Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
44) PEMBANGUNAN EKONOMI MELAYU DAN BUMIPUTERA
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkasakan ekonomi kaum melayu bumiputera yang mencapai hampir 71% populasi keseluruhan penduduk di Selangor?
Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor berpaksikan kepada prinsip urus-tadbir yang cekap, telus, pertanggungjawaban dan saksama. Dasar-dasar kerajaan negeri digubal dan dilaksanakan antaranya berasaskan prinsip-prinsip di atas. Justeru kita memastikan pengagihan kekayaan negeri, memberi manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Selangor, manakala orang Melayu sebagai majoriti sudah tentulah menikmati pengagihan kekayaan serta manfaat tertinggi jumlahnya terutamanya menerusi Inisiatif Selangor Penyayang.
Misalnya program Mama Kerja yang bertujuan bukan sahaja meringankan beban kaum hawa yang bekerjaya akan tetapi akan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka, yang mereka boleh gunakan untuk meningkatkan pula mutu kehidupan mereka dan keluarga sekaligus pula mencipta ekonomi sebelah penawaran (supply side economy) serta ekosistem penjagaan anak-anak yang bermutu dan berkualiti.
Selain itu kita juga ada program BINGKAS (Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor), bagi mengiktiraf peranan penting ketua keluarga yang tidak mengenal penat lelah untuk mengurus hal ehwal keluarga, mendidik dan membesarkan anak-anak sewaktu mengharungi pasca pandemik. Program ini meluaskan capaian dan menambahbaik Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Program Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS IT) supaya manfaatnya dapat dirasai bukan sahaja golongan ibu tetapi juga anggota keseluruhan keluarga dengan mensasarkan sebanyak 30,000 buah keluarga dengan bantuan RM 300 bagi setiap bulan bagi pembelian barangan keperluan asas serta peralatan pendidikan.
Program sebegini bukan sahaja memperkukuhkan dengan izin Tuan Speaker, supply side of the economy, ianya juga membantu penggunaan domestik (domestic consumption) serta meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat Negeri Selangor terutamanya orang Melayu. Kerana itu kita memerlukan fikir serta faham yang syumul mengenai ekonomi ini.
Era kita mencipta taikun-taikun kaya dengan cara singkat sudah berakhir!
Demi memperkasakan ekonomi orang Melayu, kita seharusnya menghentikan ekonomi yang tidak mencipta nilai (rent seeking), atau kapitalism kronisme. Demi pemerkasaan ekonomi orang Melayu, orang Melayu mestilah berkemampuan bersaing di arena domestik mahupun antarabangsa. Oleh kerana itu kita bercita-cita besar mengwujudkan pengusaha serta usahawan yang mahu maju ke hadapan. Sebagai contohnya program Ikon Agro, SelBiz dan program-program SIDEC.
PKNS misalnya melalui Bahagian Pembangunan Usahawan saban tahun telah mempertingkatkan peruntukan untuk pembangunan keusahawanan. Pada tahun 2022 dan 2023, masing-masing sebanyak RM1,119,339.21 dan RM6,440,830.34 telah dibelanjakan. Manakala, tahun 2024 telah diperuntukkan sebanyak RM7,779,152
Kerajaan Negeri juga bercita-cita membangunkan projek-projek infrastruktur yang akan meligatkan lagi ekonomi negeri dan rakyat Selangor. In the pipeline, kita ada IDRISS, SABDA dan Jajaran Rel Keretapi Kita Selangor, keretapi overground, InsyaAllah akan menghubungkan Klang dengan Sabak Bernam. Projek-projek sebegini akan memperkasakan ekonomi Negeri Selangor, keseluruhan rakyat dan saya yakin terutamanya orang Melayu akan mendapat manfaatnya.
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu golongan anak muda melayu mencapai taraf ekonomi digital yang selari dengan RS1?
Bagi meningkatkan taraf ekonomi digital, Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) telah merancang dan melaksanakan beberapa inisiatif berkaitan seperti:
Jelajah Selangor 1000 Digital 2024 yang berhasrat untuk mendigitalisasikan usahawan di Selangor secara tuntas melalui satu kempen utama bermula bulan Mei hingga bulan September. Kempen utama ini akan dijalankan serentak pada suku kedua dan ketiga tahun 2024.
Kempen utama ini memfokuskan kepada dua (2) elemen utama digitalisasi iaitu
- Memperkasakan usahawan e-dagang dengan teknologi dan penyelesaian digital yang membuka potensi tumbesaran usahawan
- Melahirkan hos penstriman langsung (live seller)yang boleh menjana pendapatan melalui platform digital
Objektif program Selangor 1000 Digital adalah untuk mencipta budaya digitalisasi dengan menggabungkan penggunaan teknologi digital dalam perniagaan dengan
- Pelaksanaan digitalisasi menerusi perniagaan berkonsepkan O2O (offline to online) dan OMO (online merge offline).
- Menaikkan, mengiktiraf, meningkatkan pendapatan dan jenama usahawan tempatan.
- Memperkenalkan penyelesaian digital yang akan membantu memudahkan urusan perniagaan harian usahawan.
- Mengadaptasi penggunaan teknik penstriman langsung sebagai medium jualan.
- Memberi pendedahan tentang teknik menjadi pempengaruh penstriman langsung yang berjaya.
- Membuka peluang kepada para usahawan mengenali dan mengetahui inisiatif daripada agensi-agensi kerajaan negeri Selangor.
Program Selangor 1000 Digital ini akan dilaksanakan di lima (5) daerah iaitu di Shah Alam, Tanjung Karang, Kota Warisan, Bandar Baru Bangi dan Taman Melawati, dengan sasaran sebanyak 1000 peserta secara keseluruhan dimana lebih daripada 70% peserta adalah terdiri daripada golongan muda.
Selain daripada itu, Inisiatif Sekolah Digital Selangor (SDS), yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDECS) serta The Hive Southeast Asia, bertujuan untuk memperluas landskap kemahiran digital di negara ini. Inisiatif ini berusaha untuk memupuk bakat-bakat dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan matlamat untuk melatih dan menempatkan 600 individu pada tahun 2024 yang terdiri daripada pelajar-pelajar tahun akhir seperti daripada UITM dan Unisel.
Melalui SDS, Kerajaan Negeri Selangor berharap untuk mencipta perantara atau jambatan kerja yang efektif dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknologi AI yang diperlukan untuk memenuhi permintaan industry.