Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

39) PEMBANGUNAN BELIA SELANGOR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pelan jangka panjang Kerajaan Negeri untuk menyokong pembangunan ekonomi golongan belia di kawasan luar bandar?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri tidak hanya menumpukan bantuan kepada usahawan luar bandar sahaja, tetapi turut merangkumi usahawan di kawasan bandar dan luar bandar bagi memastikan kelangsungan serta pertumbuhan perniagaan mereka. Bagi menyokong pembangunan ekonomi golongan belia, pelbagai inisiatif atau program yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Keusahawanan, UPEN dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti Menteri Besar Incorporated (MBI), SIDEC, Yayasan Hijrah Selangor, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Selangor Youth Community (SAY) dan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), PKNS antaranya :

    1. Geran Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS)

    Bantuan ini diberikan kepada usahawan melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas dalam bentuk mesin atau peralatan untuk membantu usahawan di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.

    Sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk program bantuan DUMS pada tahun 2025. Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00. Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut :

    • Rakyat Negeri Selangor ataupun yang telah bermastautin di Negeri Selangor lebih daripada 10 tahun;
    • Berumur di antara 18 hingga 60 tahun;
    • Perusahaan di bawah kategori mikro sahaja;
    • Perusahaan merentasi semua sektor termasuk sektor Industri Kreatif;
    • Telah dan mash beroperasi untuk tempoh sekurang-kurangnya dua (2) tahun daripada tarikh permohonan;
    • Konsisten dari segi pengeluaran dan permintaan;
    • Perusahaan yang dijalankan adalah sepenuh masa (kecuali bagi perusahaan secara dalam talian);
    • Mempunyai sekurang-kurangnya dua (2) atau lebih orang bilangan pekerja;
    • Pemohon pernah menyertai mana-mana program keusahawanan anjuran Jabatan/Agensi dibawah Kerajaan Negeri;
    • Perniagaan mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); dan
    • Pemohon yang berjaya hanya layak menerima bantuan ini sekali sahaja.

    2. Program U-PLATS

    Program Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) merupakan program latihan yang ditawarkan di setiap kawasan mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mempersiapkan peniaga ke arah digitalisasi. Program U-PLATS menawarkan beberapa fasa dan modul khas seperti berikut:

    1. Fasa 1 memfokuskan kepada adaptasi digitalisasi dan penjanaan gandaan pendapatan. Di dalam fasa 1 juga, usahawan dididik untuk memastikan kewujudan perniagaan di dalam platform digital dan pembinaan kandungan kreatif seperti di tiktok untuk mengiklankan perniagaan mereka.
    2. Fasa 2 pula memfokuskan kepada perkemasan perniagaan sehingga mendapat pensijilan halal.
    3. Fasa 3 memfokuskan kepada “expand dan export” untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan membuka peluang pekerjaan.

    3. Latihan Keusahawanan

    Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Keusahawanan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti INSKEN, MARA, HIJRAH SELANGOR dan Bahagian Pembangunan Usahawan, PKNS. Bagi tahun 2025, Program Liga Usahawan Selangor (SAY Lead dan Aspire Export) akan dilaksanakan dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY), untuk membangunkan usahawan dengan peruntukan sebanyak RM200,000.00. Liga Usahawan Selangor merangkumi 2 kategori yang memberi fokus kepada usahawan eksport ready dan usahawan kelainan upaya (OKU). Kelompok sasaran bagi program ini adalah usahawan yang beroperasi di Negeri Selangor yang mempunyai potensi untuk dikembangkan ke pasaran rantaian dan pasaran eksport, serta usahawan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

     

    4. Program Selangor 1000 Digital

    Objektif penganjuran Program ini dengan kerjasama SIDEC adalah untuk mendigitalisasikan usahawan di Selangor secara tuntas melalui satu kempen utama. Program ini mensasarkan sebanyak 1000 peserta secara keseluruhan. Kempen utama ini memfokuskan kepada dua elemen utama digitalisasi iaitu:

    1. Memperkasakan 500 usahawan e-dagang dengan teknologi dan penyelesaian digital yang membuka potensi tumbesaran usahawan.
    2. Melahirkan 500 hos penstriman langsung (live seller) yang boleh menjana pendapatan melalui platform digital.

    Selain itu, SIDEC turut menjalankan program pemecut Selangor Accelerator Programme, pendidikan, bengkel, dan kursus latihan untuk membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan profesional dalam industri kreatif digital.

    Sejajar dengan perkembangan semasa, para belia disarankan untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam apa jua bidang melalui penggunaan teknologi dan pendigitalan pintar dankecerdasan buatan yang sejajar dengan pembangunan revolusi industri 4.0. Ini akan dapat membantu membuka lebih banyak peluang-peluang pekerjaan dan keusahawaan bagi pembangunan belia dalam jangka masa panjang.

  2. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan insentif kepada syarikat yang mengambil belia tempatan sebagai tenaga kerja?

    Pada masa ini, Kerajaan Negeri tidak mempunyai perancangan khusus untuk menyediakan insentif kepada syarikat yang mengambil belia tempatan sebagai tenaga kerja. Namun, keutamaan sentiasa diberikan kepada rakyat Selangor dan pengundi di negeri ini dalam pelaksanaan dasar serta inisiatif pembangunan ekonomi. Selain itu, tiada dasar atau garis panduan yang mewajibkan syarikat di Selangor untuk mengutamakan pengambilan belia tempatan. Walaupun begitu, Kerajaan Negeri terus berusaha memperkasa belia melalui program latihan, peningkatan kemahiran, dan peluang pekerjaan bagi memastikan mereka kekal kompetitif dalam pasaran tenaga kerja.

Lampiran

Tiada Lampiran.