Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

115) PEMBAKARAN HARAM

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pembakaran tempurung secara haram di tapak-tapak tanah persendirian semakin berleluasa. Apakah tindakan tegas dan sepatutnya yang boleh di ambil oleh PBT dan PTD ke atas pengusaha-pengusaha ini kerana walaupun kompaun telah dikenakan ianya tidak berkesan.

    Pihak PBT sentiasa menjalankan pemantauan dan siasatan bagi mengesan kegiatan pembakaran tempurung di kawasan-kawasan yang disyaki bagi memastikan tindakan tegas di bawah akta serta undang-undang berkaitan yang berkuat kuasa terus dilaksanakan ke atas pengusaha-pengusaha pembakaran tempurung yang tegar. Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) melalui Jabatan Pelesenan telah mengeluarkan empat (4) notis arahan pemberhentian aktiviti perniagaan kepada pemilik-pemilik lot tanah atas kesalahan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dengan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007.

    MDKS melalui Jabatan Kesihatan Dan Persekitaran dengan kerjasama PDT Kuala Selangor (PDTKS) berjaya melakukan operasi sitaan dan merobohkan tapak pembakaran tempurung yang menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk pada Jun 2017. Sehingga September 2017, sebanyak 10 notis telah dikeluarkan kepada pengusaha-pengusaha kilang tempurung dan 5 kompaun telah dikeluarkan. Daripada 4 premis kilang tempurung yang terdapat di kawasan Ijok, hanya satu yang masih beroperasi dan operasi bersepadu akan dijalankan dalam masa terdekat terhadap kilang tersebut.

    Selain daripada itu, MDKS melalui Jabatan Kawalan Bangunan juga merujuk kepada sub-seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang menyatakan tiada seseorang boleh mendirikan sesuatu bangunan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya dan juga boleh dikenakan denda tambahan sebanyak RM1,000.00 bagi tiap-tiap kesalahan itu diteruskan selepas sabitan. Tindakan ini boleh diambil sekiranya terdapat binaan tanpa kebenaran di atas tapak berkenaan.

    PDTKS pula boleh mengeluarkan notis 7A iaitu notis melanggar syarat tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 sekiranya betul pelanggaran syarat itu berlaku selepas siasatan dilakukan. Sekiranya pemilik tanah enggan memulihkan tanah tersebut, notis 8A boleh dikeluarkan yang boleh menyebabkan tanah itu dirampas oleh Kerajaan Negeri. Walaupun begitu, proses ini memakan masa yang lebih panjang berbanding jika kompaun kesalahan diberikan.

Lampiran

Tiada Lampiran.