Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
54) PEMBANGUNAN DI KAWASAN CERUN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Kamri Bin Kamaruddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan status pembangunan permohonan projek Ukay Spring oleh Pemaju Tertuan Gapadu Harta Sdn Bhd di atas lot 126750, lot 126751, dan lot 126752 Taman Ukay Spring Seksyen 2, Bandar Ulu Klang.
Pembangunan oleh Tertuan Gapadu Harta Sdn Bhd sedang dalam permohonan untuk pindaan kebenaran merancang. Permohonan ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (JTPKSAS) Kerajaan Negeri Selangor kerana melibatkan pemajuan pada kawasan bercerun tahap 3 dan tahap 4.
-
Adakah apa-apa program untuk memberi galakan kepada pemilik tanah mengambil tindakan untuk mereka mengatasi masalah cerun yang bahaya di kawasan mereka?
Merujuk kepada Kanun Tanah Negara, kerja-kerja menyelenggaraan tanah milik persendirian termasuk tanah bercerun adalah tanggungjawab pemilik tanah. Bagi memberi kesedaran kepada pemilik tanah persendirian untuk menjaga tanah mereka yang bercerun. MPAJ telah melaksanakan dialog awam, sesi taklimat dan kempen untuk memberi kesedaran kepada pemilik tanah persendirian untuk menjaga dan memantau cerun-cerun yang berada dalam tanah milik mereka. MPAJ juga, telah memuat naik Garis Panduan Penyelenggaraan Cerun kepada orang awam di laman sesawang MPAJ iaitu www.mpaj.gov.my.
-
Apakah tindakan-tindakan oleh pihak kerajaan bagi membaik pulih cerun yang membahaya dan berisiko kepada penduduk di kawasan hartanah milik kerajaan?
Pemilik tanah adalah bertanggungjawab menyelenggara tanah milik mereka sendiri. Sebagai makluman terdapat 118 cerun milik kerajaan yang berada di dalam inventori cerun berisiko sangat bahaya dan bahaya dalam kawasan MPAJ. 61 cerun sangat bahaya dan 47 cerun berkategori bahaya. Cerun-cerun ini dipantau oleh MPAJ secara berkala setiap tahun untuk memastikan dalam berkeadaan baik. MPAJ turut membaik pulih cerun yang merbahaya dan berisiko kepada penduduk di kawasan hartanah milik kerajaan seperti berikut :
- Sebanyak 61 cerun berisiko telah dibuat pembersihan penebangan pokok-pokok besar yang boleh mendatangkan risiko kepada kestabilan cerun. Ia juga dilaksanakan bagi memastikan pemantauan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan pemeriksaan terhadap cerun bagi mengenal pasti tanda-tanda awal kegagalan cerun lebih mudah dikenalpasti.
- Pembaikan sistem saliran cerun turut dilaksana melibatkan pembaikan dan pembinaan longkang bagi memastikan sistem saliran pada cerun berfungsi dengan baik. Pemeriksaan lanjut akan dibuat terhadap cerun dan cadangan pembaikan akan dicadangkan sekiranya terdapat cerun yang didapati tidak stabil dan mempunyai banyak tanda awal kegagalan cerun.