Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

32) PEMBAKARAN TERBUKA

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah kes pembakaran terbuka yang dilaporkan dari Januari 2013 - Januari 2014?

    Dari 1 Januari 2013 – 1 Januari 2014 Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah menerima sebanyak 1,269 aduan mengenai pembakaran terbuka yang terdiri daripada pembakaran di tapak pembinaan, tapak pelupusan sampah haram, ladang, kebun, hutan, belukar dan pembakaran sampah di kawasan perumahan, tepi jalan dan tepi sungai.

    Maklumat tambahan:

    Pada tempoh tersebut di atas, tindakan undang-undang yang telah diambil bagi kesalahan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ialah sebanyak 68 kompaun telah dikeluarkan dan 14 Kertas Siasatan telah disediakan untuk mengambil tindakan mahkamah.

  2. Apakah rancangan kerajaan negeri untuk menurunkan kes pembakaran terbuka?

    Bagi mengurangkan kes pembakaran terbuka, Kerajaan Negeri mengambil tindakan dengan melaksanakan berbagai cara seperti berikut:

    • Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah dan Daerah dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang didapati melakukan aktiviti pembakaran terbuka;
    • Jabatan Alam Sekitar menjalankan program pemantauan dan rondaan darat ke atas kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku pembakaran seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan Program pemantauan ini turut dilaksanakan melalui penerbangan udara dengan kerjasama Unit Udara Polis dan penerbangan pihak swasta untuk membuat pengesanan awal bagi mengelakkan kebakaran dari merebak;
    • Kerajaan Negeri telah mewujudkan Unit Penguatkuasaan khas bagi mencegah pembakaran terbuka di Majlis Perbandaran Klang bagi memantau kawasan pertanian Revolusi Hujau, Johan Setia, Klang;
    • Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mineral dan Geosains melaksanakan langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan hutan yang melibatkan tanah gambut dengan melaksanakan “water management system” melalui pembinaan “check dam” dan pembinaan telaga air tanah (tube well) di kawasan tersebut supaya kebakaran dapat dikawal dan dikurangkan;
    • Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, JPAM dan RELA terlibat di dalam kerja-kerja pemadaman bagi kes-kes kebakaran yang luas melibatkan kawasan hutan dan tanah gambut;
    • Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah akan digerakkan bagi kes-kes pembakaran terbuka berskala besar untuk mengambil tindakan bersepadu bagi memadam kebakaran tersebut mengikut Peraturan Tetap Operasi Pengendalian Bencana Kebakaran Hutan/Pembakaran Terbuka dan Jerebu;
    • Bagi membantu untuk mempercepatkan pemadaman kebakaran yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kerajaan Negeri telah mendapatkan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menggunakan khidmat penerbangan kapal terbang Bombardier untuk pemadaman kebakaran hutan di Negeri Selangor ;
    • Kerajaan Negeri Selangor juga melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke-30/2012 yang diadakan pada 15 Ogos 2012 telah membuat keputusan bahawa Pejabat Tanah Daerah akan merampas tanah- tanah terbiar dan tanah-tanah di mana pembakaran terbuka berlaku serta pemilik tanah tidak mengusahakan apa-apa aktiviti dan tidak menjaga tanah mereka; dan
    • Mempertingkatkan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada orang awam, pihak industri dan para petani bagi memastikan mereka memberi kerjasama dalam usaha-usaha penjagaan alam sekitar dengan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

Lampiran

Tiada Lampiran.