Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
39) PEMBANGUNAN DAN PEMBERDAYAAAN GOLONGAN OKU
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah program pembangunan dan pemberdayaan golongan OKU yang telah dilaksanakan dan yang sedang dirancang oleh Kerajaan Negeri Selangor?
Pelbagai program pembangunan dan pemberdayaan golongan OKU yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan golongan ini tidak terpinggir dan lebih dihargai oleh masyarakat.
Mulai tahun 2012, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor telah memperkenalkan program Job Coach iaitu satu pendekatan sokongan pekerjaan dalam membuat penyesuaian persekitaran ataupun bidang kerja antara majikan dan OKU yang berminat untuk bekerja. Mulai tahun 2015, seramai 33 orang OKU yang telah mengikuti Job Coach telah dilatih di kalangan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi membantu pelatih PDK mendapat pekerjaan terutama di sektor swasta.
Sehingga kini seramai 51 orang telah mendapat manfaat perkhidmatan ini dan seramai 41 orang OKU masih kekal dalam pekerjaan mereka. Sokongan yang diberi oleh Job Coach ini lebih ramai kepada OKU dari kategori masalah pembelajaran dan juga kategori OKU fizikal. Kebanyakan bidang pekerjaan yang diceburi adalah dalam bidang perkhidmatan, perhotelan dan juga peruncitan.
Melalui Jawatankuasa Tetap Kebajikan pula, Kerajaan Negeri telah melaksanakan dan merancang program pembangunan dan pemberdayaan golongan OKU iaitu program Job Placement kepada golongan OKU dan kursus kemahiran pembangunan OKU.
Pada tahun 2015, Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya membantu seramai 20 orang OKU menyambung pelajaran di dalam bidang penyediaan makanan dan masakan di peringkat Sijil dengan memberikan bimbingan dan latihan kepada mereka untuk berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri di pusat pengajian yang terpilih selama enam (6) bulan.
Walaupun angka bilangan OKU yang dibantu untuk meneruskan pembelajaran adalah kecil, namun melalui program ini Kerajaan Negeri telah berjaya sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kepada ibu bapa dan memberi peluang kepada golongan OKU memperolehi pendapatan sendiri di samping dapat mempelajari menguruskan kehidupan dengan lebih baik.
Kerajaan Negeri akan meneruskan program ini pada tahun 2016 bagi membantu golongan OKU menjadi insan yang terpelajar dan berkemampuan untuk menjana pendapatan sendiri. Kerajaan Negeri juga akan melihat semula dan mempertimbangkan bidang pembelajaran yang akan ditawarkan berdasarkan kepada kesesuaian dan kecenderungan kemahiran golongan OKU yang terpilih.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan Kursus Bahasa Isyarat Komunikasi kepada penjawat awam dan ahli-ahli badan bukan kerajaan. Kursus ini adalah terbuka kepada golongan bukan OKU dalam memberikan pendedahan dan kesedaran mengenai kepentingan mempelajari asas bahasa isyarat sebagai kemudahan untuk berkomunikasi dan berurusan dengan masyarakat OKU yang mengalami masalah pertuturan dan pendengaran.
Melalui program-program pembangunan dan pemberdayaan OKU ini, Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha untuk membantu golongan ini meningkatkan kemahiran dan secara tidak langsung dapat memberikan mereka peluang yang sama rata dan penerimaan masyarakat terhadap keistimewaan mereka.