Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
74) PEMBAKARAN TERBUKA
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan yang telah, sedang dan bakal diambil pada mereka yang membakar tanah mereka dan tanah orang lain bagi tujuan pertanian yang menyumbang kesan jerebu hampir setiap bulan
Pihak Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah sedang mendapatkan ceraian rasmi untuk mengenal pasti pemilik tanah yang terlibat bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik tanah tersebut mengikut peruntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Di samping pendekatan undang-undang Jabatan Alam Sekitar juga melaksanakan program kesedaran untuk mengubah amalan pertanian secara pembakaran terbuka.
-
Bagaimanakah perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah pembakaran tanah pertanian oleh pendatang asing yang didalangi oleh rakyat tempatan seperti berlaku di Kampung Johan Setia, Klang?
Pihak Majlis Perbandaran Klang telah mengambil tindakan dengan menjalankan pemantauan dan rondaan setiap hari terutama di tanah pertanian Kg. Johan Setia termasuk pada hari Sabtu dan Ahad. Pihak Majlis Perbandaran Klang juga melalui Pasukan Pemantauan Pembakaran Terbuka Kg. Johan Setia sentiasa bekerjasama dan segera melaporkan kepada agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat sekiranya berlaku kebakaran di kawasan tersebut. Selain itu, nasihat dan teguran diberikan kepada pemilik tanah, pengusaha dan pekerja agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka dan boleh memudaratkan orang ramai serta berlakunya pencemaran udara.
Maklumat Tambahan
Pihak Majlis Perbandaran Klang tidak mempunyai kuasa untuk menangkap mana-mana orang yang melakukan pembakaran terbuka dan kuasa untuk memasuki mana-mana tanah persendirian.
Perancangan Majlis Perbandaran Klang bagi mengatasi masalah pembakaran terbuka tanah pertanian oleh pendatang asing, iaitu:
- Mengadakan pemantauan dan rondaan oleh Pasukan Pemantauan Pembakaran Terbuka Kg. Johan Setia dengan lebih kerap terutama di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sering berlakunya pembakaran secara terbuka di Kg. Johan Setia.
- Mengadakan Ops Bersepadu melibatkan lain-lain agensi kerajaan seperti Polis, Imigresen, Rela, JAS dan Pejabat Tanah dan Daerah Klang menangkap pendatang-pendatang tanpa izin yang bekerja/menjadi petani di kawasan tersebut.
- Meruntuhkan struktur pondok/bangsal yang didirikan oleh pendatang sebagai kediaman serta melakukan pemantauan susulan untuk mengelak dari pembinaan semula struktur haram.
- Menyampaikan butir-butir maklumat kepada JAS Negeri Selangor dan Pejabat Tanah dan Daerah Klang sekiranya pihak Majlis Perbandaran Klang mendapat maklumat mengenai mana-mana pihak yang bertanggungjawab melakukan pembakaran secara terbuka untuk tindakan selanjutnya ke mahkamah (pendakwaan) oleh pihak berkenaan.
-
Bilakah pengambilan balik tanah oleh Kerajaan Negeri akan dimulakan dari pemilik tanah yang ingkar melakukan salah guna tanah ini dan berapa luas anggaran kawasan yang terlibat?
Ekoran daripada arahan Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan terhadap pemilik tanah yang menyebabkan berlakunya kesan pencemaran kepada alam sekitar dan kacau ganggu kepada penduduk setempat. Pentadbir Tanah Daerah Klang (PTDK) telah menubuhkan ’task force’ dan kini sedang menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik tanah yang berkaitan seperti mana di peruntukan di bawah Seksyen 115 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.
Di bawah Seksyen 115 KTN, adalah dinyatakan bahawa tanah hak milik yang telah ditetapkan syarat guna tanahnya bagi kategori ”pertanian” adalah tertakluk kepada syarat-syarat tersirat yang boleh membawa kepada perampasan tanah jika terdapat pelanggaran syarat di antara maksudnya adalah seperti berikut:-
- Permulaan penanaman atas tanah hendaklah dibuat dalam masa 12 bulan dari tarikh yang relevan (tarikh beri milik) dan hendaklah ditanam sepenuhnya dalam masa 3 tahun dari tarikh yang relevan; dan
- Penanaman yang dilakukan hendaklah ditanam secara berterusan.
Pelaksanaan untuk mengenal pasti tuan-tuan tanah dan persempadanan lot-lot adalah dibahagikan kepada 11 fasa yang melibatkan keseluruhan 1,732 lot dengan keluasan 3,857.5 ekar bagi Tanah Rancangan Revolusi Hijau Johan Setia, Mukim Klang pada masa ini telah pun menjalankan tindakan seperti berikut:-
- Dalam fasa 1, yang dijalankan pada 15 Disember 2008 hingga 12 Februari 2009 yang melibatkan 167 lot, sebanyak 28 lot dikenal pasti tidak diusahakan bagi maksud pertanian dan melanggar syarat di bawah Seksyen 115 KTN. 60 lot telah diusahakan sepenuhnya manakala baki 73 lot walaupun telah diusahakan tetapi tidak diselia dengan baik;
- Notis secara pentadbiran telah dihantar pada bulan Mei 2009 kepada 28 pemilik tanah berkenaan. Pemilik diarahkan memulihkan tanah dalam tempoh 3 bulan daripada tarikh penerimaan notis tersebut;
- Sekiranya pemilik tanah berkenaan gagal mengusahakan tanah dalam tempoh (3 bulan) yang diberi iaitu sehingga bulan Ogos / September 2009. PTDK akan mengeluarkan Notis 7E di bawah Seksyen 127(1A) (a) di mana pemilik tanah perlu menunjukkan sebab mengapa denda tidak dikenakan berkenaan pelanggaran syarat tersebut. Kegagalan menunjukkan sebab yang memuaskan, Pentadbir Tanah Daerah Klang boleh mengenakan denda sebanyak RM50 dan RM100 bagi setiap hari dalam tempoh pelanggaran berterusan;
- Sekiranya berlakunya pelanggaran syarat yang berterusan, Pentadbir Tanah Daerah Klang boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 128 atau 129 KTN yang boleh membawa kepada pelucuthakkan; dan
- Keseluruhan Kawasan Revolusi Hijau Johan Setia adalah dianggarkan seluas lebih kurang 3857.5 ekar. Bagi Fasa 1, kawasan seluas lebih kurang 56 ekar terlibat dengan pelanggaran syarat di bawah Seksyen 115 KTN. Manakala keluasan yang terlibat dengan pelanggaran syarat dalam 10 Fasa yang berikutnya sedang dalam tindakan pentadbiran ini.