Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
148) PEMBANGUNAN BELIA
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah peranan Kerajaan Negeri untuk belia luar bandar khususnya belia DUN Jeram dalam sektor peluang pekerjaan di bawah Kerajaan Negeri?
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil maklum untuk menambah baik keadaan ekonomi anak muda termasuk meningkatkan peluang pekerjaan kepada golongan belia khususnya belia di DUN Jeram berikutan taraf hidup yang semakin meningkat dan pembangunan belia perlu dititikberatkan terutamanya dari segi pekerjaan dan pendapatan untuk memastikan pembangunan Negeri yang mampan.
Antara langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri adalah dengan meningkatkan pelbagai program pembangunan ekonomi belia sebagaimana berikut:-
- Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair ;
- Kursus/Latihan di bawah Jawatankuasa Tetap Modal Insan;
- Pendidikan Kemahiran dan Vokasional ;
- Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS)
- Lain-lain Program di bawah agensi ;
- Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair
Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan telah menganjurkan program Karnival Kerjaya (Job Fair) secara berkala (2 kali setahun). Program ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Jobs Malaysia bermula pada tahun 2014.
Program Selangor Mega Job Fair pada awal tahun 2019 adalah program berskala mega yang julung kali dianjurkan. Ia melibatkan sebanyak 180 syarikat swasta terpilih yang mengadakan temuduga terbuka (walk in interview). Sebanyak 180 majikan dan 20 Agensi /Jabatan Kerajaan terlibat. Daripada jumlah itu, lebih 12,000 peluang telah ditawarkan termasuklah 20 majikan yang turut menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pada hari tersebut.
Hampir 20,000 pengunjung mendapat manfaat melalui program ini. Jumlah permohonan yang berjaya mendapatkan tawaran pekerjaan pada hari tersebut ialah seramai 237 orang dan seramai 3,482 orang pemohon telah berjaya menghadiri temuduga ke 2. Program yang dilaksanakan ini telah berjaya melibatkan pemohon berdaftar seramai 25,199 orang yang mana seramai 15,623 orang telah berjaya untuk ditemuduga. Daripada jumlah calon yang telah ditemuduga tersebut, seramai 4,790 orang telah berjaya mendapat pekerjaan.
Program ini juga merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan kadar pengangguran. Ia turut membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja dengan mengutamakan penglibatan warga tempatan berbanding warga asing.
- Kursus/Latihan di bawah Jawatankuasa Tetap Modal Insan
Program latihan ini turut menekankan konsep hands holding di mana setiap langkah dalam dunia usahawan akan diberikan panduan teliti. Untuk rekod, program ini telah berjaya melahirkan beberapa usahawan muda berjaya.
- Pendidikan Kemahiran dan Vokasional
Menyediakan pendidikan kemahiran dan vokasional di Kolej INPENS dengan yuran yang berpatutan untuk belia yang kurang berkemampuan namun ingin meneruskan pembelajaran walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang. Inisiatif Kerajaan Negeri Selangor ini telah menyediakan peluang pendidikan kemahiran dan vokasional yang dibiayai berdasarkan kelayakan pemohon.
- Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS)
Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) iaitu sebuah program latihan keusahawanan melalui kursus dalam bidang – bidang seperti berikut:
- Kursus Keusahawanan Penternakan (Ruminan & Unggas)
- Kursus Pemantapan Pemantauan Keusahawanan
- Kursus Percetakan Segera Pentauliahan Sijil SKM Tahap 3: Peserta Urutan Selepas Bersalin
- Kursus Keusahawanan Penternakan
- (Makanan ternakan dan Rancangan Perniagaan)
- Kursus Soft Skills Usahawan Penternakan & Pengurusan Kewangan (Online)
- Kursus Keusahawanan Penternakan (Sembelihan Halal & Penyediaan Makanan (BBQ)
- Mobile Service Aircond
- Cuci Kasut
- Mobile Barber
- Ayam Gunting
- Terapi Bekam
- Bakeri
- Mobile Spa
- Dekorasi Pelamin
- Kiosk Sate
Program ini yang diberikan secara percuma merangkumi beberapa kategori peserta iaitu belia, suri rumah, pesara dan ibu tunggal. Daripada tahun 2011 hingga 2018, terdapat 3,248 orang peserta telah terpilih untuk menyertai Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS). Daripada jumlah tersebut, seramai 2,436 orang peserta (75%) telah berjaya menjana pendapatan melalui program tersebut. Purata pendapatan bulanan mencatatkan jumlah tertinggi untuk julat pendapatan antara RM500 – RM2,000 sebulan melalui 1,712 orang peserta (52.71%).
- Lain-lain Program di bawah agensi
- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)
- Program Perintis Usahawan (PPU)
Program Perintis Usahawan ini telah mula dilaksanakan pada tahun 2007 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (dulu dikenali sebagai Jabatan Pelajaran Negeri Selangor). Objektif program ini adalah untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah. Enam (6) buah sekolah rendah telah terlibat sejak dimulakan pada tahun 2007.
- Program Tunas Niaga (PROTUNe)
Dalam membudayakan usahawan muda yang berjaya dan berpengetahuan, Program Tunas Niaga (PROTUNe) telah diperkenalkan di Negeri Selangor pada tahun 1998 oleh Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MECD).
