Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

258) PEMBANGUNAN DI KAWASAN CERUN DAN SENSITIF ALAM

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan dasar terkini Kerajaan Negeri Selangor tentang pembangunan di kawasan cerun dan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS).

    Setiap perancangan dan pembangunan di Negeri Selangor pada masakini adalah tertakluk kepada dasar-dasar serta cadangan-cadangan dalam Rancangan Struktur dan Rancangan Tempatan yang telah diwartakan. Dalam konteks semasa, perancangan dan pembangunan di Negeri Selangor adalah berdasarkan kepada Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 yang telah diwartakan (No. Warta : 301 Jilid 70, No.3) pada 2 Februari 2017. Manakala terjemahan kepada dasar-dasar dan cadangan-cadangan dalam Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 telah diperhalusi, dinilai, disesuaikan dan dimuatkan dalam 13 Rancangan Tempatan yang telah disediakan dan diwartakan oleh setiap 12 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.

    Berhubung dengan kawasan KSAS yang dibangkitkan, RSN Selangor 2035 telah menetapkan kesemua cadangan pemajuan yang terlibat dengan kawasan KSAS perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Negeri Selangor (JTPKSAS). Fungsi dan tanggungjawab Jawatankuasa ini adalah membuat keputusan/nasihat mengenai had pembangunan yang boleh dilaksanakan, menilai permohonan dan kesesuaian pembangunan, mengemukakan syor-syor berkaitan kepada Jawatankuasa Perancangan Negeri atau Pihak Berkuasa Negeri (melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor) dan mengemukakan keputusan syor-syor kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Negeri Selangor (JTPKSAS) yang telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia Selangor) pada 24 Mac 2010 ini akan meneliti dan mempertimbang aspek-aspek yang berkaitan terlebih dahulu sebelum sesuatu Kebenaran Merancang diputuskan dan diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan kepada cadangan-cadangan pemajuan yang berkenaan. Terdapat 2 kategori kawasan KSAS yang perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Negeri Selangor (JTPKSAS) iaitu:

    • Kawasan berbukit dan tanah tinggi berkecerunan melebihi 25 darjah (Kecerunan Kelas III dan Kelas IV); dan
    • Kawasan tanah gambut yang telah dikenalpasti dalam konteks KSAS.

    Asas rujukan utama JTPKSAS dalam mengawal pembangunan di kawasan KSAS di Negeri Selangor adalah berpandukan kepada:

    • Garis Panduan Perancangan Pembangunan Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi Negeri Selangor yang telah diluluskan oleh MMKN Bil. 11/2010 pada 24 Mac 2010; dan
    • Garis Panduan Perancangan Pembangunan di Kawasan Tanah Gambut Negeri Selangor yang telah diluluskan oleh MMKN Bil. 32/2018 pada 8 Oktober 2018.

    Berdasarkan rekod, dalam tempoh 12 tahun sehingga tahun 2022, sebanyak 242 permohonan telahpun dirujuk ke JTPKSAS untuk diteliti dan dipertimbangkan.

     

  2. Berapakah jumlah projek perumahan dan pembangunan dan densiti pembangunan yang telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri dan PBT sejak 2020?

    Urusan memproses permohonan Kebenaran Merancang cadangan pemajuan melibatkan agensi di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan. Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia Selangor) merupakan salah satu agensi teknikal luaran yang dirujuk dalam memberi ulasan terhadap permohonan Kebenaran Merancang bagi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor. Manakala urusan kelulusan kebenaran merancang bagi setiap permohonan diuruskan dan diputuskan oleh Jawatankuasa Unit Pusat Setempat (OSC) di setiap PBT di Selangor.

    Berikut adalah jumlah projek perumahan dan pembangunan serta densiti pembangunan (melibatkan kawasan KSAS) yang telah dilulus oleh PBT sejak 2020.

Lampiran

Tiada Lampiran.