Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

156) PEMBAIKAN JALAN

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk membantu PBT mengatasi masalah kekurangan bajet untuk kerja pembaikan dan penurapan jalan memandangkan prestasi kewangan Kerajaan Negeri bertambah baik setiap tahun?

    Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing mempunyai tanggungjawab mereka sendiri dalam memperuntukkan sebahagian belanjawan pembangunan untuk pembaikan dan penurapan jalan. Di masa yang lalu, PBT memasukkan peruntukkan MARRIS dalam belanjawan tahunan sebagai hasil. Ini adalah tidak tepat. Dalam mengatasi masalah ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam mesyuarat ke 39/ 2011 bermesyuarat pada 21 Disember 2011 telah memutuskan supaya melalui penyediaan belanjawan 2012, PBT diarahkan supaya memperuntukkan sebanyak 30 peratus untuk perbelanjaan pembangunan bagi meningkatkan infrastruktur, binaan bangunan dan pengindahan kawasan masing-masing.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap memberikan bantuan bagi projek pembaikan jalan-jalan dan longkang-longkang di semua PBT setiap tahun. Cuma mulai tahun 2011, kaedah mengenal pasti projek-projek itu, tidak diserah kepada PBT tetapi kepada ADN supaya tanggungjawab ini dipikul bersama oleh ADN yang mewakili kawasan-kawasan Dewan Negeri masing-masing. Kaedah ini didapati lebih berkesan dan menjimatkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.