Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
1) PEMBANGUNAN EKONOMI
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri merancang untuk meningkatkan pembangunan ekonomi di Selangor pada tahun 2024?
Tuan Speaker,
Kementerian Kewangan (MOF) telah mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang kukuh sekitar 4 ke 5 peratus pada 2024, berbanding sasaran 4 peratus yang disasarkan pada tahun 2023 dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan. Selain permintaan tinggi produk elektrik dan elektronik, permintaan domestik iaitu perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelancongan akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.
Ekonomi negeri Selangor pula diunjurkan tumbuh lebih pantas pada tahun 2024 dengan kadar 5.2 peratus berbanding tahun 2023 pada kadar 4.1 peratus. Sektor perkhidmatan juga dijangka meneruskan momentum pertumbuhan ekonomi di Negeri Selangor dengan didokong oleh pertumbuhan sektor-sektor yang lain dijangka tumbuh dengan lebih pantas pada tahun 2024.
Bagi meningkatkan lagi pembangunan ekonomi di Selangor pada tahun 2024, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM2.53 bilion dalam Belanjawan Selangor 2024 yang akan digerakkan berlandaskan empat tema iaitu Pemangkin Pelaburan Berkualiti, Menjana Pendapatan Tinggi; Mengangkat Pendidikan Bestari, Menjamin Alam Sekitar Lestari, Menaungi Kebajikan Rakyat dan Mengangkat Kesatuan Ummah. Selain daripada penumpuan kepada sektor perkhidmatan, belanjawan kali ini memperkenal usaha baharu termasuk melengkapkan jaringan pengangkutan awam, memastikan jaminan bekalan makanan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meraih pelaburan berteknologi tinggi.
Melalui Belanjawan Selangor 2024 juga Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Gagasan Lembah Klang Raya untuk mewujudkan satu sistem pentadbiran bagi empat (4) PBT iaitu MBSA, MBPJ, MBSJ dan MBDK melalui pewujudan Enakmen Lembah Klang Raya. Pewujudan satu sistem pentadbiran ini adalah bertujuan untuk menambah baik dan melicinkan urusan berkaitan kualiti perkhidmatan PBT, pengangkutan awam, rejuvenasi kawasan kediaman dan komersial sedia ada dan isu tanah pegangan pajakan yang hampir matang antaranya dengan menyeragamkan proses perniagaan dan pembangunan, mengurangkan karenah birokrasi serta memudahkan kehidupan rakyat. Proses rejuvenasi bandar-bandar matang ini dimulakan bagi menarik pelaburan dalam industri baharu berteraskan digitalisasi agar Gagasan Lembah Klang Raya menjadi bandar yang berdaya tahan terutamanya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, bandar yang mampan, serta berdaya huni.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, tahun 2024 adalah ‘tahun pelaksanaan’ dasar yang sudah dirancang. Ini adalah selari dengan garis masa pelan pembangunan komprehensif Negeri Selangor iaitu Rancangan Selangor Pertama (RS-1) tahun 2021 sehingga 2025 yang menyenaraikan sebanyak 262 projek, program dan inisiatif (PPI) dirangka meliputi empat teras utama iaitu pengukuhan ekonomi, peningkatan kesejahteraan dan keterangkuman sosial, pemacuan kelestarian dan tadbir urus S.M.A.R.T. dan berkesan. Kesemua inisiatif ini telah diteliti bagi memastikan pelaksanaannya sejajar dengan matlamat pembangunan RS-1 iaitu untuk memastikan keperluan sosioekonomi rakyat dipenuhi dalam usaha menggalak pertumbuhan ekonomi dengan memastikan kelestarian alam sekitar dan kehidupan yang berkualiti.
Pembangunan 3 wilayah ekonomi baharu dalam RS-1 iaitu IDRISS di Selatan Selangor, SABDA di Utara Selangor, serta Selangor Maritime Gateway(SMG) di sepanjang jajaran Sungai Klang meletakkan Negeri Selangor dalam posisi paling baik, berjaya menarik komitmen pelaburan sebanyak RM29.1 bilion sehingga kini. IDRISS mengkhususkan pembangunan di Daerah Sepang dan Kuala Langat merangkumi keluasan kira-kira 20,000 hektar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM1 trilion dengan menempatkan beberapa projek mega termasuk Carey Island Special Economic Zone yang melibatkan antara 10,000 ke 13,000 ekar tanah bagi pembangunan hab logistik dan NCT Smart Industrial Park yang fokus kepada sektor pembuatan.
