Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
116) PEMBANGUNAN BELIA
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah kadar pengangguran belia antara tahun 2018-2023?
Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, penganggur bermaksud mereka yang tidak bekerja dan sedang mencari pekerjaan manakala belia mengikut definisi Dasar Belia Malaysia (DBM) adalah merujuk kepada penduduk dalam kumpulan umur 15 tahun hingga 30 tahun. Bagi tempoh 2018 hingga 2022, kadar pengangguran belia di Negeri Selangor direkodkan antara 5 peratus dan 7.4 peratus.
Pada tahun 2022, bilangan penganggur belia di Negeri Selangor merekodkan sejumlah 67.2 ribu orang berbanding 94.8 ribu penganggur belia pada tahun 2021. Dari segi kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun di Negeri Selangor pula mencatatkan penurunan 1.3 mata peratus kepada 5.5 peratus pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya.
Untuk makluman, bagi statistic berkaitan pengangguran belia di Negeri Selangor bagi tahun 2023 masih belum tersedia.
Maklumat Tambahan (LAMPIRAN A):
- Jadual 1: Bilangan penganggur mengikut kumpulan umur, Malaysia dan Selangor, 2018-2022
- Jadual 2: Kadar pengangguran mengikut kumpulan umur, Malaysia dan Selangor, 2018-2022
- Konsep Asas Statistik Tenaga Buruh
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri dalam menangani isu pengangguran belia?
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dalam usaha untuk membuka peluang pekerjaan, mengurangkan pengangguran dan menambah pendapatan rakyat terutamanya golongan belia di Selangor. Justeru itu, selaras dengan peralihan ke era digital pada masa ini, Kerajaan Negeri menggalakkan mereka untuk menyertai sektor ekonomi gig sebagai alternatif kepada penjanaan pendapatan. Sektor ini menjadi trend penglibatan anak muda pada masa ini.
Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) adalah usaha untuk terus membantu kumpulan ini, sekaligus menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor terkini. Subsidi sebanyak RM550 yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada golongan anak muda melalui RiDE telah menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited, prihatin dan peka akan masalah terutamanya kepada golongan yang terjejas akibat pendemik ini. Susulan permintaan yang tinggi terhadap permintaan ‘food delivery’ dan sebagainya, Kerajaan Negeri berharap program RIDE ini akan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja dan merancakkan lagi sektor tersebut dan juga dapat menambahkan pendapatan mereka.
Seterusnya, pada tahun 2022 dan 2023, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan telah melaksanakan sebanyak tiga (3) siri Selangor Mega Job Fair. Butiran adalah seperti berikut;
Penganjuran program ini merupakan platform yang menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mendapatkan pekerjaan, sekaligus mengatasi kadar pengangguran di Selangor selaras dengan permintaan yang tinggi dan sambutan yang menggalakkan berikutan kadar kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik covid-19.
Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Selangor Mega Job Fair telah membuka ruang kerjaya melalui dengan pautan https://www.selangorjobportal.com.my. Kemudahan Portal ini adalah diberi secara percuma kepada majikan yang mahu mengiklankan jawatan kosong dan individu yang ingin mencari peluang pekerjaan, di mana mereka hanya perlu mendaftar dengan portal ini. Melalui program ini, calon akan melalui penilaian profil serta pemadanan kerjaya tertakluk kepada pekerjaan yang diiklankan dan pemilihan tersebut akan dilakukan oleh majikan yang berdaftar sebelum penempatan kerja sebenar berlaku.
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam usaha kerjasama dengan pihak syarikat swasta/ badan kerajaan untuk mengambil pekerja OKU terutama bagi golongan belia?
Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap golongan OKU terutama golongan belia di Selangor. Antara usaha Kerajaan Negeri adalah mengadakan kerjasama dengan pihak industri, syarikat-syarikat swasta dan agensi yang menyediakan peluang pekerjaan dalam penganjuran Program Selangor Mega Job Fair bagi menyediakan kuota dan pekerjaan yang mudah kepada golongan OKU. Program ini berkonsepkan mesra OKU dengan pihak urus setia telah menyediakan guru bahasa isyarat bagi memudahkan komunikasi semasa sesi temuduga dilaksanakan.