Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

178) PEMBALAKAN HARAM

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Merujuk Laporan Ketua Audit Negara Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2008 berkenaan pembalakan haram, muka surat 52: ÒPada pendapat Audit, pelaksanaan penguatkuasaan oleh JPNS tidak memuaskan kerana tidak mengikuti sasaran jadual rondaan yang telah ditetapkanÓ. Laporan Ketua Audit muka surat 51 menyatakan: ÒKecurian kayu balak daripada aktiviti pembalakan haram mengakibatkan kerugian hasil Kerajaan seperti premium, royalti dan sesÓ. Ulasan Jabatan dalam Memorandum Laporan Ketua Audit Negara 2008 Selangor, muka surat 63, Para 3.5.1.2 (b): ÒJabatan Perhutanan Negeri Selangor telah membentangkan kertas kerja kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 10 April 2009 menentukan bentuk tindakan yang akan diambil. Jabatan terus meningkatkan kawalan supaya penerokaan baru tidak berlakuÓ. Berapakah anggaran kerugian kepada Kerajaan Negeri di segi premium, royalti dan ses di seluruh negeri Selangor akibat aktiviti pembalakan haram ini?

    Menerusi langkah kawalan yang lebih bersepadu dilaksanakan pada tahun 2009, jumlah kerugian dari segi premium, royalti dan ses hanyalah sebanyak lebih kurang RM18,000.00 berbanding dengan lebih kurang RM100,000 pada tahun 2008.

     

  2. Apakah langkah-langkah yang disyorkan oleh Jabatan dalam kertas kerja yang dikemukakan kepada MTES bagi mengatasi kelemahan ini?

    Langkah-langkah yang disyorkan dan dipersetujui oleh MMKN ialah seperti berikut :-

    • JPNS mengkaji kawasan-kawasan penempatan/ kampung, projek-projek kerajaan dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL)yang telah di keluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah dalam HSK bagi tujuan pertimbangan MMKN sama ada diwarta keluar dari HSK atau diambil tindakan undang-undang.
    • Bagi kawasan penerokaan haram / pendudukan tanpa kebenaran, JPNS mengambil tindakan penguatkuasaan seperti berikut:
    1. memusnahkan tanaman.
    2. merobohkan binaan dan infrastruktur.
    3. menahan jentera, kenderaan dan peralatan kerja.
    4. merobohkan infrastruktur pertanian antaranya kolam, kandang/reban ternakan.
    5. menangkap individu yang menduduki hutan simpan tanpa kebenaran.
    6. mengkompaun atau mendakwa di mahkamah individu terbabit mengikut jenis kesalahan hutan yang dilakukan.
    • Sekiranya kawasan-kawasan penerokaan haram / pendudukan Tanpa kebenaran diluluskan Permit Penggunaan maka hendaklah dikenakan had tempoh masa tertentu bagi membolehkan kawasan ini di hutan semula setelah tempohnya tamat.
    • Bagi pembalakan haram, tindakan tanpa berkompromi akan diambil mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 termasuk mendakwa pihak terbabit untuk dikenakan hukuman berat iaitu denda dan hukuman penjara.

     

  3. Apakah bentuk-bentuk tindakan yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri serta hasilhasil yang telah dicapai sepanjang tahun 2009 dan 2010?

    Kerajaan Negeri melalui JPNS telah melaksanakan Operasi Penguatkuasaan dan Pemulihan Hutan di Hutan Simpan Raja Musa di kawasan seluas lebih kurang 1,000 hektar yang dilaksanakan dengan kerjasama NGO dan orang awam pada tahun 2009.

    Dua(2) buah kilang papan haram telah disita di Kajang kerana kesalahan beroperasi tanpa lesen dan memiliki kayu balak tanpa dijelaskan royalti. Kedua-dua pemilik kilang telah didakwa di Mahkamah Majistret Putrajaya dan dikenakan denda sebanyak RM4,000 setiap seorang. Salah seorang dari pesalah ini juga didakwa oleh SPRM kerana cuba menyogok pegawai JPNS dan telah dikenakan hukuman penjara.

    Pada hujung tahun 2009, JPNS dan Pejabat Tanah Daerah Hulu Selangor telah berjaya mengesan pembalakan tanpa kebenaran di kawasan Tanah Kerajaan di Batang Kali dan tindakan menahan jentera dan kompaun telah dikenakan kepada pelaku kesalahan. Pesalah dalam kes ini juga didakwa oleh SPRM kerana cuba menyogok pegawai JPNS dan telah dikenakan hukuman penjara.

    Pada bulan Ogos, 2010, seramai lima orang pendatang asing telah ditangkap kerana kesalahan mengambil kayu bakau dalam Tanah Kerajaan di Daerah Klang tanpa kebenaran dan mereka telah didakwa di Mahkamah Majistret Klang dan dikenakan hukuman penjara antara 10 sehingga 11 bulan di samping bot-bot berserta injin sangkut mereka dilucuthak. Mulai 25 Oktober, 2010, Operasi Penguatkuasaan dan Pemulihan Hutan  di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan  dijalankan di kawasan seluas 1,000 hektar di mana tindakan ini di jangka akan mengambil masa setahun untuk disiapkan.

    Operasi-operasi yang bakal dijalankan oleh JPNS ialah  di Hutan Simpan Bukit Tarek (Kg. Sungai Kerandang), Hutan Simpan Sungai Buloh (Tropicana) dan  kawasan terokaan haram lain  dalam HSK lain anggaran berjumlah 1,000 hektar dalam program penguatkuasaan JPNS 2010 serta  akan menjangkau Rancangan Malaysia Ke10 dengan mengambil kira kekangan tenaga dan  kos JPNS.

Lampiran

Tiada Lampiran.