Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

97) PEMBANGUNAN BELIA

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor dalam pembangunan modal insan untuk langkah meningkatkan taraf kehidupan belia?

    Pemerkasaan generasi muda dan belia melalui aktiviti-aktiviti pembangunan kepimpinan serta pengembangan kapasiti akan digerakkan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS). Ini sebagai satu langkah untuk memperkasa pengupayaan generasi muda atau belia dengan merangkumi pelbagai pemegang taruh seperti Majlis Belia Negeri Selangor serta entiti-entiti strategik lainnya. Antara perancangan yang telah dilaksanakan termasuklah:

    Program Selangor Mega Job Fair merupakan platfom pencarian pekerjaan yang ditawarkan kepada belia di dalam bidang kemahiran TVET terutamanya serta bidang-bidang lain seperti bidang perhotelan, makanan dan minuman (F&B) dan automotif. Melalui program ini, setiap pemain industri berpeluang untuk mengesan bakat yang ada di kalangan belia manakala pihak belia dapat mengenalpasti dan memohon peluang pekerjaan baru sesuai dengan kelulusan akademik dan pengalaman masing-masing. Sehubungan dengan itu, para belia sewajarnya mengambil peluang ini untuk meningkatkan taraf hidup mereka dengan mendapatkan pekerjaan yang berpendapatan tinggi.

    Program pemerkasaan kemahiran TVET melalui Kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan penyertaan belia dalam Kursus Pendek Tajaan IKTISASS juga juga ditawarkan kepada golongan belia untuk meningkatkan nilai tambah kebolehpasaran diri masing-masing. Antara kursus yang ditawarkan ialah Kursus Teknologi Dron, Kursus Asas Penyelenggaraan Kenderaan, Kursus Jahitan Kreatif dan Kursus Postnatal. Kursus ini terbuka kepada pelajar lepasan sekolah yang ingin meningkatkan kemahiran sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Tambahan lagi, kursus jangka pendek menawarkan jadual pembelajaran yang lebih fleksibel. Para belia dengan ini dapat meningkatkan peluang mendapat pekerjaan, meningkatkan produktiviti, atau mengubah hobi seseorang itu kepada perniagaan.

  2. Apakah langkah - langkah dan perancangan Kerajaan Negeri dalam membendung penularan penggunaan rokok elektronik di kalangan pelajar- pelajar sekolah yang dilihat semakin membimbangkan?

    Kerajaan Negeri sentiasa menyokong inisiatif pembanterasan gejala dadah dalam pelbagai bentuk termasuk aktiviti merokok bagi memastikan golongan pelajar dan belia kekal menjadi aset penting negeri. Penganjuran Karnival Selangor Sejahtera Tanpa Dadah menghimpunkan golongan belia dan komuniti dalam aktiviti fizikal, spiritual dan emosi yang sihat. Mesej-mesej untuk mengamalkan gaya hidup sihat, jauhi rokok dan dadah serta program-program sokongan yang ditawarkan untuk mencegah, membimbing serta membantu golongan perokok dan penangih disampaikan di dalam pelbagai bentuk di program ini.

    Penyampaian mesej sama kepada pelajar sekolah terutama bagi membendung penggunaan rokok elektrik pada masa ini dilaksanakan secara khusus oleh Agensi Anti-Dadah Kebangsaan Negeri Selangor dan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

    Namun, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperkenalkan program pemulihan dan rehabilitasi bagi pelajar yang telah terjerumus dalam penggunaan rokok elektronik. Program ini menyediakan sokongan psikologi dan kaunseling untuk membantu pelajar mengatasi kebergantungan mereka terhadap rokok elektronik. Kerajaan Negeri akan mengambil kira pandangan daripada semua pihak berkepentingan berhubung  pembendungan masalah sosial ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.