Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
228) PEMBANGUNAN DESA DAN LUAR BANDAR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah Dasar Pembangunan Luar Bandar bagi tempoh 5 tahun terkini?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PlanMalaysia) Negeri Selangor sebagai agensi utama dalam pembentukan dasar-dasar berkaitan pembangunan desa, telah merangka strategi pembangunan luar bandar yang mampan bagi tempoh lima tahun terkini. Dasar ini memberi tumpuan kepada pembangunan desa secara bersepadu bagi memastikan keseimbangan antara kawasan luar bandar dan bandar. Antara inisiatif utama dalam dasar ini termasuk:
- Pemeliharaan Perkampungan Tradisi – Kerajaan Negeri komited dalam melindungi perkampungan tradisi agar kekal sebagai penempatan desa tradisional. Langkah ini melibatkan kawalan ketat terhadap intensiti pembangunan dan penggunaan tanah yang bersesuaian bagi memastikan identiti serta warisan desa terus terpelihara.
- Program Desa Lestari – Program ini bertujuan memperkukuhkan daya tahan komuniti desa dengan membolehkan mereka terlibat secara aktif dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan ekonomi. Tumpuan diberikan kepada pemerkasaan masyarakat luar bandar dalam bidang ekonomi digital dan teknologi tinggi bagi memastikan mereka dapat bersaing dalam ekosistem ekonomi moden.
- Inisiatif Pusat Smart Desa – Sebagai sebahagian daripada usaha pendigitalan luar bandar, projek ini bertujuan menjadikan balai raya sebagai pusat pembelajaran dan latihan kemahiran dalam bidang teknologi, komputer, dan digitalisasi. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan literasi digital masyarakat luar bandar tetapi juga membuka peluang kepada mereka untuk menyertai ekonomi digital secara lebih meluas.
Kerajaan Negeri Selangor komited untuk memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara bersepadu dengan perancangan pembangunan bandar bagi memastikan kawasan desa kekal lestari dan berdaya maju.