Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

167) PEMASYHURAN PERMAINAN TRADISIONAL WAU CAGAT

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri dalam menggiatkan dan mempromosikan permainan tradisional wau cagat di Selangor khususnya Jeram sebagai tempat kelahiran permainan ini?

    Wau Cagat atau dikenali sebagai Wau Tegak merujuk kepada kaedah atau cara permainan wau tradisional di Malaysia. Istilah ‘Cagat’ bermaksud tegak dalam bahasa orang Banjar dan istilah Wau Cagat banyak digunakan dalam penganjuran pertandingan Wau Kapal terutama dalam kalangan orang Banjar di Jeram, Kuala Selangor. Wau Kapal merupakan wau tradisi negeri Selangor dan berdasarkan penyelidikan yang dilakukan oleh pihak PADAT, Wau Cagat merupakan salah satu kategori Wau Kapal Moden yang mempunyai reka bentuk dan motif hiasan yang ringkas, bebas serta ringan berbanding Wau Kapal Tradisi yang mempunyai motif dan reka bentuk yang khusus. Penyelidikan ini juga telah merekodkan Persatuan Pelayang Cagat, Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram, Kuala Selangor telah wujud sejak tahun 1940 yang kembali aktif pada tahun 2014 sebagai satu usaha menjaga warisan negeri Selangor oleh penduduk kampung. Pencapaian serta aktiviti persatuan ini telah di dokumenkan di dalam buku Permainan Wau Kapal yang diterbitkan pihak PADAT pada tahun 2015.

     

    Usaha dan inisiatif Kerajaan negeri bagi mempopularkan wau kapal adalah berbentuk PADAT dalam menggiatkan dan mempromosikan permainan tradisi ini khususnya di Jeram adalah dengan menerima wawancara bagi Program “Panorama” terbitan RTM TV1 pada tahun 2019 yang memaparkan aktiviti Persatuan Pelayang Cagat Kampung Bukit Kuching Tengah, Kuala Selangor serta keunikan Wau Kapal sebagai wau tradisi Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.