival/ festival usahawan. Setiap permohonan bantuan yang diterima akan diteliti bagi mengikut kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan.  Bagi peserta yang mengikuti pameran dan ekspo, rekod kemajuan peniagaan akan dipantau selepas program dijalankan bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan mempunyai impak yang positif kepada usahawan.

    • BANTUAN BARANGAN DAN KEWANGAN

    Bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada usahawan di negeri Selangor adalah bantuan Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) di mana bantuan ini bukan berbentuk kewangan tetapi dalam bentuk peralatan sebagaimana yang diperlukan oleh pemohon bagi membantu meningkatkan perniagaan mereka.  Selain itu bantuan yang diberikan kepada usahawan adalah pembangunan dan peningkatan produk agar mereka dapat meluaskan pasaran di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.  Bagi peniaga yang berada di tahap permulaan, mereka boleh memohon bantuan Pembasmian Kemiskinan Blueprint di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan untuk barangan bernilai kurang daripada RM5,000.00.  Manakala usahawan yang memerlukan pinjaman kewangan, pihak Hijrah Selangor menawarkan pinjaman dari RM3,000.00 sehingga RM50,000.00 mengikut terma dan syarat.

    • KURSUS KEUSAHAWANAN

    Selain itu Kerajaan Negeri turut menganjurkan kursus keusahawanan bertujuan untuk memberi pendedahan terkini tentang bidang perniagaan dan keusahawanan. Pada tahun 2016, sebanyak 9 siri kursus keusahawanan telah dirancang di peringkat daerah dan 7 siri kursus akan dilaksanakan di peringkat negeri.  Modul-modul kursus adalah daripada asas keusahawanan sehingga teknik perniagaan dan pemasaran yang terkini.

    • PAMERAN/EKSPO

    Salah satu langkah bagi mengembangkan lagi permintaan pasaran produk para usahawan di negeri Selangor adalah melalui ekspo dan pameran.  Setiap tahun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan telah menerima jemputan untuk menyertai ekspo dan pameran tempatan yang bertaraf antarabangsa seperti Penang International Halal Expo Conference (PIHEC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), Selangor International Expo (SIE) dan Malaysia Halal Festival (HALFEST). Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/ pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor .  Penganjuran ekspo dan pameran ini telah memberi ruang kepada usahawan dalam meluaskan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malahan ke peringkat antarabangsa. Pada tahun ini semasa MIHAS 2016 yang berlangsung pada Usahawan yang paling berjaya pada tahun 2016 adalah pada pameran MIHAS yang berlangsung pada 30 Mac-2 April 2016, produk kerepek seaweed jenama Teego daripada syarikat Inspire Human Capital Development Sdn Bhd telah memperolehi kontrak pembekalan ke tiga buah negara iaitu Dubai, Jeddah dan Jepun yang bernilai RM790,000.00.

    • KARNIVAL/FESTIVAL USAHAWAN

    Seterusnya, 9 siri karnival Mini Mega Sale di peringkat PBT telah dirancang untuk tahun 2016.  Setakat ini program ini telah diadakan di 2 PBT iaitu di Hulu Selangor dan Kuala Langat. Selebihnya akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Karnival ini bukan sahaja fokus kepada peniaga, bahkan penduduk tempatan juga turut mendapat faedah dengan mendapatkan pilihan barangan dengan harga yang rendah dan berpatutan.  Dalam pada itu, terdapat karnival usahawan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri bagi mempergiatkan lagi ekonomi negeri Selangor dan para usahawan khususnya.  Antara karnival yang telah berlangsung adalah Selangor Food Mega Festival yang telah mencatatkan jualan sebanyak RM2.3 juta , Festival Ramadhan (FESTIRA) yang telah berlangsung di 4 lokasi iaitu Stadium Sungai Besar (Sabak Bernam), Stadium Malawati (Shah Alam), Majlis Perbandaran Ampang Jaya, SACC Mall (Shah Alam) dan Kompleks PKNS (Shah Alam).

Lampiran

Tiada Lampiran.