Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

160) PEMAPARAN SENARAI KUANTITI (BQ) DALAM LAMAN WEB RASMI

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mewajibkan semua agensi Kerajaan Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan serta Anak Syarikat Selangor untuk memaparkan senarai kuantiti (BQ) untuk projek-projek yang diluluskan dalam laman web rasmi masing-masing untuk rujukan awam dan ketelusan?

    Senarai Kuantiti atau Bill Of Quantity (BQ) adalah senarai bahan yang dihasilkan oleh Juruukur Bahan atau pegawai teknikal yang lain melalui pengukuran yang dibuat ke atas lukisan yang disediakan oleh perunding Arkitek atau Jurutera Awam. Senarai Kuantiti (BQ) mengandungi penerangan terperinci ke atas kos keseluruhan yang diperlukan untuk melaksanakan sesuatu projek merangkumi perkara-perkara seperti ‘Kerja-kerja Awalan’, ‘Spesifikasi’, Wang Kos Prima, Wang Peruntukan Sementara, dan lain-lain. Senarai Kuantiti (BQ) yang disediakan oleh Jurukur Bahan (QS) adalah bersandarkan kepada SMM atau Malaysia Standard Method Measurement of Building Works keluaran Pertubuhan Juruukur Malaysia (ISM) bagi kerja-kerja Bangunan atau berasaskan kepada Malaysia Standard Method Of Measurement for Civil Engineering Works (CESMM) yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk kerja-kerja kejuruteraan sivil. Terdapat beberapa kegunaan hasil daripada Senarai Kuantiti (BQ) yang dihasilkan oleh Juruukur Bahan (QS) yang diringkaskan seperti berikut:-

    1. Berfungsi sebagai dokumen tender;
    2. Berfungsi sebagai dokumen kontrak;
    3. Menjadi asas penyediaan perakuan interim;
    4. Menjadi asas penilaian kerja perubahan (VO);
    5. Membantu pengurusan kerja Kontraktor;
    6. Menjadi asas maklum balas kepada Kontraktor;
    7. Menjadi punca data kos kepada Juruukur Bahan (QS)

    Kerajaan Negeri pada masa ini tidak mewajibkan agensi Kerajaan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Anak Syarikat Selangor untuk memaparkan senarai kuantiti di laman web rasmi atau mendedahkan ia kepada umum memandangkan ianya merupakan sebahagian dari dokumen kontrak yang mengikat Kerajaan Negeri serta pihak kontraktor setelah projek di award. Justeru, dokumen Bill Of Quantities (BQ) adalah diklasifikasikan sebagai ‘Sulit’ atau ‘Confidential’ dan tertakluk kepada syarat-syarat kerahsiaan di dalam kontrak. Perkara ini adalah selaras dengan klausa yang terdapat pada dokumen kontrak. Sebagai contoh, perkara ini dinyatakan dalam dokumen kontrak standard bagi projek-projek yang dilaksanakan secara konvensional iaitu Borang JKR 203A, Clause 71 : Confidentiality seperti berikut:-“71.1 This contract and all such drawings, records, data, books, reports and all matters pertaining hereto shall be considered as confidential matters and shall not be disclosed to any third party without prior written mutual agreement….”

  2. Senaraikan agensi-agensi Kerajaan Negeri Selangor yang telah melaksanakan polisi pemaparan BQ dalam laman web rasminya.

    Berdasarkan penerangan di atas, tiada agensi Kerajaan Negeri yang telah melaksanakan polisi paparan Bill Of Quantity (BQ) dalam laman web rasmi jabatan masing-masing.

     

     

  3. Unit manakah yang bertanggungjawab untuk memantau dan memastikan pemaparan BQ secara online?

    Sama seperti di SUB(a)

Lampiran

Tiada Lampiran.