Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

98) PEMBANGUAN BERSIFAT POCKET DEVELOPMENT

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sebagai sebuah perbandaran yang sedang pesat membangun, pembangunan berbentuk pocket development yang berkeluasan kurang daripada lima ekar di Kuala Langat berperanan untuk memenuhi keperluan penduduk setempat terhadap perumahan. Namun begitu, masalah infrasktrutur di taman-taman perumahan ini seringkali berlaku. Adakah kerajaan berhasrat untuk menwujudkan satu garis panduan untuk mengawalatur pembangunan sedemikian?

    Berdasarkan Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030, pengezonan kawasan perumahan di lot-lot kecil adalah berdasarkan kepada potensi sesuatu kawasan yang berhampiran dengan pembangunan perumahan berskala besar untuk menaikkan nilai  hartanah di kawasan berkenaan dan memberi peluang kepada penduduk untuk membeli atau memiliki rumah bertanah terutamanya untuk generasi kedua di kawasan tersebut.

    MPKL memproses permohonan  mengikut keperluan yang ditetapkan dalam Manual Garispanduan Dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor yang berkuatkuasa. Walaubagaimanapun pembangunan lot-lot kecil adalah tidak tertakluk kepada penyediaan kemudahan kerana bilangan rumah yang dicadangkan adalah kecil.

    Sehubungan dengan itu, pihak MPKL telah menetapkan jenis dan bilangan kemudahan yang perlu disediakan dikawasan tersebut dalam Blok Perancangan Kecil Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030. Perlaksanaan adalah dengan cara  berikut:

    1. Perlu membuat pengambilan balik tanah bagi tujuan penyediaan kemudahan infrastruktur dan kemudahan awam
    2. Pejabat Tanah Daerah perlu mengenalpasti tanah-tanah kerajaan yang berhampiran untuk penyediaan kemudahan

    Pihak MPKL juga telah mengambil inisiatif dengan menetapkan pembangunan lot-lot kecil ini dimajukan oleh pemaju secara bersepadu seperti tanah FELCRA Bukit Changgang, dimana pihak MPKL telah menolak permohonan yang dikemukakan secara individu dan meminta pihak FELCRA memajukan kawasan tersebut secara terancang.

Lampiran

Tiada Lampiran.