Bagi terus mempromosi dan menarik pelabur dengan mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif, sebagai agenda Pembangunan ekonomi, Kerajaan Negeri telah meluluskan lima insentif bagi projek di bawah IDRISS iaitu skim premium khas, bayaran ansuran caj pemajuan tanpa faedah, pengecualian cukai taksiran tanah kosong, potongan 50% cukai taksiran bangunan kosong dan pengecualian bayaran lesen perniagaan kepada pengusaha. Insentif-insentif tersebut telah diperkenalkan ketika pelancaran IDRISS pada Mac 2023 yang lalu diumumkan bersekali dengan pelaksanaan insentif galakan untuk pembangunan Taman Perindustrian berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) dimana sebanyak 7 insentif ditawarkan kepada pemaju dan pengurus taman perindustrian melibatkan premium tanah, bayaran ansuran caj pemajuan tanpa faedah, pengecualian penyediaan kilang kos rendah, kuota pemilikan hartanah bagi warganegara/ syarikat asing/ penduduk tetap, pajakan jangka masa panjang pembangunan bukan strata, pengecualian cukai tanah bagi tahun pertama dan Pengecualian pembayaran cukai taksiran selama 5 tahun untuk tanah kosong atau potongan 50% pembayaran cukai taksiran selama 5 tahun untuk bangunan kosong. Sebanyak 4 insentif juga ditawarkan kepada pelabur / pekilang yang beroperasi dalam kawasan mip. proses laluan segera, tempoh kelulusan cukai taksiran dan pengecualian bayaran lesen perniagaan untuk 5 tahun.
Ahi-ahli Yang Berhormat sekalian, melalui SABDA, Kerajaan Negeri berhasrat membantu penduduk Sabak Bernam memahami cara terbaik untuk memanfaatkan kaedah baharu bagi memaksimumkan output dalam sektor pertanian dan perikanan. Bukan itu sahaja, sektor pelancongan yang mempromosikan eko-pelancongan air dan pertanian dengan impak yang minimum ke atas alam sekitar juga turut dibangunkan. SABDA dijangka menjana pelaburan kira-kira RM1.9 bilion dan mencipta peluang pekerjaan kepada 3,600 penduduk setempat.
SMG yang melibatkan kerja mengorek 56 kilometer (km) Sungai Klang dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, selain kerja-kerja pembangunan lain bertujuan meningkatkan kualiti air sungai disamping membangun zon ekonomi baru yang berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dengan anggaran GDV berjumlah RM867juta.
Dengan perkembangan ekonomi yang positif, serta perancangan yang mantap, Selangor yakin akan terus menjadi peneraju ekonomi di Negara ini. Sesungguhnya segala usaha bagi membangun ekonomi adalah untuk dinikmati oleh segenap rakyat. Kita Selangor Maju Bersama.
-
Apakah sektor utama yang menjadi fokus utama pembangunan ekonomi negeri?
Pada tahun 2024, semua sektor di negeri Selangor dijangka mencatatkan pertumbuhan positif dan lebih baik berbanding prestasi bagi tahun 2023. Permintaan domestik dijangka terus menjana pertumbuhan dengan disokong oleh prospek pendapatan isi rumah yang semakin baik. Sementara itu, permintaan global juga dijangka lebih baik, terutamanya disokong oleh dasar monetari negara maju yang lebih kendur berlatarbelakangkan keadaan inflasi yang lebih terkawal. Lantaran itu, prospek pertumbuhan ekonomi Selangor dijangka akan lebih mengukuh pada tahun ini.
Sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri Selangor. Sektor perkhidmatan menyumbangkan 3.3 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK Selangor untuk tahun 2023 dan dan diunjurkan 3.4 mata peratusan bagi tahun 2024. Sumbangan sektor pembuatan dijangka melonjak kepada 1.2 mata peratusan kepada 5.2% pertumbuhan KDNK Selangor bagi tahun 2024. Ini bermakna sumbangan sektor pembuatan terhadap pertumbuhan KDNK menjadi lebih signifikan pada tahun 2024.
