Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
38) PEMBANGUNAN BELIA DAN SUKAN
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar-dasar baru dibuat atau diperkenalkan oleh YB Exco Belia dan Sukan dalam memikul tanggungjawab sebagai Exco pada penggal ke 14 ini?
Tuan Speaker,
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan telah berusaha memberi ruang dan peluang untuk mendekati masyarakat terutamanya golongan muda di peringkat akar umbi untuk mendapatkan maklumbalas, sekaligus disalurkan kepada pihak bertanggungjawab. Hal ini adalah sejajar dengan tugas dan fungsi Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Selangor.
Sehubungan itu, sepanjang memikul tanggungjawab sebagai EXCO Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan bagi penggal ke-14, beberapa dasar-dasar baru telah diperkenalkan sebagaimana berikut :-
- Dasar Belia Selangor 2020 (DBS)
Pengurusan pembangunan belia mengalami fasa perubahan yang pantas seiring dengan faktor globalisasi. Oleh itu, satu kerangka atau dasar pembangunan belia positif yang holistik, dari peringkat individu belia hingga ke peringkat pemegang taruh berkepentingan telah diwujudkan.
Justeru, Pembentukan Dasar Belia Negeri Selangor 2020 bertindak sebagai manual yang memandu hala tuju pembangunan belia di samping ia juga akan berfungsi sebagai penimbang tara kepada status program pembangunan belia semasa. Ini kerana, keupayaan program pembangunan belia memacu belia sebagai rakan Pembangunan adalah dicerminkan oleh dasar yang dipandu.
Dasar berkaitan belia yang telah dibentuk adalah berasaskan kepada penyelidikan berimpak tinggi dan pelaksanaannya dapat dilaksanakan secara sistematik.
Untuk makluman YB, Dasar Belia Negeri Selangor telah dikeluarkan sebelum pada tahun 2014 dan sebahagian daripada dasar ini perlu ditambahbaik seiring dengan keperluan pembangunan belia pada masa kini.
Justeru itu, seiring dengan misi Negeri Pintar 2025, Kerajaan Selangor sentiasa memastikan supaya anak muda di negeri ini sentiasa bersedia untuk berdepan Revolusi Industri 4.0. dan dapat mencapai sasaran serta mampu kekal bersaing di peringkat global.
2. Dasar Modal Insan Selangor (DMIS)
Pembangunan modal insan merupakan elemen penting dalam pembangunan sosioekonomi bagi sesebuah negara. Pembentukan satu dasar yang memberi fokus kepada pembangunan modal insan amat signifikan bagi merangka dan mencapai objektif berteraskan kepada beberapa komponen iaitu pembangunan ekonomi (kerjaya dan kemahiran), kepimpinan dan patriotisme, kesejahteraan komuniti, gaya hidup sihat dan pengupayaan warga emas.
Negeri Selangor sedang menuju ke arah sebuah negeri pintar pada tahun 2025. Seiring dengan inspirasi ‘Selangor Maju Bersama’, pembentukan DMIS dilihat sebagai keperluan demi melahirkan rakyat yang cemerlang, berdaya maju dan berdaya saing yang mampu menjadi aset berkualiti kepada negeri dan berupaya menyumbang kepada pencapaian hala tuju Kerajaan Selangor.
Sejajar dengan keperluan semasa dan agenda pembangunan modal insan Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan & Modal Insan telah menggerakkan inisiatif memperkasakan agenda pembangunan modal insan agar inspirasi ‘Selangor Maju Bersama’ dapat direalisasikan.
Pembentukan DMIS akan bertindak sebagai satu manual dan panduan kepada hala tuju pembangunan modal insan di samping berfungsi sebagai penimbang tara kepada status program pembangunan modal insan semasa.
Justeru itu, selaras dengan hasrat untuk merealisasikan misi Negeri Pintar (Smart Selangor), Kerajaan Selangor akan memastikan masyarakat khususnya anak muda di negeri ini sentiasa bersedia untuk berdepan cabaran dan Revolusi Industri 4.0 dengan menyediakan tenaga kerja mahir di Selangor untuk keperluan
industri.
3. Pelan Pembangunan Belia Selangor (PPBS)
Pelan Pembangunan Belia Selangor atau singkatannya PPBS merupakan inisiatif perancangan strategik Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Generasi Muda dan Sukan yang memfokuskan pembangunan belia dalam bentuk Pelan Tindakan Jangka Panjang atau ‘Long- Term Action Plan’ yang lebih tersusun, realistik dan effektif di peringkat akar umbi. Pelan ini juga bertindak sebagai Pelan Tindakan kepada Dasar Belia Selangor 2020. Melalui PPBS ini, dasar dan hala tuju pembangunan belia di Selangor akan diletak dan digerakkan di bawah satu pelan induk yang akan menjadi garis panduan atau ‘guideline’ pada agensi- agensi pelaksana dalam usaha menyampai mahupun menjalankan agenda Kerajaan Negeri untuk rakyat, khususnya 2.9 juta populasi belia Selangor.
PPBS amat signifikan sebagai penanda aras prestasi atau ‘Key Performance Indicator (KPI) Majlis Penggerak Belia Selangor (MPeBS) mahupun setiap agensi pelaksana bagi memastikan segala tindakan dan perancangan dicapai dengan komprehensif supaya inspirasi Kerajaan Negeri iaitu ‘Selangor Maju Bersama’, khusus untuk pembangunan belia dapat direalisasikan. Adalah diharapkan agar PPBS ini juga dapat menjadi panduan dan rujukan untuk agensi- agensi pelaksana, Badan- Badan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan- persatuan belia dan individu dalam merencana program- program belia agar menyumbang impak yang tinggi dan bergerak seiring dengan objektif Kerajaan Negeri demi ‘Memperkasakan Belia Selangor’ atau ‘Empowering Selangor Youths’.
Walau bagaimanapun, Pembentukan PPBS ini masih di peringkat akhir bagi memperhalusi setiap faktor kehendak belia supaya menepati objektif dan strategi dengan lebih menyeluruh.
Dasar yang diwujudkan ini diharap mampu untuk membawa Generasi Muda di Negeri Selangor untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan melalui program-program yang telah dan bakal dilaksanakan oleh Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan.