Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

288) PEMBANGUNAN

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan dan usaha kerajaan dalam membangunkan zon utara Selangor dengan pembangunan ekonomi dan fizikal?

    Dalam pelaksanaan halatuju pembangunan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri memberi fokus kepada perkongsian kekayaan secara inklusif melalui penglibatan ekonomi yang menyeluruh oleh setiap lapisan masyarakat. Bagi memastikan pertumbuhan ekonomi zon utara terus kukuh dan berkembang maju, konsep pembangunan Negeri Selangor adalah ke arah pembangunan wilayah bandar dengan pengkhususan fungsi bandar. Zon utara Negeri Selangor melibatkan Daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

    Pembangunan Daerah Hulu Selangor menfokuskan kepada pembangunan bandar industri automotif. Pelan pembangunan yang komprehensif dirangka bagi menyediakan infrastruktur yang bersepadu, moden dan canggih bagi membolehkan bandar ini berperanan sebagai nodus perkembangan sektor automotif di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memberi galakan berterusan terhadap pembangunan industri berteknologi tinggi bagi berhadapan dengan cabaran globalisasi dan pengekalan momentum ekonomi.

    Perkembangan industri automotif di zon utara ini dijangka akan menarik lebih ramai pelabur ke Negeri Selangor dan menyumbangkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan.

    Manakala bagi Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam pula, fokus pembangunan ekonomi daerah ini ialah menjurus kepada pertumbuhan industri pertanian dan asas tani. Kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan pembangunan pertanian adalah seiring dengan pertumbuhan sektor-sektor lain bagi memastikan kelangsungan sumber makanan utama negara iaitu padi. Bagi memperkasakan industri pertanian, Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mewujudkan inovasi terkini bagi meningkatkan produktiviti dan nilai tambah industri pertanian di zon utara Negeri Selangor.

  2. Adakah kerajaan bercadang untuk membina jambatan kedua yang menghubungkan Sg. Air Tawar dan Hutan Melintang dan bila akan dilaksanakan?

    Pada masa kini Kerajaan Negeri tidak mempunyai cadangan untuk membina jambatan kedua yang menghubungkan Sg. Air Tawar dan Hutan Melintang.

Lampiran

Tiada Lampiran.