Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
66) PEMBANGUNAN BOLA SEPAK TEMPATAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh manakah komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam membangunkan bakat atau industri bola sepak bertaraf tempatan?
Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada pembangunan bola sepak negeri Selangor. Peruntukan tersebut adalah merangkumi sejumlah RM10 juta dari Kerajaan Negeri dan RM10 juta lagi adalah sumbangan daripada Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). 5 Juta telah disalurkan kepada Red Giants FC Sdn Bhd (RGFC) bagi mentadbir urus Pasukan Selangor FC manakala RM1.5 Juta telah disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi usaha pembangunan bola sepak akar umbi.
Peruntukan tersebut diberikan bagi memastikan kesinambungan program pembangunan bola sepak dalam misi untuk mengembalikan kegemilangan skuad Merah Kuning di negeri Selangor.
Antara fokus utama pasukan RGFC adalah di dalam pembinaan infrastruktur dan fasiliti bola sepak bagi membolehkan program pembangunan bola sepak negeri Selangor berjalan dengan lancar. Pembangunan infrastruktur melibatkan pembinaan pejabat kejurulatihan baharu yang berjumlah RM700,000.00 bagi menempatkan para jurulatih bola sepak Selangor FC untuk membuat persiapan latihan dan perlawanan dengan lebih profesional. Selain itu, pihak RGFC juga telah membina padang latihan sintetik berbumbung yang bernilai RM 1.9 juta bagi membolehkan latihan dan program bola sepak dijalankan sepanjang masa tidak kira siang atau malam, terik atau hujan. Pusat Fisioterapi Red Giants berjumlah RM900,000.00 juga telah siap dibina dan mula beroperasi sejak bulan Jun 2021 untuk memastikan kecergasan dan kesihatan para pemain bola sepak Selangor berada pada tahap yang memuaskan.
RGFC turut telah memulakan usaha-usaha mengukuhkan dan transformasi Jabatan Teknikal untuk membangunkan DNA bola sepak Selangor FC. Dalam usaha transformasi Jabatan Teknikal, Selangor FC telah memulakan usaha mendidik jurulatih-jurulatih tempatan dengan menjalankan transfer knowledge di antara kepakaran jurulatih asing dan jurulatih tempatan di mana seramai 30 jurulatih akan terlibat. Aplikasi sains sukan seperti GPS system, video analisis, penjagaan makanan dan ujian kecergasan setiap bulan turut diadakan bagi memastikan persembahan pemain berada di tahap yang tertinggi.
RGFC juga telah bergerak aktif bagi menjalankan kerjasama rapat dengan Sekolah Sukan Negeri Selangor di mana Selangor FC akan memberi fokus untuk menyalurkan dana pembangunan bagi pertandingan Liga KPM bagi skuad bawah 17 tahun dan bawah 15 tahun. Selain itu, RGFC juga telah memulakan pembangunan yang lebih menyeluruh di peringkat akar umbi bagi menjalankan knowledge transfer teknikal dan DNA Selangor kepada semua jurulatih, menyediakan kepakaran video analisis dan fisio.
Manakala pihak Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah meneruskan usaha membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi khususnya program-program :-
- Pembangunan kelab bola sepak komuniti
- Pembangunan pengadil
- Pembangunan kejurulatihan tempatan
- Pembangunan bola sepak wanita dan kanak-kanak perempuan
- Pembangunan liga remaja / liga bola sepak negeri
Kesemua pembangunan bola sepak ini telah melibatkan lebih dari 10,000 peserta dari seluruh Selangor. Kerjasama rapat di antara Selangor FC dan FAS diteruskan untuk memperkukuhkan struktur liga Selangor bagi menggalakkan penglibatan pemain muda dari semua daerah Selangor dengan mensasarkan penglibatan atlet elit remaja yang terbaik dari seluruh Selangor.