Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

188) PEMBANGUNAN EKONOMI DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah penunjuk yang boleh digunakan dalam pembangunan ekonomi di Selangor?

    Pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor sentiasa mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan dari setahun ke setahun. Kerajaan Negeri menilai perkembangan dan pertumbuhan ekonomi negeri melalui beberapa aspek utama yang jelas memperlihatkan pencapaian negeri yang sebenarnya. Penilaian ke atas pembangunan ekonomi negeri adalah wajar jika dilihat secara langsung ke atas nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Selangor yang diperolehi. Hal ini adalah kerana butiran di dalam KDNK yang dicatatkan adalah lengkap dengan merangkumi pencapaian semua sektor yang terlibat di dalam ekonomi seperti sektor pertanian, perlombongan, perindustrian dan perkhidmatan.

    Selain daripada itu, pembangunan ekonomi yang di kecapi saban tahun juga boleh dinilai melalui jumlah pelaburan yang diperoleh oleh Negeri Selangor pada tahun tersebut. Jumlah pelaburan yang dicatatkan merangkumkan nilai pelaburan dari dalam dan luar negara yang berjaya diraih. Pencapaian kemasukan pelaburan yang tinggi, akan menjelaskan kejayaan Kerajaan Negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi. Oleh yang demikian, adalah wajar bagi Kerajaan Negeri untuk mengukur pembangunan ekonomi melalui jumlah pelaburan yang berjaya dicapai sebagai salah satu aspek utama dalam menilai pertumbuhan ekonomi negeri.

    Walau bagaimanapun, sebagai sebuah negeri yang berstatus negeri maju di Malaysia, pertumbuhan ke atas pembangunan ekonomi negeri juga wajar diukur melalui kadar kemiskinan dan kadar pengangguran yang dicatatkan saban tahun.  Kerajaan Negeri perlu memastikan kadar kemiskinan dan kadar pengangguran yang dicatatkan adalah rendah. Aspek ini akan memperjelaskan kemampuan Kerajaan Negeri dalam merencanakan dan melaksanakan pembangunan dengan baik, komprehensif dan holistik atau sebaliknya.

  2. Bagaimanakah kerajaan dapat menilai perkembangan ekonomi di Selangor adalah usaha kerajaan Selangor?

    Negeri Selangor telah melalui fasa yang cemerlang dengan pencapaian-pencapaian yang positif di bawah pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat sejak dari tahun 2008. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Selangor telah mencatatkan perkembangan yang baik dengan pencapaian sebanyak RM116,882 juta pada tahun 2008. Walau bagaimanapun, Negeri Selangor turut menerima tempias akibat daripada kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2009 dengan sedikit penurunan pencapaian KDNK kepada RM115,502juta berbanding tahun sebelumnya. Kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat menempuh pergolakan kemerosotan ekonomi dunia telah memperlihatkan kemapanan Kerajaan Negeri yang sentiasa optimistik dapat  mentadbir negeri ini dengan cemerlang. Dengan kemampuan urus tadbir negeri yang lebih mantap kini, Kerajaan Negeri yakin dengan kemampuan negeri dalam menjana perkembangan ekonomi yang positif dengan menganggarkan pencapaian KDNK pada tahun ini adalah berjumlah RM122,524juta dengan lonjakan kadar pertumbuhan ekonomi pada tahap 7% berbanding -1.2% pada tahun lalu.

    Nilai pelaburan yang dicatatkan oleh Negeri Selangor sejak tahun 2008 juga amat cemerlang. Pada tahun 2008, jumlah pelaburan yang berjaya diraih adalah berjumlah RM11.87billion yang merangkumi RM9billion adalah pelaburan tempatan manakala selebihnya iaitu RM2.87billion adalah pelaburan asing. Seiring dengan kemelesetan ekonomi yang dihadapi pada tahun 2009, angka pelaburan yang berjaya diraih turut mengalami kemerosotan kepada RM6.76billion sahaja dengan pecahan RM2.75billion untuk pelaburan tempatan dan selebihnya RM4.01billion adalah pelaburan asing.  Pada tahun ini, dianggarkan Negeri Selangor mampu untuk meraih nilai pelaburan sebanyak RM7.5billion, di mana sehingga Jun 2010, nilai pelaburan telah mencecah

    RM3.48billion.

    Selain daripada penilaian ke atas pencapaian nilai-nilai ekonomi yang berjaya dicatat ini, penilaian juga boleh dilaksanakan ke atas kejayaan Kerajaan Negeri dalam merancang dan melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor yang jelas telah memberikan fokus pembangunan secara total. Usaha murni ini dijangka telah berjaya mencipta peluang pelaburan yang luas kepada para pelabur tempatan dan luar negara melabur di negeri Selangor dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat secara langsung. Program-program yang telah dilaksanakan melalui pakej rangsangan ini adalah seperti berikut:-

    1. Pemulihan dan pembersihan Sungai Klang;
    2. Pembangunan semula projek perumahan yang terbengkalai;
    3. Pembaharuan aktiviti di bandar melalui pembangunan semula kawasan terbiar di
    4. Petaling Jaya dan Klang;
    5. Peningkatan hasil tanaman padi;
    6. Perluasan sistem pengangkutan; dan
    7. Penstrukturan semula industri air Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.