Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

136) PEMBANGUNAN BUKIT CERAKAH

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang telah diambil Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan tiada insiden tanah runtuh di Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah yang gondol akibat aktiviti pembersihan sehingga bakal menjejaskan lebih 5,000 penduduk di lapan kawasan perumahan di sekitarnya?

    Pihak MBSA ada menjalankan kawalan pemeriksaan dan semakan permit kerja tanah di kawasan tersebut sama ada kerja-kerja yang dijalankan mempunyai kelulusan atau tidak. Tindakan yang akan diambil adalah seperti berikut:-

    i) pihak majlis menggunapakai kaedah kawalan kerja-kerja di dalam sistem OSC Online dan pemantauan di tapak oleh kakitangan Majlis serta berdasarkan kepada maklumat daripada sistem aduan awam.

    ii) pihak majlis menggunapakai kaedah pengeluaran kompaun di bawah Akta jalan/parit/bangunan 1973(Akta 133) Seksyen 70A(9) dan 71(A) dibaca bersama-sama Undang-Undang Kecil (mengkompaun kesalahan-kesalahan) (MBSA) Jalan, Parit, Bangunan 2005 dimana jumlah penalti minima berjumlah RM5,000.00 manakala penalti maksima berjumlah RM250,000.00.

  2. Berapakah nisbah terkini, secara perbandingan, bagi pemilikan tanah oleh syarikat swasta berbanding GLC daripada keseluruhan 406.22 hektar yang dinyahwartakan di Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah?

    Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Burong, berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke-35/2000 bertarikh 20 November 2000, Pihak Berkuasa Negeri telah memutuskan untuk memberi milik tanah Kerajaan seluas 750 ekar daripada keseluruhan 1,003.79 ekar (406.22 hektar) di Hutan Simpan Bukit Cherakah, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling kepada 9 pemohon untuk tujuan pembangunan (tertakluk kepada syarat-syarat terperinci) seperti butiran berikut:

    1. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (350 ekar);
    2. Permaddun Sdn. Bhd. (50 ekar);
    3. Excel Nobel Const. Sdn. Bhd. (50 ekar);
    4. SAS Estate Sdn. Bhd. (50 ekar);
    5. Restu Mantap Sdn. Bhd. (50 ekar);
    6. Fadhilat Permai Sdn. Bhd. (50 ekar);
    7. Tulus Kasa Sdn. Bhd. (50 ekar);
    8. Teroka Bakti Sdn. Bhd. (50 ekar);
    9. Ecoflora Ventures (M) Sdn. Bhd. (50 ekar)

    Kemudian, MMKN Ke-27/2002 bertarikh 25 September 2002 telah meluluskan pemberimilikan secara dasar tanah Kerajaan seluas 50 ekar kepada Perbadanan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

    Daripada 10 pemohon tersebut, 8 pemohon terdiri daripada kategori syarikat dan 2 pemohon lagi adalah kategori anak syarikat (GLC). Selain daripada 10 lot tanah yang telah diberikan kelulusan pemberimilikan, sebahagian tanah seluas 126.3 ekar telah diluluskan unluk tujuan perizaban di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara bagi tapak perkuburan bersepadu dan juga sebagai tapak rekreasi.

    Hakmilik telah dikeluarkan kepada 5 pemohon iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (350 ekar), Permaddun Sdn. Bhd. (50 ekar), Excel Nobel Const. Sdn. Bhd. (50 ekar), SAS Estate Sdn. Bhd. (50 ekar) dan Restu Mantap Sdn. Bhd. (50 ekar).

    Manakala 5 pemohon iaitu Fadhilat Permai Sdn. Bhd. (50 ekar), Tulus Kasa Sdn. Bhd. (50 ekar), Teroka Bakti Sdn. Bhd. (50 ekar), Ecoflora Ventures (M) Sdn. Bhd. (50 ekar) dan PNSB (50 ekar) tidak diberikan hakmilik kerana gagal menjelaskan bayaran premium.

    Kesemua 5 pemohon tersebut telah mengemukakan semula permohonan pemberimilikan tanah Kerajaan mengikut tapak yang telah diluluskan terdahulu. Permohonan pemberimilikan daripada Fadhilat Permai Sdn. Bhd., Tulus Kasa Sdn. Bhd., Teroka Bakti Sdn. Bhd., dan Ecoflora Ventures (M) Sdn. Bhd. telah diluluskan oleh MMKN Ke-20/2022 bertarikh 24 Ogos 2022. Manakala, permohonan pemberimilikan daripada PNSB masih diproses oleh Pentadbir Tanah Petaling.

Lampiran

Tiada Lampiran.