- Program Usahawan Siswazah (GROW)
Program Usahawan telah dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sejak tahun 2003 dengan memberi fokus kepada latihan dan pembudayaan yang mensasarkan mahasiswa di lapan (8) institusi-institusi pengajian tinggi seperti berikut:
- Universiti Teknologi Mara (UiTM);
- Universiti Putra Malaysia (UPM);
- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM);
- Universiti Industri Selangor (UNiSEL);
- INSPENS International College;
- Kolej Universiti Selangor (KUIS);
- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); dan
- City University (City U)
- Program di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani
Kerajaan Negari telah melaksanakan pelbagai Program untuk Generasi Muda yang berminat menceburi sektor pertanian sebagaimana berikut:-
- Program Agro Muda Selangor (AMSEL);
- Program Bantuan Peralatan Pertanian;
- Kursus dan Seminar kepada Generasi Muda; dan
- Pembukaan Tanah Pertanian
-
Bolehkah Kerajaan Negeri menaikkan peruntukan dan elaun untuk PeBT yang dilantik di setiap kawasan dalam Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri telah menubuhkan Penggerak Belia Tempatan bermula pada tahun 2009 sebagai agen penggerak kepada pembangunan Negeri dengan jumlah keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM2,764,800.00. Justeru itu buat masa ini, Kerajaan Negeri masih mengekalkan peruntukan program Penggerak Belia Tempatan (PeBT) seperti tahun-tahun sebelum ini di mana setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan diperuntukkan sebanyak RM120,000.00 yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan program adalah sebanyak RM1,440,000.00 untuk semua PBT bagi menjalankan program-program PeBT yang telah dirancangkan.
Untuk makluman, peruntukan tersebut akan disalurkan kepada PBT di mana PBT dikehendaki untuk memantau dan merancang pelaksanaan program PeBT masing-masing untuk memastikan pelaksanaan program adalah sebagaimana yang telah dirancangkan. Di samping itu, PeBT juga boleh melaksanakan program-program PeBT secara gabungan dengan zon-zon yang lain bagi mendapatkan impak program yang lebih berkesan dan mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.
Seterusnya, peruntukan elaun Penggerak Belia Tempatan (PeBT) juga masih dikekalkan iaitu sebanyak RM500.00 sebulan untuk elaun Pengerusi Induk PeBT dan RM400.00 sebulan untuk elaun Pengerusi PeBT yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan elaun adalah sebanyak RM1,324,800.00.
-
Apakah peranan Kerajaan Negeri dalam mewujudkan kontraktor di kalangan belia?
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS terus komited dalam melahirkan usahawan kontraktor Bumiputera melalui Program Pemantapan sebagaimana berikut:
- Program Vendor Inkubator Payung (VIP); dan
- Program Sub kontraktor Bumiputera (SKB) PKNS.
- Program Vendor Inkubator Payung (VIP) PKNS
Program ini merupakan sebuah usaha pembangunan yang tersusun dan terancang bagi melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera yang kompeten di dalam membekalkan bahan binaan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan industri pembangunan hartanah melalui penglibatan mereka di dalam projek-projek hartanah PKNS.
Antara senarai produk vendor yang berdaftar di bawah program VIP PKNS sebagaimana berikut :-
- Bingkai Kayu & Tingkap
- Kawalan Serangga
- Pintu Kayu
- Kekuda Bumbung
Objektif Program
- Membangunkan keupayaan dan kompetensi vendor bumiputera (pengilang) sebagai pembekal bahan binaan yang mempunyai daya saing yang tinggi di dalam industri hartanah;
- Membantu vendor bumiputera untuk membangunkan produk bahan binaan yang berkualiti tinggi melalui amalan pengilangan dan bekalan yang terbaik; dan
- Membantu pengembangan perniagaan vendor bumiputera melalui pewujudan saluran dan jaringan perniagaan dengan entiti lain di dalam pasaran.
Pencapaian
- Bagi tempoh 23 tahun iaitu dari tahun 1996 sehingga 2019, PKNS telah menggunakan produk-produk bahan binaan keluaran syarikat yang berdaftar di bawah program VIP PKNS di dalam projek-projek pembinaan PKNS dengan nilai sebanyak RM 154 juta.
- Program Sub Kontraktor Bumiputera (SKB) PKNS
Program ini merupakan sebuah usaha pembangunan yang tersusun dan terancang bagi melahirkan sub-kontraktor bumiputera yang kompeten di dalam melakukan kerja-kerja kontrak dan perkhidmatan yang berkaitan dengan industri pembangunan hartanah melalui penglibatan mereka di dalam projek-projek hartanah PKNS. Peruntukan kerja SKB bagi sesuatu projek adalah 10 peratus dari jumlah kontrak bagi kerja luaran bangunan tertumpu kepada bidang sivil, elektrikal dan landskap.
Objektif Program
- Menjadi salah satu platform berstruktur untuk meningkatkan kualiti kerja-kerja kontrak oleh kontraktor;
- Mewujudkan kontraktor binaan yang pakar dan mahir dalam kerja-kerja kontrak ;
- Membuka peluang untuk kontraktor bumiputera meningkatkan keupayaan mereka bagi memastikan ruang penglibatan yang lebih tinggi di dalam industri ini; dan
- Membantu perkembangan kontraktor dari kelas kecil ke kelas besar melalui proses peningkatan atau penggabungan
Pencapaian
- Bagi tempoh 15 tahun iaitu dari tahun 2003 sehingga 2017, PKNS telah menawarkan kerja kepada SKB dengan nilai tawaran kerja sebanyak RM 122 juta dalam pelbagai bidang kerja iaitu sivil, elektrikal dan landskap.
- PKNS juga telah berjaya melahirkan syarikat kontraktor yang berkompetensi tinggi dalam melaksanakan kerja-kerja luaran bangunan dalam projek PKNS mahapun di organisasi luar dengan pencapaian 7 syarikat yang berjaya sebagai syarikat kontraktor dengan gred CIDB G7.