Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011

225) PEMAJU PERUMAHAN YANG DISENARAI HITAMKAN

Tahun: 2011

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Terdapat beberapa pemaju perumahan yang masih gagal menyiapkan projek perumahan dan infrastruktur untuk rakyat. Mereka masih berlengah kerana para lembaga pengarahnya masih beroperasi atas nama syarikat yang baru dengan membangunkan kawasan lain . Senaraikan syarikat-syarikat pemaju dan lembaga pengarahnya yang pihak Kerajaan Negeri telah menyenaraihitamkan sehingga kini .

    1. Untuk makluman Yang Berhormat, pada masa kini, Kerajaan Negeri telah menyenarai hitamkan 119 buah syarikat- syarikat yang terdiri daripada 304 orang  lembaga  Senarai nama syarikat berserta ahli lembaga pengarahnya adalah seperti di Lampiran 1.
  2. Apakah polisi atau garis panduan yang diguna pakai oleh Kerajaan Negeri sekarang untuk memastikan pihak pemaju tidak menyeleweng dan menipu pembeli rumah?

    1. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri tidak mempunyai satu polisi atau garis panduan yang khusus bagi menangani pihak pemaju dalam menyeleweng dan menipu pembeli rumah. Namun atas keprihatinan kepada pembeli- pembeli rumah, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi masalah tersebut. Antara langkah yang telah dilaksanakan adalah melalui sistem pemantauan sedia ada yang telah diperuntukkan di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meningkatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi memantau 6 bulan sekali ke atas pemaju dengan mewajibkan mereka menghantar Borang 7F untuk memaklumkan status terkini kedudukan projek yang sedang dibina agar dapat disiapkan mengikut  jadual.

     

    Di samping itu, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memantau secara dekat melalui Jadual Kedua Undang-undang  Kecil  Bangunan Seragam 1984 yang menghendaki pemaju mengemukakan Borang-borang A, B, C, D  dan E kepada PBT dan salinan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi tujuan pemantauan. Melalui salinan borang-borang tersebut LPHS akan dapat mengenal pasti sekiranya berlaku masalah terhadap sesebuah projek  dan  tindakan awal akan dapat dijalankan.

     

     

     

     

     

    LPHS juga melalui sistem pendaftaran pemaju akan membuat pemantauan terus projek- projek yang berdaftar dengan LPHS. Pemaju diwajibkan berdaftar sekiranya ingin menjalankan pembangunan perumahan dalam tempoh 30 hari dari tarikh Kebenaran Merancang diluluskan oleh PBT. Laporan status projek berserta jadual kerja bagi setiap projek pembangunan di Selangor juga dikemukakan secara berkala bagi memastikan projek berjalan mengikut jadual. Melalui sistem pendaftaran ini LPHS bertindak sebagai ‘one stop centre’ di mana semua maklumat dikumpulkan dan diedarkan kepada semua Bank, PBT dan KPKT sebagai sistem amaran awalan sekiranya pembangunan projek berjalan perlahan atau dapat mengelakkan daripada berlakunya projek terbengkalai. Lawatan ke tapak projek akan dijalankan dari masa ke  semasa  bersama  pihak perunding projek, bank-bank berkaitan dan PBT sekiranya projek tersebut menunjukkan ciri-ciri akan bermasalah.

    Pada masa ini, semua nama pengarah syarikat pemaju yang terlibat dengan projek terbengkalai akan diperolehi melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk disenaraihitamkan dan diedarkan kepada semua PBT dan Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Selangor selain dicadangkan untuk dipaparkan dalam laman web sebagai panduan kepada bakal pembeli rumah. Nama-nama yang telah disenaraihitamkan tersebut tidak akan dibenarkan menjalankan sebarang projek di Negeri Selangor walaupun memiliki syer di bawah nama syarikat yang lain.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.