Negeri Selangor kekal sebagai kuasa industri negara dengan menyumbangkan kira-kira sepertiga nilai tambah sektor pembuatan nasional. Peratusan sumbangan sektor pembuatan Selangor kepada nasional didapati meningkat saban tahun, antara lain disebabkan oleh kejayaan Selangor menarik pelaburan yang lebih bernilai tinggi dan kompleks.
Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan pelbagai inisiatif menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi menarik minat pelabur dan seterusnya memantapkan lagi perkembangan ekonomi di Negeri Selangor terutama dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan agenda peningkatan potensi ekonomi dengan meningkatkan pelaburan awam terutama dalam bidang Elektrikal dan Elektronik, Sains Hayat, Perkhidmatan Makanan dan Minuman, Perkilangan, Pengangkutan dan Peralatan, Permesinan, Logistik dan Perkhidmatan dan Pelaburan Digital yang diterajui oleh Invest Selangor Berhad.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah memfokuskan kepada beberapa sektor baharu seperti berikut:
- Ekonomi penjagaan melibatkan kanak-kanak serta warga emas agar aspek ekonomi dan penjagaan dapat diintegrasikan mengambil kira golongan sasar yang pelbagai;
- Industri Baharu seperti Pembangunan ‘Selangor Centre for Artificial Intelligence’;
- Aeroangkasa seperti Pembangunan Dron Selangor; dan
- Sains Hayat seperti ‘Selangor Lab Partnership Program’.
Strategi dan inisiatif dalam Belanjawan 2024, yang sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI, dijangka memberi impak positif kepada ekosistem pasaran buruh dengan mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja, menaikkan upah serta mencipta peluang pekerjaan melalui pelaburan strategik.
-
Apakah insentif yang disediakan untuk menarik pelaburan asing ke Selangor?
Dalam usaha menarik pelaburan asing ke Selangor, Kerajaan Negeri hanya menawarkan insentif yang tidak berbentuk kewangan seperti fasilitasi penyelarasan kelulusan pembangunan dan lain – lain bantuan yang diperlukan oleh pihak pelabur melalui peranan yang dimainkan oleh Invest Selangor. Insentif berbentuk kewangan hanya ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan sahaja.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan Selangor’s Investors Soft Landing Incentive Program dimana insentif ini merupakan penyediaan Ruang Kerja Bersama (Coworking Area) / Ruang Pejabat (Co-working Office) bagi bakal pelabur samada dari dalam dan luar negara yang berhasrat untuk melaksanakan tinjauan awal perancangan pelaburan di Negeri Selangor. Insentif ini disediakan untuk menyediakan platform yang holistik dan memberikan sokongan penuh bagi pelabur yang berpotensi agar dapat menerokai ekosistem pelaburan di Selangor. Selain itu, melalui insentif ini juga dapat memupuk penglibatan komuniti industri sedia ada dalam proses menarik pelaburan baru ke kawasan dan kumpulan sektor yang dikenalpasti. Kemudahan yang disediakan untuk para pelabur ini berperanan sebagai pemudahcara dan secara langsung dapat membantu mempercepatkan perlaksanaan projek – projek pelaburan dengan sokongan – sokongan pelaburan yang diperlukan. Insentif ini juga akan dapat membantu mengurangkan kos awalan kepada pelabur baru yang berpotensi, di mana lebihan kos tersebut dapat digunakan untuk membuat pelbagai analisis dan kajian yang berkaitan semasa menerokai ekosistem pelaburan di Selangor.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut menyediakan Selangor Lab Partnership Program yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu pemain industri untuk mengurangkan kos bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk dengan memanfaatkan kemudahan penyelidikan dan sumber kepakaran di institusi akademik sedia ada, serta menggalakkan kerjasama kolaborasi antara Institusi Pengajian Tinggi, Institusi Penyelidikan tempatan dan pemain industri. Melalui inisiatif ini, ianya dapat menggalakkan penyelidikan dan pembangunan inovatif serta berpontensi merapatkan hubungan dan kerjasama antara pihak akademi dan pemain industri dalam sektor sains hayat di Selangor.