Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

110) PEMAJU PERUMAHAN

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kenapakah Kerajaan Negeri tidak menetapkan syarat kepada pemaju agar menyediakan surau dan kemudahan asas sebagai syarat untuk meluluskan pembangunan mereka?

    Perancangan pembangunan  di Negeri Selangor adalah berteraskan kepada penterjemahan dasar-dasar dan tindakan pelaksanaan yang digariskan di dalam rancangan-rancangan pemajuan yang telah disediakan iaitu Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 di peringkat negeri manakala di peringkat daerah serta rancangan-rancangan kawasan khas yang berkaitan.

    Daripada aspek permohonan perancangan, semua pembangunan di Negeri Selangor adalah diwajibkan mematuhi Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor Edisi Ketiga yang telah diluluskan pemakaiannya di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 35/2016 pada 19 Oktober 2016. Hal ini termasuklah pematuhan kepada piawaian perancangan terhadap penyediaan kemudahan masyarakat yang merangkumi kemudahan kesihatan, keselamatan dan kecemasan, pendidikan, keagamaan, kemudahan komuniti dan pengangkutan awam.

    Bagi penyediaan kemudahan surau, keperluan ini disyaratkan kepada pemaju apabila janaan bilangan penduduk dalam sesebuah cadangan pembangunan melebihi 2,500 orang. Keluasan minimum tapak surau yang perlu disediakan ialah seluas 0.2 hektar (0.5 ekar) di samping turut disyaratkan penyediaan keperluan lain seperti tempat letak kenderaan termasuklah tempat letak kereta, tempat letak motosikal dan tempat letak kereta orang kurang upaya (OKU).

  2. Adakah wajar bagi pemaju kawasan menyediakan infra pendidikan sekolah kebangsaan dan menengah untuk kawasan yang telah padat dengan murid?

    Merujuk kepada manual garis panduan dan piawaian perancangan Negeri Selangor edisi ketiga yang telah dululuskan pemakaiannya di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 35/2016 pada 19 Oktober 2016 dan disahkan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 36/2016 pada 26 Oktober 2016, penyediaan kemudahan pendidikan sekolah rendah dan menengah adalah tertakluk kepada bilangan penduduk yang dijana dalam sesuatu pembangunan. Bagi setiap janaan 3,000 orang penduduk akan disyaratkan penyediaan 1 tapak sekolah rendah seluas 5-8 ekar manakala bagi janaan 9,000 orang penduduk akan disyaratkan penyediaan 1 tapak sekolah menengah seluas 8-12 ekar.

    Pemaju tidak dikenakan syarat tersebut sekiranya cadangan pembangunan yang dikemukakan tidak mencapai piawaian perancangan penyediaan kemudahan pendidikan yang telah ditetapkan. Namun ini juga berdasarkan kepada analisis penyediaan kemudahan tersebut di dalam lingkungan kawasan sekitarnya. Jika kemudahan sediada berada di kawasan berdekatan atau dalam lingkungan tadahan kemudahan tersebut dan kapasitinya dapat menampung penduduk yang dijana maka keperluan tambahan tidak diperlukan.

    Walaubagaimanapun, pihak berkuasa perancang tempatan hendaklah mengenal pasti tapak yang sesuai yntuk dibangunkan kemudahan pendidikan dalam mempertimbangkan permohonan perancangan yang sebegini agar isu kepadatan murid di sesetengah kawasan dapat dielakkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.