Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
29) PEMBAKARAN TERBUKA DI TANAH PERSENDIRIAN
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka oleh pekebun bagi tujuan pertanian?
Terdapat beberapa jenis aktiviti pembakaran melibatkan pertanian yang diisytiharkan sebagai bukan pembakaran terbuka sebagaimana dinyatakan di dalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Diisytiharkan) 2003. Senarai aktiviti yang diisytiharkan sebagai bukan pembakaran terbuka adalah seperti di Lampiran. Walaubagaimanapun, sekiranya aktiviti pembakaran tersebut tidak terkandung dalam Perintah seperti yang dinyatakan di atas, Kerajaan Negeri mengambil tindakan berikut dalam usaha menangani pembakaran terbuka oleh pekebun, iaitu:
Bekerjasama dengan Jabatan Pertanian bagi memastikan pekebun-pekebun menggunapakai kaedah selain pembakaran dalam melaksanakan aktiviti pertanian;
Mewar-warkan mengenai larangan pembakaran terbuka di kawasan yang sering terbakar melalui pembinaan papan tanda, pengedaran risalah dan makluman melalui media; dan
Menjalankan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah & Daerah dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang didapati melakukan atau membenarkan aktiviti pembakaran terbuka.
-
Apakah tindakan kerajaan dalam menangani isu pembakaran belukar diatas tanah yang tidak diketahui pemiliknya terutama di kawasan Revolusi Hijau Johan Setia?
Bagi aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan di atas tanah yang tidak diketahui pemilikan atau di atas tanah Kerajaan seperti rizab jalan, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah akan mengambil tindakan sebagaimana termaktub di bawah undang-undang Kanun Tanah Negara. Walaubagaimanapun, tanah-tanah di kawasan Revolusi Hijau Johan Setia keseluruhannya mempunyai pemilikan dan telah dikenalpasti oleh Pejabat Daerah/Tanah Klang. Bagi menangani kes pembakaran terbuka di Johan Setia, Kerajaan Negeri mengambil tindakan seperti berikut:-
- Melaksanakan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah & Daerah dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang didapati melakukan atau membenarkan aktiviti pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah;
- JAS, MPK dan PTD Klang bersama-sama menjalankan rondaan di sekitar Johan Setia bagi memantau aktiviti pembakaran terbuka terutama oleh petani-petani;
- Menjalankan operasi bersepadu bagi membanteras pendatang-pendatang tanpa izin yang menjalankan aktiviti pertanian di Johan Setia yang turut melibatkan pembakaran terbuka;
- Jabatan Pengairan dan Saliran, dan Jabatan Mineral dan Geosains melaksanakan langkah pencegahan pembakaran terbuka dengan melaksanakan “water management system” melalui pembinaan “checkdam” dan pembinaan telaga air tanah (tubewell) di kawasan tersebut supaya kebakaran dapat dikawal dan dikurangkan;
- Melaksanakan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada orang awam dan para petani bagi memastikan mereka memberi kerjasama dalam usaha-usaha penjagaan alam sekitar dengan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuk
Lampiran
Contoh aktiviti pembakaran melibatkan pertanian yang diisytiharkan sebagai bukan pembakaran terbuka
- Pembakaran apa-apa tumbuhan berpenyakit dan tumbuhan berbahaya dan kelengkapan pertanian yang berhubungan dengan tumbuhan berpenyakit dan tumbuhan berbahaya.
- Pembakaran bangkai binatang, burung dan bahan yang dijangkiti.
- Aktiviti-aktiviti lain yang dinyatakan dalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Diisytiharkan)(Pembakaran Terbuka) 2003