Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
288) PEMBANGUNAN EKONOMI DIGITAL
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam memajukan ekonomi digital yang akan memberi impak kepada peniaga di Selat Klang?
Kerajaan Negeri Selangor, melalui Sidec, telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memajukan ekonomi digital secara menyeluruh di Negeri Selangor termasuk menyokong peniaga kecil di Selat Klang dalam beralih ke platform digital. Antara Inisiatif Utama untuk Ekonomi Digital yang telah dijalankan adalah
i) Malaysia Top E-Commerce Merchants Award (Top ECM)
Top ECM merupakan sebuah program tahunan untuk mengiktiraf peniaga e-dagang tempatan yang melaksanakan inovatif perniagaan terbaik. Para peserta akan dinilai berdasarkan produk, platform, promosi, potensi perniagaan serta hasil jualan serta tempahan yang dicapai sepanjang tempoh 3 bulan kempen program sebelum hari penyampaian anugerah kepada peserta terbaik yang dinilai oleh para barisan juri berpengalaman dan pakar dalam industri. Semenjak tahun 2016 pelaksanaan program, sebanyak 1,602 peniaga telah diperkasa dan telah mencatatkan jumlah GMV sebanyak RM367 juta dihasilkan. Pelaksanaan program pada tahun ini merupakan edisi ke-10 dengan kerjasama TikTok Shop, platform yang mengintegrasikan AI dalam livestream commerce dan para peserta berpeluang untuk menyertai latihan e-dagang dan lawatan industri yang komprehensif untuk 4 sesi. Program ini telah dirasmikan pada 6 Februari 2025 yang lepas dan majlis anugerah kepada para peserta yang terbaik dijangka akan dilaksanakan pada bulan April 2025.
ii) Selangor 1000 Digital
Selangor 1000 Digital merupakan sebuah program bertujuan untuk mendigitalisasikan usahawan di Selangor secara tuntas melalui 5 siri kempen yang dilaksanakan secara berfasa di setiap zon daerah di Negeri Selangor seperti Shah Alam, Cyberjaya, Sungai Besar, Kajang dan Selayang. Kempen ini akan memberikan fokus kepada memperkasakan dan melahirkan 500 usahawan dengan teknologi penyelesaian e-dagang & digital yang membuka potensi tumbesaran usahawan serta 500 hos penstriman langsung (live seller) yang boleh menjana pendapatan melalui platform digital. Seramai 1,620 orang jumlah peserta telah menyertai program ini merangkumi keseluruhan di 5 daerah yang dilaksanakan pada tahun pertama pelaksanaan dan disertai 26 buah rakan kerjasama serta pempamer di setiap siri jelajah. Pelaksanaan pada tahun 2024 telah mencatatkan jumlah statistik pengadaptasian digital sebanyak 1,108 (68%) dan statistik penstriman langsung sebanyak 653 (41%) daripada jumlah keseluruhan peserta yang menyertai program tersebut. Kejayaan program ini turut dibantu dengan anjuran bersama oleh Pejabat EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) melalui Platform Selangor (PLATS).
iii) Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX)
ECX merupakan sebuah program latihan intensif selama empat bulan dalam keusahawanan digital bagi memacu pertumbuhan usahawan e-dagang tempatan. Program ini telah bermula semenjak tahun 2023 dan sebanyak 80 buah usahawan e-dagang tempatan telah menerima manfaat melalui penyertaan program dimana para peserta didedahkan kepada AI dalam pemasaran digital dan jualan e-dagang. Sebanyak 10 usahawan e-dagang yang terbaik berpeluang untuk menonjolkan perniagaan mereka kepada panel syarikat pemodal teroka (Venture Capital) dan pakar industri melalui sesi pitching dan final demo day yang dijalankan di setiap siri kohort. Pelaksanaan program pada tahun 2025 atau kohort 3 menyasarkan penyertaan sebanyak 50 buah usahawan e-dagang serta sasaran GMV sebanyak RM25 juta yang dijangka akan bermula pada bulan Mei hingga Ogos 2025.
iv) Platform Selangor (PLATS)
PLATS merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang memainkan peranan dalam membantu usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PKS) menjalani proses pendigitalan perniagaan mereka. Sejak dilancarkan pada tahun 2020, lebih daripada 37,000 peniaga telah berdaftar di bawah PLATS, dengan sasaran mencapai 50,000 penyertaan menjelang tahun 2025. Para peserta program ini akan diselia oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan, termasuk Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), di mana sebanyak 2,549 peniaga telah beroperasi di bawah pentadbirannya sehingga 31 Disember 2024. Dalam usaha memperkasakan usahawan, PLATS turut menyediakan asas pengurusan perniagaan digital melalui program U-PLATS, yang merangkumi modul latihan serta bimbingan dalam keusahawanan asas, pemasaran media sosial, e-dagang, dan penciptaan kandungan digital. Selain itu, program ini turut menawarkan geran serta sokongan lain bagi membantu usahawan dalam usaha meningkatkan keupayaan perniagaan mereka. Bagi pelaksanaan program U-PLATS Siri 2 yang telah berlangsung pada 14 Januari 2025 di MBDK, statistik menunjukkan seramai 33 peserta hadir daripada 73 pendaftaran bagi sesi Modul 1 (M1), manakala 19 peserta telah menyertai bootcamp serta menerima Sistem POS dalam sesi Modul 2 (M2) dan Modul 3 (M3). sumber: PLATS / MBI.
-
Apakah sokongan yang disediakan untuk peniaga kecil beralih ke platform digital terutama dalam AI?
Kerajaan Negeri Selangor menyediakan pelbagai sokongan bagi membantu peniaga kecil beralih ke platform digital serta memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan mereka. Salah satu inisiatif utama adalah latihan khusus dalam TikTok Shop, di mana peniaga didedahkan kepada strategi livestream commerce yang banyak menggunakan elemen kecerdasan buatan (AI), termasuk algoritma pemasaran dan analisis data untuk meningkatkan jualan. Melalui latihan ini, peniaga dapat memahami cara memanfaatkan AI dalam menarik pelanggan, mengoptimumkan kandungan video, serta meningkatkan keberkesanan kempen pemasaran mereka.