Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

7) PEMBANGUNAN BOLASEPAK

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah jangka pendek dan jangka panjang bagi memulihkan reputasi pasukan bolasepak Liga Super Selangor FC yang merudum sejak akhir-akhir ini ?

    Pasukan Utama Kelab Bolasepak Selangor bagi tahun 2022 merupakan skuad termuda di dalam kejohanan Liga Super dengan purata umur 25 tahun. Antara langkah jangka masa pendek yang akan dibuat oleh pengurusan adalah :-

     

    1. Sentiasa menjalankan aktiviti-aktiviti yang dapat meningkatkan keyakinan dan kekuatan diri para pemain muda Selangor ini. Memberi motivasi secara individu dan khusus ini diharap dapat membantu para pemain muda untuk bangkit apabila menghadapi sebarang cabaran dan dugaan semasa bermain di atas padang.

     

    1. Pengambilan lebih ramai pemain bertaraf kebangsaan yang sedang beraksi bersama pasukan Harimau Malaya pada tahun ini. Kemasukan 3 hingga 4 pemain kebangsaan Malaysia ini akan memberi impak yang positif dalam memperoleh kemenangan yang lebih konsisten disamping dapat membimbing pemain-pemain muda Selangor untuk menjadi lebih matang dan yakin apabila bermain di atas padang.

    Antara usaha jangka masa panjang Kelab Bolasepak Selangor yang paling utama adalah :-

    1. Meneruskan usaha pembangunan pemain muda yang berkualiti dan berkelas antarabangsa untuk diserapkan ke dalam pasukan utama Kelab Bolasepak Selangor. Sebagai maklumat pada tahun 2022, seramai 11 pemain Selangor telah dipanggil untuk mewakili pasukan bawah-23 tahun Malaysia ke kejohanan Sukan SEA dan Piala Asia. Kesemua pemain yang terlibat di dalam pasukan bawah-19 dan bawah-23 tahun Malaysia ini mempunyai kontrak jangka masa panjang bersama pasukan Selangor dan diharapkan pembangunan mereka yang berterusan akan memberi manfaat kepada pasukan Utama Selangor dalam 2 hingga 3 tahun yang akan datang.

     

    1. Selain itu, Kelab Bolasepak Selangor akan terus bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan akademi-akademi bolasepak elit di bawah anjuran kerajaan dan swasta dalam mencari dan menyerap bakat-bakat baru melalui penganjuran pertandingan bola sepak sekolah peringkat kebangsaan, liga-liga bola sepak peringkat negeri Selangor dan perlawanan-perlawanan pemilihan bola sepak yang berlangsung sepanjang tahun.
  2. Tiadakah cadangan untuk mengadakan liga diperingkat daerah bagi mencungkil bakat-bakat baru?

    Bermula 2020, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah memberi fokus sepenuhnya kepada pembangunan bolasepak di peringkat akar umbi di seluruh Selangor. Namun penularan pandemik telah merencatkan sedikit program-program pembangunan bolasepak di Selangor. Pada 2021, dengan kebenaran yang telah diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara untuk membenarkan sukan-sukan berkumpulan bermula semula bagi menggerakkan semula liga negeri dan meneruskan usaha pencarian bakat dari seluruh Selangor.

    Pelaksanaan Liga Negeri FAS telah melibatkan sebanyak 96 pasukan melibatkan seramai 380 pemain muda berusia 16 tahun sehingga 21 tahun yang terbaik dari seluruh Selangor. Lebih dari 50 pemain muda yang berasal dari Liga Negeri FAS telah pun menerima tawaran kontrak untuk bermain di Liga Super Malaysia, Liga Perdana Malaysia dan Liga M3 Malaysia.

    Pada Ogos 2022, FAS meneruskan proses pencarian bakat dengan melancarkan semula FAS Junior League 2022, ianya merupakan medan pencarian bakat yang bakat menerima penyertaan akademi-akademi yang terbaik dari Selangor dan kelab-kelab gabungan FAS.

    Sebanyak 5 kategori yang akan dipertandingkan; kategori bawah 8 tahun, bawah 10 tahun, bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 17 tahun. Sebanyak 100 kelab dan akademi akan bertanding di dalam kejohanan ini yang mengumpulkan 2,000 pemain yang berbakat dari seluruh Selangor.

    Pada Oktober 2022, FAS bakal melancarkan FAS District League buat pertama kali di bawah kepimpinan DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor. FAS District League bakal mengembangkan proses pencarian bakat ke seluruh daerah di Selangor. Kategori yang bakal dipertandingkan adalah kategori bawah 12 tahun dan bawah 19 tahun. Sebanyak 200 kelab dan 4,000 peserta yang bakal bertanding di dalam liga ini. FAS Junior League dan FAS District League bakal menyalurkan bakat-bakat yang terpendam ke Pusat Latihan Daerah di Selangor, Sekolah Sukan Negeri Selangor, Kelab-kelab elit peringkat Negeri Selangor, Akademi Selangor FC dan juga kelab-kelab profesional di seluruh negara.

  3. Berapakah jumlah Akedemi Bolasepak di Selangor?

    Sebanyak 70 akademi bolasepak yang telah berdaftar di dalam sistem Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang berada di seluruh Negeri Selangor. FAS menjangkakan lebih dari 150 akademi yang aktif bergerak di dalam Selangor jika diambil kira akademi-akademi yang tidak berdaftar secara rasmi berdasarkan pemantauan FAS.

Lampiran

Tiada Lampiran.