Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

169) PEMBANGUNAN EKONOMI SABAK BERNAM

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan status terkini inisiatif - inisiatif yang telah dijalankan terutamanya dalam bidang pertanian dalam Daerah Sabak Bernam mengikut bajet tahun 2023 dan jelaskan apa perubahan yang akan dilakukan.

    Terdapat 17 inisiatif utama bagi pembangunan ekonomi di daerah Sabak Bernam yang boleh dikategorikan di dalam lima kluster iaitu:

    1. Meningkatkan hasil komoditi bernilai tinggi;
    2. Membangun Industri Hiliran Dan Asas Tani;
    3. Menambah Khidmat Sokongan;
    4. Membangun Sektor Pelancongan; dan
    5. Merancakkan Pembangunan Infrastruktur.

     

    Terdapat inisiatif-inisiatif yang bersifat jangka panjang dan ada juga yang bersifat jangka pendek. Ada yang telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan, dan masih dalam perancangan.

    Bagi pembangunan aktiviti pertanian, ada 4 inisiatif utama iaitu

    1. SSAP@Jelutong Jati
    2. SSAP@SgAirtawar
    3. SSAF@SgPanjang
    4. SSAP@Changkat Menteri

     

    Antara inisiatif yang mula berjalan adalah SSAP@ Jelutong Jati iaitu penternakan lembu tenusu di ladang ternakan milik PKPS yang telah bermula pada pertengahan tahun 2021. Sekarang terdapat 79 ekor lembu dan mendapat perahan hasil susu sekitar 6000 – 8000 liter sebulan.  Ladang ternakan yang berkapasiti 500 ekor itu akan menerima tambahan 200 ekor lagi lembu tenusu menjelang hujung tahun 2022.

    Bagi SSAP@Sg Air Tawar dan SSAF@Sg Panjang kini dalam proses akhir perlantikan operator ladang dan dijangka kerja-kerja awal di tapak akan bermula sebelum akhir tahun ini. SSAP@Sg Air Tawar adalah inisiatif bagi membangunkan teknologi pembenihan di atas tanah milik PKPS seluas 120 ekar untuk kelapa hybrid dan betik, selain tanaman makanan seperti sayuran dan nanas, manakala SSAF@Sg Panjang adalah inisiatif membangunkan tanaman makanan ruminan di atas tanah milik PKPS seluas 60 ekar.

    Satu lagi inisiatif pertanian di daerah Sabak Bernam ialah SSAP@Changkat Menteri iaitu pembangunan tanah seluas 2,400 ekar untuk tanaman makan. Bagaimanapun inisiatif ini tertangguh buat sementara bagi menyelesaikan isu-isu berkait dengan kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar.

    Selain dari empat inisiatif utama ini, terdapat beberapa inisiatif sampingan yang lain seperti pembangunan pengusaha-pengusaha kebun golden melon di Sungai Panjang di mana Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Sabak Bernam dan Jabatan Pertanian Selangor menyalurkan bantuan dari sudut khidmat nasihat, bekalan benih, pembinaan rumah pelindung hujan, dan mendapatkan pasaran.

     

    Untuk para nelayan, kerajaan menyedari beberapa masalah yang melibatkan jeti-jeti pendaratan ikan yang uzur dan sesak. Kerajaan sedang dalam usaha menggalakkan penyertaan pihak swasta dengan kerjasama agensi berkaitan untuk membangunkan kompleks jeti yang lebih berkapasiti tinggi, moden, dan selamat untuk kegunaan para nelayan dan sekaligus mampu meningkatkan jumlah pendaratan ikan di Sabak Bernam. Sebuah kompleks jeti yang baharu dan berkonsep moden sedang dirancang untuk dibangunkan di Bagan Sungai Besar oleh pihak swasta dengan perbelanjaan sekitar RM80 juta. Laporan kajian teknikal sudah disiapkan dan projek ini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan akhir dari agensi-agensi berkaitan.

Lampiran

Tiada Lampiran.